Showing posts with label FELDA. Show all posts
Showing posts with label FELDA. Show all posts

Thursday, March 7, 2024

Pendakwaan rayu pelepasan, pembebasan Isa Samad

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 7, 2024 12:17 PM
Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula sabitan bersalah ke atas bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad berhubung sembilan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan awal hari ini.

"Kami baru sahaja memfailkan notis (rayuan)," kata Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, 75 yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan terhadap keputusan bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Bercakap bagi pihak rakan hakim panel Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, Vazeer Alam memutuskan bahawa hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah salah arah dirinya apabila mensabitkan perayu.

Vazeer Alam berkata apabila terdapat dua versi peristiwa mengenai wang yang didakwa diberikan kepada Isa, maka faedah kesangsian itu sepatutnya diberikan kepada perayu.

[Baca berita penuh]

Wednesday, March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta

utusantv.com
Oleh Auzaee Athallah
-March 6, 2024

Isa Samad lepas, bebas tuduhan rasuah RM3 juta
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kelihatan gembira selepas dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera secara sebulat suara bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dan Datuk S.M. Komathy.

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Vazeer Alam Mydin, beliau berkata bahawa terdapat dua versi dan percanggahan dalam kes pendakwaan berhubung tujuan sebenar suapan itu.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Mohd Isa sebelum ini berdasarkan keterangan-keterangan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16),Ikhwan Zaidel.

“Hakim bicara membuat dapatan bahawa suapan itu diberi secara rasuah oleh SP16 kerana bimbang sekiranya pembayaran tidak dibuat, maka perayu boleh menjejaskan kontrak penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) dan hasil jualan boleh dibatalkan kerana pengaruh perayu sebagai Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB)

Susulan kebimbangan terhadap pengaruh Mohd. Isa sebagai pengerusi FICSB berkaitan penyiapan kontrak MPHS itu, ia telah menjadi punca bekas Ahli Lembaga GAPSB berkenaan memberikan suapan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sekiranya ketakutan dan kebimbangan itu mempengaruhi pembayaran suapan kepada SP-16, maka pertuduhan-pertuduhan itu adalah defektif kerana perkara itu tidak dinyatakan di dalam kesemua sembilan pertuduhan.

“Pertuduhan itu sendiri menetapkan bahawa suapan itu sebagai ganjaran atas bantuan Mohd Isa dalam mendapatkan kelulusan FICSB untuk pembelian MPHS.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Oleh itu, kami mendapati bahawa keseluruhan sabitan ke atas sembilan pertuduhan itu adalah tidak selamat.

“Kami mendapati bahawa terdapat merit dalam rayuan itu dan wajar ada campur tangan.

“Rayuan terhadap sabitan dan hukuman terhadap semua pertuduhan dibenarkan. Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas serta dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Isa ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu selesai berkata beliau menzahirkan kesyukuran dan perasaan lega selepas keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepadanya.

“Saya berasa lega dan keputusan ini akan memudahkan urusan saya serta keluarga menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Terima kasih khususnya kepada peguam dan rakan-rakannya kerana telah menjalankan tugas dengan baik selain turut bersusah dan bersabar selama enam tahun,” katanya.

Sebelum ini Mohd. Isa disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Susulan sabitan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu ke atas Mohd. Isa.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan atas kesalahan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta melibatkan pembelian sebuah hotel di Sarawak selepas dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hakim Mohd. Nazlan dalam penghakimannya berpandangan pembelaan Mohd. Isa adalah perkara yang difikirkan kemudian tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.

Ekoran itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Dalam prosiding rayuan pada 16 Oktober tahun lalu, peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd. Isa berhujah bahawa anak guamnya itu perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd. Isa menerima wang berkenaan.

Hujahnya lagi, Mahkamah Tinggi sbeelum ini menggunakan prinsip undang-undang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan yang tidak dinilai secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berhujah bahawa Mohd. Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel, dalam mana-mana urus niaga yang membabitkan jumlah berkenaan.

Suapan berkenaan dikatakan diterima oleh Mohd Isa melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Friday, July 28, 2023

Hutang Felda: Muhyiddin heret Anwar ke mahkamah

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 28, 2023 3:01 PM
Muhyiddin Yassin memfailkan writ saman ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu penghapusan hutang peneroka Felda yang menyaksikan kedua-dua pemimpin politik itu terbabit dalam pertikaian.

Saman berkenaan difailkan pasukan peguam bela PN dari firma Rosli Dahlan Saravana dan dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Tindakan sivil itu dibuat susulan Muhyiddin dan Anwar saling mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan ucapan perdana menteri pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang setimpal dengan pampasan RM200 juta daripada Anwar.

Selepas menerima surat tuntutan daripada Muhyiddin atas dakwaan fitnah, pada 21 Julai pula Anwar membalas dengan menghantarnya 'pendahuluan surat tuntutan' sebanyak RM200 juta berhubung dakwaan memfitnah perdana menteri.

Dalam pernyataan tuntutan mahkamah terkini, Muhyiddin berhujah bahawa semasa menjadi perdana menteri dalam tempoh pandemik Covid-19 2020 hingga 2021 dan selepasnya, dia dan kabinet membangunkan rancangan untuk meringankan kesusahan rakyat dan memacu pemulihan ekonomi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata antara inisiatif berkenaan ialah menghapuskan kira 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada RM12.1 bilion.

