Wednesday, December 27, 2017

Pindah milik? kami tak tahu pun

Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@mediaprima.com.my
Ahli Lembaga Pengarah FELDA melakukan sidang media di Pejabat FELDA Wilayah Johor Bahru berhubung isu Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). Foto Zain Ahmed

AHLI Lembaga Pengarah FELDA tidak pernah diberitahu berkaitan pemindahan hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur kepada pihak lain.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Samsuddin Othman berkata, ahli lembaga pengarah hanya diberitahu berkenaan cadangan membangunkan tanah itu oleh pengurusan terdahulu FELDA.

Katanya, ia termasuk cadangan membangunkan pusat komersial termasuk hotel yang berupaya menjana pendapatan kepada FELDA.

"Malah Ahli Lembaga Pengarah FELDA memberikan persetujuan untuk projek berkenaan tetapi kami tidak dimaklumkan siapa yang akan memajukannya apatah lagi membabitkan pemindahan hak milik tanah," katanya dalam sidang media di Pejabat FELDA Wilayah Johor Bahru di sini, hari ini.

Samsuddin adalah salah seorang ahli lembaga pengarah agensi itu dan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) mewakili seramai 112,635 peneroka dari 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.

Katanya, pihaknya langsung tidak mengetahui berkaitan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan menyifatkan pengurusan FELDA yang terdahulu tidak telus dalam membuat keputusan perniagaan atau melakukan sesuatu.

"Malah, JKKP hanya tahu bahawa tanah milik FELDA di Jalan Semarak itu menjadi hak orang lain melalui pendedahan media massa dan sekiranya tahu lebih awal, pasti perkara itu tidak akan berlaku," katanya.

Shamsuddin berkata, warga FELDA seluruhnya kecewa dengan urus tadbir yang lemah itu dan bersetuju serta menyokong penuh pengurusan FELDA di bawah pentadbiran Tan Sri Shahrir Samad untuk memastikan tanah bernilai ratusan juta itu dikembalikan hak dan kuasa kepada FELDA.

"Kami mahu walau dengan apa cara sekalipun tanah itu dikembalikan kerana tanah itu aset FELDA dan permulaannya pentadbiran FELDA bertapak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 1:19 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-