Sunday, June 25, 2017

Wanita dilanggar motosikal ketika berbaris di Seri Perdana

Kow Gah Chie

Seorang wanita yang tidak dikenali dilaporkan cedera apabila dilanggar sebuah motorsikal ketika berbaris panjang menunggu giliran untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Aidilfitri di Seri Perdana di Putrajaya, pagi ini.
Wartawan Malaysiakini yang berada di tempat kejadian mendapati wanita itu terbaring di lantai sambil dikipas oleh mereka yang berada di sekelilingnya.

Pada mulanya, adalah dipercayai wanita berkenaan mungkin pengsan akibat cuaca panas ketika beratur.

Walau bagaimanapun, rakan yang membantu mangsa ketika ditanya, mendakwa, wanita itu dilanggar oleh sebuah motosikal ketika berbaris, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Wanita itu kemudian dibawa ke sebuah ambulan dan dipercayai dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan.

Keselamatan di Seri Perdana dilaporkan agak ketat pada tahun ini berbanding sebelum ini. Orang ramai dikehendaki menjalani imbasan keselamatan sebelum dibenarkan masuk.

Selain imbasan keselamatan, orang ramai dilarang membawa botol air, pemetik api, mancis, vape dan payung ke Seri Perdana.
Ribuan yang terpaksa berbaris sekurang-kurangnya setengah jam sebelum mereka boleh masuk ke perkarangan Seri Perdana.

Mereka yang tidak dapat menahan panas terik dan bahang itu terpaksa berpatah balik.

Bagaimanapun, anggota keselamatan membenarkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan bayi masuk tanpa perlu beratur apabila melihat sesetengah mereka mula menanggis akibat kepanasan.

"Semakin susah (bagi kita) untuk jumpa perdana menteri," kata seorang lelaki yang duduk di pembahagi jalan di depan barisan berkenaan.

Sebahagian besar orang ramai, bagaimanapun menunggu dengan sabar.

Pengunjung dilaporkan mula tiba di kediaman rasmi Najib seawal pukul 7 pagi walaupun acara hanya bermula pada pukul 10 pagi.

Rumah terbuka yang akan berlangsung sehingga jam empat petang ini turut dihadiri pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini, bersama dengan beberapa portal lain, termasuk Antara Pos, Vanakkam dan The Malaysian Insight, tidak dijemput untuk membuat liputan.

Wartawan Malaysiakini, yang kemudian beratur dengan orang ramai turut dihalang apabila polis yang mengenali beliau mengarahkannya supaya beredar.
Sementara itu, Bernama melaporkan rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di sini.

Tetamu mula berkumpul seawal 9 pagi di pintu masuk ke Seri Perdana. Rumah terbuka itu dari 10 pagi hingga 4 petang.

Buggy digunakan untuk membawa warga emas dan golongan kurang upaya ke khemah-khemah yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman.
Polis turut melakukan pemeriksaan badan dan beg pelawat.
Mereka yang hadir diraikan oleh Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan para menteri, antaranya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai yang berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada hos.

Najib, mengenakan 'baju Melayu' merah-jingga, dan Rosmah serta menteri Kabinet tiba pada tengah hari dan mula menyambut tetamu, antara mereka ialah pemimpin parti-parti politi, diplomat asing, wakil NGO dan pemimpin korporat.

Perkarangan Seri Perdana umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat dan bergambar dengan Najib, yang kelihatan segak dalam baju Melayu.
Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya makanan tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, dan diberikan pek ‘goodies’ manakala kanak-kanak diberikan ‘duit raya’.

Perkhidmatan bas percuma turut disediakan untuk mengambil dan menghantar orang ramai di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, dengan kadar kekerapan setiap 15 minit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-