Dia berkata semasa mesyuarat kabinet pada 14 Okt 2020 beberapa keputusan dibuat, iaitu menghapus kira RM8.3 bilion hutang, meluluskan terbitan sukuk (bon Islam) RM9.9 bilion untuk dijamin oleh kerajaan bagi meningkatkan ekuiti Felda dalam FGV Holdings Berhad dan mengurangkan hutang Felda, dan meluluskan suntikan geran tahunan kerajaan RM990 juta kepada Felda untuk pembayaran balik sukuk.
Muhyiddin yang juga pengerusi PN mendakwa bahawa penepian hutang peneroka Felda dapat dibuktikan dengan beberapa peristiwa, seperti penyata kewangan Felda bagi tahun kewangan berakhir 2021.

Plaintif berhujah hapus kira hutang itu dibuktikan dengan jawapan bertulis oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat bertarikh 16 Dis 2021, mengenai 98,605 peneroka Felda (kira-kira 87.54 peratus daripada 112,638 peneroka) telah dilaksanakan.

Muhyiddin berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di parlimen bertarikh 23 Feb tahun ini pula menunjukkan pengecualian hutang diluluskan pada 2021.

Diterima anak guam

Plaintif juga menegaskan kenyataan media oleh pengerusi Felda Idris Jusoh dan peneroka sendiri bahawa RM8.3 bilion hutang telah dihapus kira pada 2021.

Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar yang dibuat pada 7 Julai lalu antara lain membayangkan dia berbohong mengenai penghapusan hutang peneroka Felda, serta seorang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri ketika itu mengenai pengecualian hutang, dan menyalahgunakan kuasanya.

Selain ganti rugi, Muhyiddin juga memohon antara lain injunksi untuk menghalang defendan daripada terus memfitnahnya serta perintah mahkamah agar perdana menteri menurunkan kenyataan fitnah yang didakwa dalam talian dalam video di Facebook Anwar serta YouTube.

Muhyiddin juga meminta Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan di semua portal berita, media massa dan platform media sosial.

Muhyiddin juga mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri sejak membentuk kerajaan selepas berakhinya PRU ke-15 akhir tahun lalu.

Antara lain Muhyiddin mendakwa sebagai menteri kewangan Anwar membuat dakwaan sensasi, tidak berasas dan palsu terhadap plaintif dan keluarganya.

Muhyiddin juga mendakwa Anwar meminta pelbagai agensi penguatkuasaan untuk menundukkan pemimpin pembangkang kepada pendakwaan jenayah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Anwar Sankara Nair berkata bahawa anak guamnya telah dihantar salinan kertas kausa tuntutan mahkamah yang tidak dimeterai melalui e-mel.

[Baca berita penuh]

Saturday, July 22, 2023

Isu hutang Felda: Bapa saya tok guru, pesan jangan bohong - Muhyiddin

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Jul 22, 2023 
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kekal dengan pendiriannya dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda dan menegaskan akan berdepan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di mahkamah.

“Hari ini dia saman saya, dia kata saya bohong. Tak apa kita pergi mahkamah, nanti mahkamah kita harap akan buat keputusan adil, siapa salah tetap salah.

“Saya nak beritahu saya tidak bersalah. Tapi ini perdana menteri namanya Anwar Ibrahim bodoh, tak faham yang mana satu bayar hutang mana satu sukuk.

“Anwar, itu bon. Yang ini penghapusan hutang peneroka Felda tak sama. Tapi dia tak mengaku salah,” katanya ketika menyampaikan ceramah di program Munajat Rakyat dan Pakat Pertahan PAS Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Muhyiddin dan Anwar kini terlibat dalam perang mulut mengenai usaha siapa yang membolehkan pelupusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda.

Skim itu dijanjikan oleh Muhyiddin pada 2021 tetapi Anwar berhujah bahawa ia hanya menjadi kenyataan pada tahun ini kerana dia telah mengatur dana untuk menyelesaikan masalah hutang Felda.

Bagaimanapun, Muhyiddin berhujah bahawa kedua-dua perkara itu tidak berkaitan menyebabkan Anwar memberikan dua dokumen yang didakwanya akan menunjukkan sebaliknya - perjanjian Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) dan surat terbitan sukuk.

Muhyiddin kemudian membalas dengan berkata dokumen yang dikeluarkan Kementerian Kewangan membuktikan Anwar tidak memahami dokumen yang ditandatanganinya.

Semalam, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin dan memintanya membayar ganti rugi RM200 juta berhubung dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Anwar juga meminta permohonan maaf daripada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam, serta penarikan balik surat tuntutan Muhyiddin dan kenyataan yang dibuatnya berkenaan perkara itu.

Mengulas mengenai saman RM200 juta terhadapnya terhadapnya, bekas perdana menteri itu mendakwa Anwar tidak dapat membezakan antara penghapusan hutang dengan sukuk.

“Kita (ketika menjadi kerajaan) hapuskan hutang lapuk mereka sebanyak RM8.3 bilion. Tak perlu bayar lagi, dalam buku kira-kira dah tak ada lagi.

“Tahun 2021 kita dah laksanakan, saya tanya kepada kawan-kawan peneroka Felda mereka kata dah habis selesai. Tapi perdana menteri kata saya cakap bohong, Muhyiddin pandai bercakap saja. Siapa bohong?

