Wednesday, November 30, 2016

'Plot pembangkang bak strategi Hitler'

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini menyamakan propaganda pembangkang dengan taktik pemimpin Nazi Adolf Hitler yang dibantu Joseph Goebbels.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu berjaya mengawal pemikiran lebih 80 juta orang melalui strategi propaganda yang dirangka dengan kreatif.

"Sebenarnya, kejayaan beliau terhasil daripada strategi propaganda yang cukup berkesan yang diasaskan kepada pembohongan.

"Beliau dibantu oleh menteri propagandanya bernama Joseph Goebbels.

"Hitler pernah menulis bahawa: If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it. (Jika kamu mahu berbohong, buatlah pembohongan yang betul-betul besar, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya)," kata Ahmad Zahid dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan pergerakan pemuda, wanita dan puteri Umno di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno menyatakan Hilter dan Goebbels mencipta propaganda melalui radio dan filem kreatif.

"Plot pembangkang di negara ini juga seakan hampir sama.

"Mereka menggula-gulakan rakyat dengan propaganda mereka bahawa negara ini akan bankrap serta pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan," katanya.

Menurut beliau dalam keadaan begitu rakyat sepatutnya berasa "risau dan gayat" apabila melihat perubahan yang berlaku pada masyarakat.

Perubahan itu katanya bukan saja melibatkan susunan sosial, malah lebih membimbangkan ia turut menjejaskan pola serta kecenderungan pemikiran rakyat sehingga menjurus kepada timbulnya budaya politik kebencian.

Selfie saja tak memadai

Mengenai aspek komunikasi Umno Zahid berkata 87 peratus maklumat ketika ini dipeorlehi melalui saluran media baru.

Justeru katanya anggota sayap Umno perlu bijak menguasai ruang siber secara serius untuk menangkis pelbagai fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan daripada pihak seteru politik mereka.

"Kita perlu keluar dari kepompong lama yang hanya pandai melihat dan memadam api, sebaliknya kita perlu proaktif mencari kelemahan pihak lawan dengan peluru-peluru fakta yang boleh menyedar dan menyakinkan khalayak.

"Kita harus kreatif dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan rakyat terutamanya kumpulan sasar dalam kalangan Gen-Y dan Gen-Z.

"Berswafoto (selfie) saja seperti yang sering kita lakukan tidak mencukupi," katanya.

Bagi Ahmad Zahid kumpulan cybertrooper Umno perlu bersatu menyusun strategi menentang musuh dan bukannya berbalah sesama sendiri.

Katanya ada sesetengah anggota cybertrooper itu terjemak dengan agenda mempromosi saudagar-saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu.

"Kumpulan ini mempunyai agenda yang hanya mereka saja ketahui.

"Seharusnya kita perlu mencari titik pertemuan dan penyatuan pemikiran (wehdatul fikr) dan mengetepikan jurang perbezaan.

Bisik minta tambah kuota

Menyentuh prestasi wakil rakyat daripada pemuda, wanita dan puteri Umno Ahmad Zahid berkata beliau menerima laporan menunjukkan mereka berkhidmat dengan begitu baik.

Katanya pada pilihan raya umum lalu seramai 33 orang calon wanita, 26 pemuda dan lapan calon puteri menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat parlimen atau DUN.

Oleh kerana itu, kata Ahmad Zahid, beliau akan cuba mendapatkan tambahan bagi calon daripada ketiga-tiga pergerakan itu untuk pilihan raya umum akan datang.

"Kepada Kak Ijat (Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil), adinda Khairy (Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan anakanda Ermy (Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudi) usahlah khuatir.

"Pada PRU ke-14 nanti, saya sendiri akan membisikkan dan membisikkan lagi kepada presiden kita untuk menambah bilangan calon daripada tokoh yang berada dalam ketiga-tiga pergerakan sayap," katanya.

Namun tetap ada pula syaratnya, kata Ahmad Zahid.

"Wanita, pemuda dan puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan, dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera dalam sayap-sayap pergerakan masing-masing.

"Saya pasti, presiden parti merupakan seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-