Thursday, August 10, 2017

Pemaju diarah alih 20 patung di Taman MBI Desaku


Pejabat Daerah Kulim memberi tempoh hingga 30 September ini kepada sebuah syarikat pemaju untuk mengalihkan 20 patung yang tidak sesuai untuk dipamerkan kepada orang awam yang terdapat di taman berkonsep Bali di Taman MBI Desaku, Padang Meha di Kulim.

Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Kulim Mohamad Che Nai berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan mesyuarat semalam yang mana menetapkan beberapa patung Buddha dan dewa-dewi yang didirikan di taman tersebut perlu dialihkan.

“Selain itu, kita juga telah mengarahkan syarikat pemaju tersebut menyenaraikan kesemua karakter yang ada dan dirancang akan dibina di taman itu secara bertulis kepada pejabat daerah.

“Ini bertujuan untuk dikemukakan ke pejabat mufti negeri bagi mendapat pandangan dan kebenaran karakter yang mana sesuai untuk dipamerkan kepada orang awam," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembinaan Jalan Kubur Lama, Kampung Ujung Padang di Masjid Guar Lobak dekat Kulim hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan dihadiri kira-kira 100 penduduk sekitar.

Selasa lalu, Pejabat Daerah Kulim mengarahkan taman bertemakan Bali itu ditutup kepada orang ramai di samping dua patung wanita bersayap dialihkan selepas mendapat aduan daripada netizen yang kurang senang dengan karakter berunsurkan ketuhanan yang dipamerkan di situ.

Taman unik itu dimajukan syarikat terbabit dengan tarikan lebih 30 patung dan ukiran pelbagai saiz seperti watak Optimus Prime daripada Transformers, Spiderman dan Snow White.

Terdapat lima tema lanskap untuk tatapan pengunjung iaitu Holland, Disneyland, Bali, Kaktus dan Jepun.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, beliau menghargai semua perbincangan yang dilakukan dengan berlapang dada oleh pihak terbabit dalam isu patung tersebut bagi menjaga keharmonian beragama di negeri itu.

“Kita mahu taman itu memberi impak ekonomi dan pelancongan yang positif kepada kawasan tersebut. Saya lihat taman itu sebagai tarikan pelancongan dan menambah kemakmuran ekonomi yang bukan saja bertaraf negeri tetapi antarabangsa,” katanya.

- Bernama

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/391539#JFWqB2hriOsIIh2O.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-