Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, May 2, 2017

Pasca muktamar: Pas terima Umno sebab ucap syahadah

Posted By: Pentadbir

Pasca Muktamar Pas kali ke 63 di Kedah dilihat tidak banyak membawa perubahan kepada cara berfikir dan bertindak pemimpin parti Islam itu. Acara selama empat hari itu tidak membuahkan mutiara ilmu melainkan kutukan serta cacian daripada perwakilan Pas kepada bekas sekutu mereka PKR serta Amanah.

Muktamar juga menyaksikan Pas memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR yang telah 18 tahun berjalan lancar.

Presiden Pas Tuan Guru Hj Hadi Awang pula mengakui tidak akan melupakan jasa Umno kerana membenarkan RUU 355 dibentang di Dewan Rakyat walaupun tidak dibahas.

Bagi ahli vateran Pas yang tidak mahu dikenali, muktamar kali ini katanya adalah medan pengiktirafan Pas ke atas jasa-jasa Umno dan perisytiharan parti itu ke atas Pakatan Harapan sebagai musuh rasmi pilihan raya umum ke 14.

“Mungkin pada waktu hadapan, berdasarkan Umno diiktiraf dalam muktamar ini, Pas akan berpakat dengan parti itu untuk membentuk kerajaan negeri.

“Sebab yang membolehkan hal itu terjadi mudah saja kerana Umno mengucap syahadah. Hadi muslim, Najib pun muslim, Tuan Ibrahim Islam dan Zahid Hamidi pun Islam, mudah.

“Tiba waktunya Pas melupakan dosa-dosa Umno walaupun pernah mereka kategorikan sebagai hampir-hampir tercabut iman kerana menegakkan hukum-hukum jahiliah ciptaan manusia suatu ketika dahulu,” kata veteran itu yang pernah menjadi penyokong kuat pentadbiran Hj Hadi sebagai menteri besar Terengganu pada 1999 – 2004.

Selain itu, beliau juga membawakan contoh pemimpin Pas Terengganu yang pernah berubah hati menyertai Umno sepanjang dekad 1980an lalu.

“Sejarah Pas Terengganu menyaksikan Tok Guru Haji Abas dari Pondok Tok Jiring, bekas senator dewan negara daripada kuota Pas menyertai Umno di bawah Wan Mokhtar Ahmad.

“Tak pelik atau aneh jika sekarang ada lagi tok-tok guru dari Pas akan berbaik dengan Umno. Ahli-ahli Pas Terengganu reda dan faham akan hal ini.

“Konsep ‘samek na wa atok na’ diguna pakai oleh ahli-ahli Pas untuk mentaati pemimpin mereka walau apa pun yang diputuskan.

“Lagipun pemimpin Pas telah menunjukkan jalan keluar kepada ahli-ahli yang tidak berpuashati atau tidak boleh menerima dasar-dasar baru Pas supaya keluar parti dan tubuh parti baru,” katanya kepada Suara pakatan daily.