“Saya tak pernah bohong, pak saya pun tok guru beritahu 'kau jangan bohong'. Memang pun kita tidak bohong, ada bukti. Jadi apabila dia (Anwar) kata saya yang salah, dia fitnah kepada saya, saya saman dia,” katanya lagi.

Pada 20 Julai lalu, Felda dalam kenyataan berkata tidak ada percanggahan antara apa yang dijanjikan Muhyiddin dan apa yang kemudiannya dinyatakan oleh Anwar.

Felda memaklumkan penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu telah dibuat tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022.

Thursday, July 20, 2023

Dokumen didedah bukti PMX berbohong, Muhyiddin minta peguam teruskan tindakan saman

agendaily.com
20/07/2023
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan saman akan diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran fitnah dibuat berhubung isu penghapusan hutang peneroka FELDA.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ternyata Anwar membuat fitnah terhadapnya kononnya tidak menghapuskan hutang peneroka selepas dokumen yang didedahkan hari ini adalah berkenaan sukuk dan membuktikan penipuan yang dibuat oleh Presiden PKR itu.

“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dokumen itu berkenaan Sukuk.

“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan Sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.

“Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.

Muhyiddin memberi respon balas terhadap dokumen yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan hari ini adalah berkenaan Dokumen Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) berhubung Jaminan Kerajaan kepada FELDA dan ia juga tidak menyentuh secara spesifik berhubung penghapusan hutang peneroka seperti yang diwar-warkan oleh Anwar kepada orang ramai sebelum ini.

Anwar juga dibidas Muhyiddin sebagai tidak memahami kandungan dokumen ditandatanganinya dan ia amat merbahaya kepada negara dan membuktikan dirinya tidak layak untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta peguamnya untuk meneruskan saman terhadap Anwar kerana gagal meminta maaf dalam tempoh 24 jam.

“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” ujarnya lagi.

‘’Itu perjanjian sukuk bukan pelupusan hutang peneroka’’ kata Dr.Marzuki kepada Anwar

wartarakyat.com.my
By Wartawan WartaRakyat
-July 20, 2023

BEKAS Setiausaha Sulit Kanan PM, Datuk Dr.Marzuki Mohamad hari ini mendakwa dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perjanjian pelupusan hutan peneroka Felda.

Tetapi kata beliau, dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingka.

Berikut kenyataan penuh Dr.Marzuki melalui Facebook beliau;

Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.

Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

Kabinet pada 14 Oktober 2020 (ketika Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri) telah MELULUSKAN Pelan Pemulihan FELDA yang di dalamnya termasuklah pelupusan 80% hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion, penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV dan penyelesaian hutang FELDA dengan Maybank dan KWSP dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada FELDA oleh Kerajaan Persekutuan.

Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri TIDAK membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023. Ia adalah berkenaan penerbitan SUKUK BERJAMINAN KERAJAAN yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan kabinet pada tahun 2020. Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan MESTI menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan.

Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan.

Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka FELDA, eloklah kerajaan “declassify” minit mesyuarat kabinet tersebut untuk tatapan rakyat.

Saturday, July 8, 2023

Anwar ‘bohong’ tentang pelupusan hutang peneroka Felda, kata Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
08 Jul 2023, 2:30pm

Sebelum ini perdana menteri dilaporkan berkata pentadbiran Muhyiddin Yassin gagal melaksanakan inisiatif melupuskan hutang peneroka Felda.
Muhyiddin Yassin menegaskan ‘dengan pembohongan yang terbaru ini’ semakin jelas Anwar Ibrahim tidak layak kekal menjadi perdana menteri.

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong mengenai usahanya melupuskan hutang peneroka Felda.

Pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang semalam, Anwar berkata, pentadbiran Muhyiddin sebelum ini mengumumkan akan melupuskan RM8.3 bilion pinjaman yang diberikan kepada peneroka Felda, tetapi langkah itu tidak pernah dilaksanakan.

Di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata: “Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar.

“Pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri. Hal ini disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Feb 2023, (yang menyatakan) pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada 2021.

“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.”

Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 23 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah menghentikan inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin untuk melupuskan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Katanya, kerajaan tidak akan dapat meneruskan inisiatif itu kerana ia membawa “impak besar” terhadap kewangan Felda.

Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaannya bersetuju melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif pelupusan hutang itu akan mengurangkan beban peneroka sebanyak kira-kira 80%, dan ia diperlukan agar Felda dapat membina dirinya semula dan membolehkannya setanding dengan ladang antarabangsa lain.

Muhyiddin hari ini berkata, bekas pengerusi Felda Idris Jusoh juga mengeluarkan kenyataan pada 24 Feb yang mengesahkan bahawa RM8.3 bilion daripada jumlah hutang peneroka Felda sebanyak RM12.1 bilion telah dilupuskan pada 2021.

Langkah ini memberikan impak yang besar terhadap aliran tunai Felda, katanya.

“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar,” katanya.

“Dengan pembohongan yang terbaru ini, semakin jelas Anwar bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi perdana menteri.”

Sunday, February 26, 2023

Pekebun mahu harga lantai getah bukan naikkan IPG, kerajaan diberitahu

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou - 26 Feb 2023, 10:00am

Pekebun kecil getah berkata, harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram dilihat mampu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pekebun kecil getah mahu kerajaan menetapkan harga lantai getah, bukannya menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad, berkata pekebun sebenarnya mengharapkan penetapan harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram yang dilihat lebih banyak memberi manfaat kepada mereka.

