Friday, February 10, 2017

Kerajaan PKR Selangor tak peduli kandang babi di kawasan Melayu Islam

SHAH ALAM: Kerajaan PKR Selangor dianggap mengkhianati rakyat apabila ‘memenangkan’ pengusaha ladang ternakan babi dengan membenarkan aktiviti itu berleluasa berhampiran Kampung Tumbuk Darat, Kuala Langat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Walaupun dibantah penduduk yang turut menolak cadangan pembinaan ladang babi moden bernilai RM100 juta sejak 2015, namun ia tidak seolah-olah tidak mempunyai apa-apa nilai kepada pentadbiran negeri sehingga kini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli, pihaknya kesal dengan sikap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ‘menutup mata dan telinga’ tentang rungutan rakyat.

“Sehingga kini saya dimaklumkan tiada apa-apa dibuat berhubung aduan penduduk Kampung Tumbuk Darat mengenai ternakan babi yang menjejaskan kehidupan dan alam sekitar.

“Malang bagi penduduk kampung kerana kerajaan negeri seperti mengutamakan pengusaha ternakan babi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sulaiman berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Online kelmarin mengenai ‘kepesatan’ aktiviti penternakan babi di daerah Kuala Langat.

Menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, bilangan babi yang diproses di Selangor pada 2014 berjumlah 525,733 ekor sedangkan bilangan ternakan itu dalam tahun yang sama adalah 273,630 ekor.

Aktiviti ternakan babi itu terus mendapat bantahan apabila Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) kampung itu, Mohamad Tarmudi Tushiran dilaporkan kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mengendahkan tuntutan agar ia dipindahkan.

Sementara itu, Pengerusi Regim Ubah Selangor, Jefrizal Mohd. Jaafar menegaskan, penternakan babi bukan isu baharu di Kuala Langat, malah berlarutan sejak sembilan tahun lalu.

“Malah saya difahamkan ada penduduk sanggup menjual tanah kerana tidak mahu menanggung masalah penternakan babi berhampiran kawasan mereka.

“Semasa pentadbiran Selangor di bawah Barisan Nasional, pembangkang ketika itu menjadikan isu ternakan babi sebagai modal politik. Sekarang, apabila mereka menjadi kerajaan negeri, ladang babi tanpa lesen sebaliknya didapati tumbuh lebih pesat,” ujarnya.

- Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-