Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, May 30, 2017

'Dr Ganja' guna alasan mahu ubati penyakit

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
30 MEI 2017
Antara produk disyaki berasaskan berasaskan ganja yang dirampas.
KUALA LUMPUR - Alasan kononnya mampu mengubati penyakit dijadikan sebagai modus operandi sindiket dadah untuk melariskan produk mereka yang berasaskan ganja.

Namun, sindiket yang dipercayai aktif sejak lima bulan lalu ini akhirnya tumpas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama elemen Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman, di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari berjaya menahan tiga individu berusia 35 hingga 58 tahun.

Menurutnya, penahanan itu melibatkan dalang yang menggelar diri sebagai 'Dr Ganja' bersama isterinya warga Indonesia.

"Dalam serbuan ini, polis telah merampas pokok (18 batang), tumbuhan dan serbuk (4 kg), benih (72 kg), minyak (4 liter), coklat (1.4 kg), madu (125 liter), marjerin (2 liter), kek (400 gram) dan susu (1 liter) yang mana kesemuanya disyaki mengandungi dadah jenis ganja.

"Kita turut merampas pelbagai alat menghisap serta memproses dadah selain sebuah kenderaan jenis Ford Telstar," katanya dalam sidang media, hari ini.
Chez Chiang (tengah) menunjukkan barang yang dirampas.
Mendedahkan tentang modus operandi sindiket itu, beliau berkata, sindiket ini menjual produk terbabit di laman media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp.

Menurutnya, mereka yang mendakwa mampu mengubatkan penyakit yang tidak boleh sembuh menjual pelbagai produk disyaki berasaskan ganja iaitu kek, susu, marjerin, coklat dan madu.

Selain menjadikan rumah sebagai 'klinik' untuk merawat, rumah itu juga dipercayai menjadi markas untuk menghisap ganja.

"Pelanggan dipercayai mampu mendapatkan produk terbabit dengan harga serendah RM5 sehingga RM50 bergantung jenis produk.

"Sindiket ini menjual produk-produk ini secara online. Bagaimanapun, kita masih menyiasat sama ada mereka ini menggunakan khidmat kurier atau tidak.

Kesemua suspek yang didapati positif dadah jenis ganja kini direman tujuh hari sehingga Jumaat ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.