Thursday, August 10, 2017

Gantung projek ECRL, 3 kumpulan bimbang kerosakan kawasan sensitif negara

FMT Reporters
August 10, 2017

Landasan kereta api sepanjang 690km itu melalui kawasan sensitif hutan dan sungai dan bakal mengancam perlindungan daripada bencana alam, kata mereka.
PETALING JAYA: Tiga kumpulan pemeliharaan alam sekitar menggesa penggantungan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kota Bharu, dengan berkata sebuah kajian terperinci perlu dijalankan menilai kesannya terhadap alam sekitar.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Treat Every Environment Special (Trees) berkata ia kerana ECRL yang menelan belanja RM55 bilion itu bakal melalui kawasan hutan sensitif di Semenanjung Malaysia yang tergolong di bawah Central Forest Spine (CFS), dan bakal memberi kesan terhadap hidupan liar dan sistem ekologi termasuk sungai dan kawasan paya.

“Kawasan alam sekitar yang sensitif ini amat penting dalam melindungi 90% bekalan air negara, membantu mengawal cuaca, banjir di samping melindungi biodiversiti yang tidak mungkin dapat diganti,” kata kenyataan bersama 3 pertubuhan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan antara penyokong kuat projek itu, yang merupakan salah satu daripada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Malaysia dengan China.

Ia diumumkan Najib pada Bajet 2017 yang dibentangkan tahun lalu, melibatkan syarikat gergasi China, China Communications Construction Co (CCCC) dengan pinjaman dibiayai Export-Import Bank of China (Exim).

Minggu ini ketika merasmikan projek tersebut, Najib berkata ECRL akan menjadi “game changer” kepada Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi tambahan 1% hingga 1.5% setiap tahun.

Landasan kereta api sepanjang 690km itu akan melalui 19 terowong melibatkan 12 hutan simpan, dan hampir 30 batang sungai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

MNS, Peka dan Trees bagaimanapun berkata pemagaran ECRL dan pembinaan terowong bagi mengelak kawasan hutan masih tidak menjamin projek itu mengganggu khazanah alam sekitar dan kehidupan liar seperti harimau, gajah, tapir dan beruang.

Mereka berkata sebuah moratorium perlu dilaksanakan segera ke atas ECRL “sehingga semua persoalan mengenai projek itu dijawab sepenuhnya.”

“Kerajaan persekutuan dan negeri dan semua yang mempunyai kepentingan perlu menjalankan kajian analisa kos dan faedah bagi memahami kesan ECRL terhadap negara ini.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-