Wednesday, August 2, 2017

Maklumat susur galur Mahathir tepat, kata Nur Jazlan

Maklumat yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai susur galur Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tepat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam menyatakan ini, Nur Jazlan berkata terdapat cara lain untuk mengesahkan perkara itu, seperti dengan memeriksa data pendaftaran sekolah atau universiti Mahathir.

"Semasa pendaftaran universiti, apa nama yang dia gunakan? Jabatan Pendaftaran Negara mempunyai butirannya," katanya.
"Bilakah Mahathir dilahirkan? Bilakah negara ini mula menggunakan 'bin'? Dia dilahirkan sebelum kemerdekaan, semasa pemerintahan British," katanya yang dipetik oleh portal The Sun, hari ini.

Ahad lalu, Ahmad Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir yang berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Ahmad Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Dr Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Pendedahan itu mengundang pelbagai kritikan, dengan ramai yang beranggapan timbalan perdana menteri itu melakukan satu kesalahan mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata bukan satu kesalahan bagi sesiapa untuk mendedahkan butir-butir kad pengenalan seseorang kepada orang ramai.

Katanya, butiran yang terkandung pada IC, termasuk nombor, adalah rekod awam dan dengan itu boleh didedahkan.

"Butiran IC adalah rekod awam. Semua orang boleh lihat nama dan butiran kita (seperti di IC)... Tidak salah (untuk mendedahkan butiranya)," katanya.

Susulan pendedahan itu, Dr Mahathir mencabar Ahmad Zahid membuktikan dakwaannya mengenai nama sebenarnya.

Laman Facebook dengan nama Mukhriz Mahathir FC kemudian tampil dan menjelaskan bahawa Iskandar yang disebut oleh Ahmad Zahid yang datang dari Kerala, India bukan bapa Mahathir sebaliknya adalah datuknya.

Ia turut menjelaskan, Kerala bukan bangsa asal India tetapi berketurunan Yaman.

Menurut penjelasan itu, Iskandar kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Johor dan mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Mohamad - yang adalah bapa Mahathir.

Iskandar kemudiannya berkahwin dengan Siti Hawa dari Johor dan maka lahirlah Mohamad pada 1881 di Pulau Pinang.

“Mohamad pula berkahwin dengan Wan Tempawan Bt Wan Hanafi maka lahirlah Tun M @Che Det. Che adalah kerana Wan berkahwin dengan rakyat kebanyakkan," kata kenyataan itu.


Read more at https://www.malaysiakini.com/news/390644#KOiTkYUAQiLARd3v.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-