Sunday, June 18, 2017

Bapa Zulfarhan bimbang pembuli UPNM kembali ke universiti

Nawar Firdaws
June 18, 2017

Beliau khuatir pelajar lain menjadi mangsa mereka, kata Zulkarnain Osman, selepas anaknya meninggal dunia 1 Jun lepas selepas didakwa didera.
PETALING JAYA: Langkah membenarkan 13 pelajar meneruskan pembelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), walaupun selepas didakwa menyerang rakan universiti sehingga mati, menyinggung perasaan bapa mangsa yang khuatir mereka akan menyeksa pelajar lain.

Zulkarnain Idros, bapa kepada kadet tentera laut Zulfarhan Osman, berkata penyerang yang didakwa dalam kes buli ganas itu sepatutnya dibuang universiti.

“Mereka ada rekod membuli orang…kemudian nanti mereka buat hal lagi?” katanya.

“Hak university untuk bagi kaunseling. Saya tak boleh halang tapi yang anak saya bukan boleh hidup balik walau dengan kaunseling yang mereka bagi itu,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kelmarin, yang mengatakan 13 pelajar yang dibebaskan dengan ikat jamin sehingga sebutan semula kes sengaja menyebabkan kecederaan dibenarkan menyambung pelajaran mereka di universiti.

Semalam Idris menjelaskan beliau merujuk kepada 13 pelajar yang disiasat dalam kes kematian Zulfarhan tetapi tidak didakwa dengan sebarang kesalahan.

Zulkarnain bagaimana berkata mereka semua akan dibuang universiti kalau beliau seorang menteri pendidikan tinggi.

Bapa yang sedang hiba itu bagaimanapun menerima hakikat beliau tiada kuasa untuk melakukannya.

“Kesian orang lain kalau ada yang menjadi mangsa mereka,” katanya.

Beliau percaya sikap agresif mereka yang terlibat sukar dipulihkan walaupun dengan bantuan kaunseling.

Zulfarhan, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun selepas didakwa didera kerana mencuri komputer riba.

Beliau didakwa diikat dan dipukul kerana pertikaian mengenai sebuah komputer riba dan dilaporkan didera dengan tali pinggang, hos getah, seterika dan penyangkut baju.

Pelajar terbabit, semua berusia 21, dibawa ke mahkamah pada 14 Jun untuk berdepan tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34, di mana mereka boleh dipenjarakan sehingga 7 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lima pelajar UPNM lain didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Walaupun berasa khuatir 13 pelajar dibenarkan kembali ke universiti, Zulkarnain bimbang akan keadaan mental mereka yang dituduh membunuh Zulfarhan.

“Saya pun takut dia akan trauma sebab nama dah tersenarai dalam kes. Kawan-kawan mungkin akan pulaukan dia…takut nak kawan dengan dia.

“Kalau saya pun saya akan takut. Bukan apa…nanti silap cakap ke, silap apa ke, saya dipukulnya karang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-