“IPG bukan harga lantai. Untuk IPG, pekebun kecil mesti membuat permohonan, ini bermaksud ada proses seterusnya. Misalnya, kalau harga getah itu berada bawah paras RM2.70, maka sistem IPG itu diaktifkan.

“Jadi ia bukan bersifat automatik. Kalau harga lantai kami fahamlah, itu harga minimum getah pekebun kecil inginkan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau bersyukur dengan pengumuman kerajaan meningkatkan IPG kerana ia membuktikan wujudnya komitmen kerajaan untuk mempertingkat kebajikan pekebun kecil getah.

Tambahnya, tempoh bantuan musim tengkujuh selama empat bulan perlu diteliti semula berikutan musim hujan dan panas sudah berubah ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman, berpendapat pelarasan paras harga IPG dari RM2.50 ke RM2.70 sekilogram masih dianggap terlalu rendah pada masa ini.

Aktivis Felda itu berkata, sepatutnya ia dinaikkan kepada RM3.50 sekilogram seperti digesa NGO dan juga pekebun kecil sebelum itu.

“Dengan kos sara hidup mencanak naik, RM2.70 tidak lagi memadai,” katanya.

Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan, serta akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan.

Mulai Januari 2019, IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.

Saturday, April 23, 2022

Rafizi dakwa berlaku penyelewengan pelaburan RM1 bilion Felda di London

bebasnews,my
By Syahir Kassim
-23/04/2022

KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa berlaku penyelewengan berkaitan pelaburan Felda bernilai lebih RM1 bilion ke atas dua hartanah di London pada tahun 2014 dan 2015 lalu.

Malah lebih mengejutkan beliau berkata, Hotel Felda Grand Plaza Kensington dan Felda House telah didaftar atas nama syarikat-syarikat berdaftar British Virgin Island (BVI) yang tiada kaitan dengan Felda.

Dakwa beliau, hasil pencarian rasmi dengan Pejabat Pendaftar Tanah United Kingdom mendapati pemilik syarikat-syarikat itu masih tidak diketahui sehingga hari ini dan hotel tersebut telah ditutup.

“Saya telah tunjukkan sepanjang minggu lepas bagaimana isu pelaburan Felda di London bernilai lebih RM1 bilion bukan sahaja persoalan keputusan pelaburan yang membazir (kerana harga yang dibayar terlalu mahal dan dicemari penyelewengan).

“Bahkan secara rasminya Felda tidak pun memiliki hartanah-hartanah yang dibeli itu,” katanya menerusi koleksi AmanahResearchUnit.

Calon Timbalan Presiden PKR itu turut melampirkan salinan geran-geran hakmilik hartanah tersebut sebagai bukti menerusi blognya.

Katanya, hartanah itu ialah Hotel Grand Plaza Kensington dibeli dengan harga £60 juta (anggaran RM330 juta) pada tahun 2014 yang secara rasmi dimiliki oleh FIC London Hotel Pte Limited yang ditubuhkan di BVI.

Hartanah lain ialah Felda House yang dibina dengan anggaran kos RM380 juta dalam tahun 2015 dan secara rasmi dimiliki oleh FIC Global Limited yang juga ditubuhkan di BVI.

“Saya lampirkan bersama geran-geran hakmilik hartanah sebagai bukti. Pembaca juga boleh menyemak kenyataan media terdahulu mengenai hartanah ini dan pelaburan Felda di London di http://rafiziramli.com/category/felda/),” katanya.

Sehubungan itu Rafizi menanti bekas Pengerusi Felda,Tan Sri Shahrir Samad untuk memberi maklum balas kepada pendedahan itu, tetapi terus senyap sejak minggu lalu setelah menuduh beliau tidur dalam isu tersebut.

Beliau berkata, sehingga hari juga masih belum ada sebarang jawapan baik daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Paling kurang, saya berharap agar ada sedikit penafian untuk menunjukkan saya tersilap kerana lebih baik saya dibuktikan salah daripada kemungkinan yang lagi satu iaitu sekurang-kurangnya RM1 bilion dana awam telah diselewengkan kepada syarikat-syarikat misteri yang tidak diketahui pemiliknya.

“Jika ia sudah dikira teruk, saya terpaksa membawa satu lagi perkembangan yang lebih teruk pada hari ini.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa syarikat BVI yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel (seperti yang terkandung di dalam geran hakmilik) telah pun ditutup,” katanya.

Menurut Rafizi, syarikat tersebut, FIC Hotel London Pte Limited telah dibubarkan dari senarai syarikat yang didaftarkan BVI pada 3 Mei 2016 yang kerana tidak membayar yuran tahunan.

“Saya lampirkan Bersama warta rasmi Kerajaan BVI Vol L, No 27 bertarikh 19 Mei 2016
(yang boleh dimuat turun dari https://data.occrp.org/text/2658944?dq=strike%20off%20list%203rd%20may,%202016&page=1)

“Ia secara rasmi menyenaraikan FIC Hotel London Pte Limited sebagai salah satu syarikat yang dibubarkan dan dibatalkan pendaftarannya selaras dengan undang-undang BVI.

Beliau juga berharap pendedahan itu mendapat perhatian orang ramai serta pengurusan tertinggi Felda yang selama ini berdiam diri kerana mereka berdepan risiko hotel yang dibeli pada harga yang mahal dengan wang Felda tersebut.

