Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, November 26, 2016

Zunar ditangkap kerana menghasut selepas pameran diganggu

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque ditangkap kerana menghasut selepas mengadakan pameran kartun yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zunar turut ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan.

Terdahulu beliau diminta memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Timur Laut di Jalan Pattani.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, polis kini akan merampas karya-karya Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar.

"Polis kini akan pergi ke Komtar bersama-sama dengan Zunar untuk merampas semua karya-karya beliau. Lokasi adalah di Asia Comic Muzium Komtar aras 3," kata Sim.

ADUN Seri Delima RSN Rayer mewakili Zunar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Meor Farid Alatrash mengesahkan penangkapan itu.

"Dia akan ditahan 24 jam untuk membantu siasatan .. jika siasatan tidak lengkap, kita akan mendapatkan perintah reman esok pagi," katanya.

Ini adalah penangkapan kali ke- 10 terhadap Zunar di bawah Akta Hasutan. Beliau kini menghadapi sembilan pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 43 tahun.

Zunar juga menghadapi sekatan perjalanan sementara menunggu perbicaraannya.

Semalam, pameran Zunar di Komtar diganggu oleh sekumpulan 30 anggota Umno yang diketuai Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim.

Mereka menendang dan merosakkan dua karya kartunis itu.

Zunar mendakwa empat tumbukan dilepaskan terhadapnya dan mereka menarik kolar beliau tetapi berjaya mengelakkan diri.

Rafizal memberi amaran anggota-anggota Pemuda Umno akan menggunakan kekerasan pada Zunar sekiranya beliau meneruskan pameran itu yang sepatutnya diadakan sehingga 2 Disember.

Rafizal mendakwa karya seni Zunar adalah satu penghinaan kepada Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno.

Pelbagai pihak kecam

Pameran Zunar adalah sebahagian daripada Festival Sastera George Town.

Dalam satu kenyataan petang ini, pihak festival berkenaan mengutuk penangkapan Zunar.

"Festival mengutuk perbuatan menindas ini yang bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara dan ekspresi," kata pengarah festival Bernice Chauly.

Pihak penganjur festival menggesa pihak berkuasa segera membebaskan Zunar dan tidak mengganggu acara melibatkan 60 penulis daripada 20 buah negara.

Michael Vatikiotis, seorang penulis di festival itu, juga menyelar penangkapan Zunar.

"Tahap penindasan sedang mencapai tahap berbahaya di Malaysia.

"Hakikat bahawa penangkapan Zunar berlaku di Fetival Sastera George Town, dengan berpuluh-puluh penulis dan seniman antarabangsa, hanya menunjukkan kerajaan tidak kisah kebebasan bersuara," kata Vatikiotis.

Sementara itu, Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh mempertahankan Zunar.

"Zunar adalah seorang artis dan hati nurani masyarakat. Beliau melukis bagi pihak kami dan komited untuk kebebasan bercakap dan bersuara untuk rakyat Malaysia.

"Hanya dengan kebebasan bersuara kita boleh menjadi sebuah negara yang benar-benar demokratik," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairul Khir Johari berkata penangkapan itu telah mencemari festival berkenaan.

"Semalam, sekumpulan samseng mengganggu pameran Zunar di Komtar, dan hari ini pihak berkuasa menangkap Zunar di bawah Akta Hasutan, bukannya penyerang beliau" katanya.