Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, January 16, 2017

'Pembangkang akui BR1M berkesan'

SHAH ALAM: Cadangan mengekalkan BR1M membuktikan program itu berkesan bagi membantu rakyat miskin, bukan berunsur rasuah seperti dimomokkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, walaupun tidak mahu mengiktiraf secara jelas, namun cadangan Mahathir untuk mengekalkan BR1M ketika menyampaikan ucaptama merasmikan parti itu kelmarin, sudah cukup membuktikan BR1M adalah salah satu program berkesan membantu rakyat miskin.

"Terima kasih Mahathir kerana mengakui kepentingan BR1M apabila membayangkan untuk mengekalkan program bantuan ini jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya pada PRU14.

"Dengan kata lain, BR1M yang dilaksanakan BN, dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan rasuah. Jika rasuah, masakan Mahathir mahu mengekalkannya," ujarnya.

Katanya, jika pembangkang mengakui kebaikan BR1M untuk rakyat, maka tiada alasan untuk rakyat menukar kerajaan, kerana apa dilaksanakan BN semuanya untuk manfaat rakyat.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, sikap Mahathir itu melambangkan prinsipnya tidak teguh dan sering bertukar pendirian.

"Setiap pemimpin dan dasar sesuatu parti perlu tetap dengan pendirian kerana ia merupakan simbol kepercayaan rakyat dan keutuhan sistem kerajaan yang ingin dibentuk. BR1M bukan sahaja meringankan beban rakyat malah merupakan jaringan keselamatan sosial yang terbukti berkesan.

"Kerajaan BN bukan sahaja meneruskan BR1M ini, malah menaikkan jumlahnya sehingga ke paras maksimum pada 2017," katanya.


- Sinar Harian