“Ia bukan sahaja didaftarkan atas nama syarikat lain, kini Felda akan kehilangan hotel dan wang pelaburan untuk selama-lamanya (jika ini tidak diselesaikan segera),” katanya.

Justeru Rafizi meminta penjelasan penuh dari Najib dan Shahrir mengenai status pelaburan Felda di Hotel Grand Plaza Kensington di London;

i. Setelah FIC London Hotel Pte Limited disahkan telah dibubarkan pada kala syarikat itu secara rasmi adalah pemilik hotel RM330 juta yang dibeli oleh Felda (mengikut geran hakmilik), bagaimana Felda merancang untuk mendapatkan kembali hakmilik hotel tersebut?

ii. Jika Felda ingin mendapatkan kembali hakmilik hotel itu, Felda tidak mempunyai pilihan selain mengesan dan mendedahkan pemilik sebenar FIC London Hotel Pte.

iii. Siapakah yang berada di belakang penubuhan FIC London Hotel Pte Limited? Adakah Felda akan membuat kenyataan umum menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan dalam siri pendedahan Felda yang saya buat sejak minggu lepas?
 

BebasNews

Sunday, March 6, 2022

‘On tak on’, Najib cabar Muhyiddin debat isu FELDA, jemput Azmin bantu ‘bos’ dia

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-March 6, 2022 6:40 PM

Najib Razak mencabar Muhyiddin Yassin berdebat isu FELDA sambil Pengerusi PN itu dibantu Ketua Penerangannya Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berdebat mengenai isu FELDA dan mencadangkan Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali membantu Presiden Bersatu itu ketika berdebat nanti.

“Azmin cabar saya debat mengenai FELDA. Dia tuduh saya hancurkan FELDA. Mana mungkin saya akan hancurkan FELDA sedangkan itu idea ayah saya.

“Saya tiada masalah (berdebat berkenaan FELDA) tetapi saya tak nak debat Azmin sahaja, sebab saya bimbang di atas pentas, saya tak nampak mukanya sebab kurang HD.

“Saya amat mengalu-alukan untuk berdebat dengan ‘bos’ dia (Muhyiddin),” katanya dalam ceramah di Johor.

Semalam, Azmin mencabar Najib berdebat dengannya mengenai isu FELDA.

Katanya, debat itu hendaklah dilakukan sebelum proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendakwa, kepimpinan Najib menghancurkan peneroka dan masa depan FELDA.

Najib menjelaskan, ketika mentadbir kerajaan, beliau banyak menghulurkan bantuan kepada peneroka FELDA.

“Fakta adalah fakta…dan fakta serta kebenaran akhirnya akan menang,” katanya.

Najib berkata, beliau akan terus membongkarkan penipuan dalam ceramah Azmin dan Muhyiddin di setiap ceramah dalam kawasan peneroka tersebut.

Beliau turut menggesa Azmin berhenti menipu peneroka dan rakyat.

“Mari kita debat, Muhyiddin. Jangan bimbang. Azmin akan bantu kamu. Jika Muhyiddin mahu debat, hutang 1MDB pun dia boleh tanya dan saya akan buktikan sekali lagi bahawa ianya bukan dibayar wang rakyat.

‘On tak on’,” katanya.

Sementara itu, calon BN di DUN Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim yang turut hadir dalam ceramah Najib berkata, BN banyak membantu warga FELDA dan menjaga kebajikan peneroka.

“Saya juga berjanji akan menyelesaikan masalah di FELDA jika menang nanti. Orang FELDA kena sedar diri, kita dah duduk lama. Kami menyumbang juga pada negara,” katanya.

Isu Felda: Azmin cabar Najib berdebat

satuberita.my
By Admin
-March 6, 2022


KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda sebelum proses pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata, isu Felda penting dan menarik untuk didebatkan apatah lagi tanah rancangan tersebut terjejas teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Isunya Felda dimusnahkan di zaman pentadbiran beliau ketika itu. Kita ada fakta-fakta bagaimana pembelian banyak hartanah di luar negara (seperti) di Kensington, di Sarawak dan sebagainya.

“Itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Kertas Putih itu telah pun membuktikan bahawa pengkhianatan terhadap peneroka Felda.

“Itu terlalu jelas dan beliau tidak boleh mendabik dada bahawa UMNO menyelamatkan Felda,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Umum Ikrar Demi Bangsa Johor di markas PAS kawasan Muar, cawangan Parit Pechah, Muar, malam tadi.

Azmin yang merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

“Saya sebut tadi angka-angka bagaimana tanah-tanah Felda dipajak kepada FGV, sebelum itu pendapatan Felda amat besar untuk menampung operasi Felda dan juga kebajikan peneroka Felda.

“Tetapi akhirnya lihat saham FGV merudum daripada RM4.55 kepada 64 sen, hutang Felda melebihi RM10 bilion, terpaksa mengambil sukuk dan ini terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Ini semua harus dizahirkan dan dimaklumkan kepada peneroka Felda untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada Perikatan Nasional untuk terus membela nasib mereka dan masa depan Felda,” jelasnya.

Mengulas mengenai kaedah debat, Ahli Parlimen Gombak itu terbuka dengan pelbagai kaedah.

“Apapun boleh. Secara maya juga boleh sebab norma baharu,” katanya.

