Friday, August 11, 2017

Sepatutnya ketengahkan identiti Malaysia di majlis ECRL, kata persatuan penulis

Nabihah Hamid
PERSATUAN penulis menuntut penjelasan mengenai dakwaan majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan dirasmikan Perdana Menteri Najib Razak semalam didakwa tidak memaparkan imej Malaysia kerana dipenuhi bendera tulisan Cina.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata sekiranya benar, ia satu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

"Adakah betul berlaku, betulkah tiada bendera Malaysia kerana saya tidak berada di situ. Saya tidak boleh bagi pandangan semberono tetapi sekiranya betul dakwaan dalam majlis yang bersifat ekonomi begitu, untuk sebuah negara yang menjalin hubungan dengan negara asing, maka satu tragedi bagi sebuah negara merdeka.

"Setelah 60 tahun kita merdeka, terutamanya di bulan Ogos ini, kita masih lagi menjadi tawanan secara tidak langsung kepada ekonomi lain.

"Samalah kita masih dalam usia muda merdeka dahulu kerana masih bergantung bahasa Inggeris dan sebagainya," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dr Mohamad Saleeh merujuk kepada kecaman kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yang mendakwa majlis pecah tanah dipenuhi bendera dengan tulisan Mandarin di sepanjang jalan.

Dakwa NGO itu lagi tiada bendera Malaysia dikibarkan sehingga memperlihatkan seolah-olah majlis itu tidak diadakan di Malaysia.

Justeru tegas Dr Mohamad Saleeh kerajaan perlu lebih peka dan memberi perhatian terutamanya bila melibatkan bahasa Melayu yang terpelihara dalam Perlembagaan.

"Ini tidak sepatutnya berlaku dan kita berharap hal sebegini diberi perhatian kepada kerajaan dan walau apa sahaja pelaburan pihak lain, kita mesti ada hak untuk menunjukkan kenegaraan kita.

"Itu imej negara, negara kita bukan masih dalam tawanan walaupun ekonomi ditawan tetapi kita negara merdeka. Jika betul berlaku PENA kecewa," katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, Ketua Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Madya Zainal Abidin khuatir ia merupakan permulaan penjajahan negara asing terhadap Malaysia secara tidak langsung.

"Kita mengharapkan setiap majlis rasmi yang dihadiri perdana menteri di negara kita ini hendaklah diadakan dalam bahasa Melayu.

"Kekhuatiran kita ini menampakkan bentuk penjajahan baru di mana barang kali baru permulaan, nanti semua projek kontraktor daripada China akan ada tulisan cina.

"Kita mohon kerajaan tidak bertolak-ansur isu kedaulatan kerana setiap inci tanah tertakluk kepada kedaulatan itu. Kita harap kepekaan sensitiviti pemimpin dari atas hingga ke bawah termasuk birokrat, syarikat kerajaan, GLC, korporat mahupun teknokrat, sila hormati kedaulatan negara," katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Najib Razak merasmikan majlis pecah tanah yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao.

Bagaimanapun, Pemuda Umno Pahang menyangkal dakwaan majlis tersebut tidak memegang prinsip kenegaraan, tidak patriotisme dan bersifat Pro-China.

Ketuanya Shahar Abdullah berkata terdapat persembahan pentas menunjukan identiti budaya Malaysia, malah penyambut tetapi lengkap berpakaian tradisional Melayu iaitu kebaya.

"Bacaan doa juga sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dan Jalur Gemilang dipasang megah di atas pentas utama.

"Identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah," katanya dalam satu kenyataan.

Semakan The Malaysian Insight di Internet terdapat satu blog yang menyebarkan gambar aktiviti keseluruhan majlis menangkis dakwaan Perkasa.

Blog tersebut turut meletakkan gambar Perdana Menteri berucap di atas pentas yang dihiasi dengan bendera.

Semalam, gambar sepanjang jalan pecah tanah yang digantung bendera tulisan cina mendapat perhatian Perkasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-