Monday, February 21, 2022

PRN Johor: Jasa Muhyiddin lupus hutang peneroka Felda RM8.3 bilion

agendaily.com
21/2/2022

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelupusan hutan peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion pada 7 Julai 2021, ketika menjadi Perdana Menteri.

Keprihatinan Perikatan Nasional (PN) terhadap kesusahan hidup rakyat bukan satu retorik sebaliknya terbukti apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda tahun lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah dibuat Ahli Parlimen Pagoh itu menunjukkan PN sebagai gabungan politik yang prihatin dengan masalah rakyat dan sumbangan tersebut tidak dapat dinafikan mana-mana pihak.

“Ini bukan retorik, ini bukan sembang kosong, ini fakta. Kita yang buat untuk bantu warga Felda. Apa yang dilakukan ini tidak dapat dijawab oleh UMNO. Jadi ini perlu diketahui dan disampaikan kepada rakyat.

“Bila Pakatan Harapan (PH) ambil alih pentadbiran di Putrajaya, tiada ‘political will’ ditunjukkan PH untuk bantu warga Felda. Ini bukan saya kata tapi rakan pimpinan daripada Parti Amanah Rakyat (AMANAH) akui sendiri kata PH tak sungguh-sungguh bantu warga Felda,” katanya.

Namun apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, tidak sampai tiga bulan pertama beliau cuba menyelesaikan hutang peneroka, termasuk masalah lain yang dihadapi Felda ketika itu, kata Wan Saiful.

“Itu adalah salah satu sumbangan terbesar Tan Sri Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri bagi meringankan beban peneroka,” katanya pada Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak dekat Kulai malam tadi.

Beliau berkata, jasa Muhyiddin itu perlu diketahui rakyat Johor terutama warga Felda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah negara, perkara tersebut tidak terfikir dan tidak mampu dilakukan malah sehingga gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita kena beritahu ketika Felda di bawah pemerintahan UMNO dan BN dulu, peneroka terpaksa tanggung hutang yang amat tinggi.

“Semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dimansuhkan hutang warga Felda bernilai ratusan ribu ringgit untuk setiap keluarga.

“Ini jasa-jasa yang ditinggalkan kerajaan semasa dipimpin Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon adalah pada 26 Februari 2022 dan hari mengundi awal pada 8 Mac 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN itu adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari 2022.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan; Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Wednesday, February 3, 2021

Rasuah RM3 juta: Isa Samad dihukum penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

FMT Reporters

-February 3, 2021 1:30 PM

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad tiba di mahkamah pagi tadi.

KUALA LUMPUR : Bekas Pengerusi Felda Isa Samad dihukum penjara enam tahun, dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Nazlan memerintahkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta tetapi Isa, 71, hanya perlu menjalani penjara selama enam tahun kerana hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Dalam menjatuhkan hukuman itu, Nazlan berkata rasuah adalah “barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.”

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar (Negeri Sembilan) selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang menggugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Dalam penghakimannya, Nazlan berkata mahkamah mendapati pembelaan defendan terhadap sembilan tuduhan rasuah itu sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian.

Isa dituduh menerima RM3.09 juta dalam sembilan transaksi, antara Julai 2014 hingga Disember 2015.

Wang itu dibayar ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel kepada Isa kerana meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation. Wang itu kemudian diserahkan kepada Isa menerusi bekas pembantunya Muhammad Zahid Md Arip.

“Memang benar tiada sesiapa menyaksikan penyerahan itu. Zahid dalam keterangannya berkata, wang itu diserahkan kepada tertuduh secara rahsia.

“Keterangan oleh saksi pembela seperti bekas setiausaha tertuduh (Zuraida Ariffin @ Shaari) dan pengawal peribadi (Kamar Bashah Shariff) juga tidak membantu kes pembelaan.

“Setiausaha itu mungkin tidak melihat Zahid berjalan masuk ke bilik tertuduh dengan memegang sesuatu, dan pengawal peribadi itu juga tidak semestinya memeriksa beg tertuduh pada penghujung hari,” kata Nazlan.

Berhubung keterangan seorang lagi saksi pembela, Mohamad Jani Ismail yang mendakwa mendengar Zahid ‘mengaku’ menerima habuan RM2 juta malah mengesahkan akuan berkanun (SD) mengenai kejadian itu, Nazlan berkata SD berkenaan hanya disahkan setahun selepas pertemuan itu didakwa berlaku.

“SD itu hanya timbul ketika soalan utama oleh pihak pembela tetapi tidak pernah dibangkitkan dalam kenyataan saksinya.

“Pada saya pelik kenapa saksi tidak melaporkan ‘pengakuannya’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebaik pertemuan selesai pada Jun 2018 kerana ketika waktu material itu, siasatan masih berlangsung,” katanya sambil menambah Isa hanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada Disember tahun sama.

Nazlan juga berkata, mahkamah menolak dakwaan Isa bahawa Zahid mahu mengaitkannya dalam pembelian hotel itu untuk mengelakkan pendakwaan.

“Saksi (Zahid) bekerja dengan tertuduh dari 2011 hingga 2016 dan sepanjang enam tahun bersamanya, ada pertikaian antara mereka berhubung isu kerja.

“Kontrak saksi ditamatkan selepas tertuduh menuduhnya pengkritik lantang kerajaan ketika itu yang menunjukkan sokongan untuk pembangkang.

“Tiada sebab untuk saksi mengaitkannya sebegitu,” katanya.

Sementara itu, mengulas perbualan dikatakan antara Isa dan Zahid di ibu pejabat SPRM beberapa bulan sebelum Isa didakwa, Nazlan berkata Isa tidak mengambil langkah memaklumkan penyiasat SPRM berhubung ‘pengakuan’ Zahid itu.

Isa sebelum ini memberitahu mahkamah, dia menemui Zahid dua kali pada 2018 iaitu ketika satu majlis pengebumian dan di SPRM Putrajaya, di mana Zahid mendakwa tertekan ketika ditahan reman kerana diletakkan dalam lokap berhantu menyebabkannya tiada pilihan selain mengaitkan Isa.

“Bagaimanapun, pembelaan tidak menyoal balas Zahid mengenai dua perjumpaan itu, atau memanggil saksi bagi menyokong keterangannya,” kata Nazlan.

Terkini: Isa Samad disabitkan bersalah, 9 kes rasuah

themalaysialife.com
February 3, 2021 11:05 am


Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas semua sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Menurut hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikenakan ke atas tertuduh.

Mohd Nazlan dijangka menyampaikan keputusan hukuman ke atas bekas menteri besar Negeri Sembilan tidak lama lagi.

berita lanjut menyusul

Kes rasuah RM3 juta: Nasib Isa Samad ditentukan hari ini

freemalaysiatoday.com
Bernama
-February 3, 2021 10:02 AM

Isa Abdul Samad didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

KUALA LUMPUR: Semua mata akan tertumpu ke Mahkamah Tinggi hari ini yang dijadual menyampaikan keputusan terhadap bekas Pengerusi Felda Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka memberikan penghakimannya pada 9.30 pagi ke atas Mohd Isa, 71, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mohd Isa didakwa menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai khas politiknya Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel itu oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

Seramai 20 wartawan, seorang daripada organisasi media terpilih, diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di sebuah bilik.

Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik Covid-19 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan liputan media semasa prosiding di mahkamah terbuka kecuali untuk kes melibatkan kepentingan awam, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung atau kemudahan liputan media menerusi aplikasi Zoom.

Saturday, October 31, 2020

Tiada paksaan, Idris Jusoh jawab surat wajibkan peneroka derma RM300

Adam Abu Bakar
-October 31, 2020 7:10 AM
Pengerusi Felda Idris Jusoh berkata tiada paksaan bagi peneroka menderma dalam program “Jom Sedekah” dilancarkan Felda.

PETALING JAYA: Pengerusi Felda Idris Jusoh mengingatkan tiada paksaan dalam bersedekah, susulan surat yang tular membabitkan Felda Sungai Tekam Utara, Pahang, berhubung kutipan derma RM300 terhadap peneroka di kawasan berkenaan.

“Dalam sedekah tidak ada paksaan,” katanya ringkas kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sepucuk surat diedarkan kepada peneroka Felda Sungai Tekam Utara pada 14 Oktober lalu. Surat itu menyatakan, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Jengka 19 dipilih menjadi perintis bagi program “Jom Sedekah” dilancarkan Felda.

Menurut surat dengan cop pengerusi jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung Felda Sungai Tekam Utara menyatakan, Idris melalui program “Well Formed Outcome” memberitahu antara perkara dititikberatkan dalam usaha mengembalikan kestabilan Felda adalah elemen “keberkatan”.

Surat itu turut menyatakan, setiap peneroka diwajibkan ke atas diri masing-masing menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang dan kutipan itu bermula Oktober hingga Mac 2021, dengan kadar kutipan RM50 sebulan atau boleh membuat bayaran pukal.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai surat itu.

Terdahulu, Adun Ketari Young Syefura Othman memuat naik surat itu di Twitter miliknya dan mempersoalkan mengenai arahan mewajibkan peneroka bersedekah demi mencari “keberkatan” dalam usaha memulihkan Felda.
Mazlan Aliman.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Mazlan Aliman berkata, walaupun bersedekah merupakan amalan mulia dan dituntut dalam Islam, tindakan mewajibkannya adalah unsur paksaan dan keterlaluan.

“Dalam situasi pendapatan dan pelbagai potongan dikenakan ke atas peneroka, apatah lagi kesan Covid-19 dan kos sara hidup yang tinggi, saya menggesa pekeliling ini ditarik balik.

“Potongan atau kutipan secara sukarela boleh diteruskan, tetapi ia mestiah bergantung kepada kemampuan dan kesediaan peneroka,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, jemaah menteri meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.

Beliau berkata, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif itu.

Tuesday, April 7, 2020

Ketua 3 agensi utama kerajaan akan diganti?

FMT Reporters
-April 7, 2020 1:56 PM
Nageeb Wahab (dari kiri), Bakke Salleh dan Zakri Khir.

PETALING JAYA: Sumber boleh dipercayai berkata, pertukaran ketua di beberapa agensi utama kerajaan dalam perancangan.

FMT difahamkan individu itu termasuk Nageeb Wahab, Bakke Salleh dan Zakri Khir, yang masing-masing mengetuai Felcra, Felda serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Nageeb dilantik mengetuai Felcra pada Oktober 2018, susulan peletakan jawatan Bung Moktar Radin daripada Umno.

Beliau memiliki 40 tahun pengalaman dalam industri pertanian, getah dan kelapa sawit, serta pernah memegang pelbagai jawatan kanan di Sime Darby Plantation Bhd.

Bakke, bekas pengerusi 1MDB yang mengkritik pengurusan kerajaan Barisan Nasional ke atas sayap pelaburan itu, dilantik menerajui Felda pada Jun tahun lalu.

Baru-baru ini, beliau dilaporkan diminta mengosongkan jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Zakri mengambil alih jawatan pengerusi Perkeso daripada Aseh Che Mat pada Oktober 2018. Beliau mempunyai pengalaman 3 dekad dalam pengurusan portfolio dan insurans.

FMT cuba menghubungi ketiga-tiganya untuk mendapatkan komen mereka.

Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu FMT berkata, lebih ramai ketua agensi utama kerajaan akan disingkirkan dalam beberapa minggu ini.

“Sebahagian daripada mereka sepatutnya ditukarkan ketika pentadbiran Tun,” kata seorang sumber merujuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Saturday, October 12, 2019

Belanjawan 2020: PH tak serius bantu peneroka Felda

FMT Reporters
-October 12, 2019 10:34 AM

PH dikatakan tidak berusaha mengimbangi ketidakstabilan harga sawit beberapa tahun kebelakangan ini.

PETALING JAYA: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) menyifatkan Belanjawan 2020 tidak menggambarkan keseriusan kerajaan Pakatan Harapan mengimbangi dan membantu warga Felda ke arah kehidupan yang lebih baik.

Presidennya Naraza Muda berkata PH tidak berusaha menghapuskan hutang peneroka yang mencecah RM7.5 bilion dan tiada peruntukan kursus untuk peneroka menghadapi ketidakstabilan harga sawit beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM810 juta ia tidak mengembirakan 112,635 peneroka serta 2 juta warga Felda.

“Daripada peruntukan RM810 juta, perbelanjaan belanjawan ini diagih kepada lima kluster tertentu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Lim Guan Eng berkata, peruntukan tersebut diperuntukkan kepada lima perkara antaranya RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka di seluruh negara.

Kedua, RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka, ketiga; RM100 juta bagi bekalan air Felda, keempat; RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka dan RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan Felda.

Naraza berkata bagi program meningkatkan pendapatan peneroka, hanya 11,600 peneroka terlibat sedangkan jumlah keseluruhan peneroka 112,635 orang dengan peruntukkan RM250 juta.

“Kenapa hanya sebahagian kecil? Bagaimana dengan 101,035 peneroka lagi,” soalnya.

Tambahannya, bagi penghapusan kira faedah pinjaman juga menimbulkan pertanyaan sama ada ia dari akaun pembangunan tanam semula atau akaun pinjaman sosial.

“Jika dari akaun pembangunan ladang peneroka apakah penghapusan kira ini hanya melibatkan faedah 6.25% yang dikenakan sebelum ini?”

Bagi RM70 juta untuk perumahan generasi baru, kata Naraza, isu itu sangat kritikal dengan anggaran RM1 bilion diperlukan.

Mengulas menaik taraf jalan dan infrastruktur, katanya, ia adalah perbelanjaan biasa dan tiada yang dapat dibanggakan. Namun beliau menyambut baik peruntukan Rm100 juta bagi bekalan air.

Wednesday, June 26, 2019

Bakke Salleh dilantik pengerusi baru Felda

Bernama 
Diterbitkan Hari ini 7:01 malam


Mohd Bakke Salleh telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021, umum Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menterinya Mohamad Azmin Ali dalam kenyataan akhbar berkata pelantikan Mohd Bakke adalah setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Mohd Bakke merupakan seorang tokoh korporat yang berintegriti dan berwibawa. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” katanya.

Mohamad Azmin berkata beliau mengambil maklum hasrat Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa pada 30 Jun 2019.

Menurutnya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha kerajaan Pakatan Harapan membina semula Felda dan memastikan kemampanan industri perladangan serta masa depan peneroka Felda yang terjamin.

“Beliau bersama pengurusan Felda yang baru telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian Felda dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya.

-Bernama

Tuesday, June 25, 2019

Pengerusi Felda letak jawatan kerana masalah kesihatan, kata Dr M

Mohamad Fadli
-June 25, 2019 10:11 AM

Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:   Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang didakwa akan meletak jawatan sebagai pengerusi Felda, kurang setahun selepas pelantikannya disebabkan masalah kesihatan.

“Dia kurang sihat dia kata masih tak sihat, sebab itu dia minta supaya dilepaskan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Berita Harian memetik satu sumber berkata satu emel yang ditulis oleh Megat Zaharuddin diedarkan kepada kakitangan dalaman Felda yang menyebut beliau akan meninggalkan lembaga itu pada 30 Jun 2019.

Menerusi surat itu, beliau berkata beberapa pelan transformasi diperkenalkan dan diketengahkan selama setahun beliau berada di Felda.

“Itulah perjalanan dan pembabitan saya selama berkhidmat di sini. Namun begitu, perjalanan saya sudah sampai ke penghujungnya.

“Dengan itu pada hari ini, dengan berat hati saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai pengerusi Felda,” katanya memetik salinan emel tersebut.

Megat Zaharuddin dilantik menjadi pengerusi Felda pada 27 Julai 2018.

Sebelum menyertai Felda, Megat Zaharuddin merupakan pengerusi Maybank selama 7 tahun.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-