Tuesday, December 19, 2017

Sokongan Melayu kepada Umno dan Pas merundum

Kajiselidik terbaharu Invoke Malaysia mendapati sokongan Melayu terhadap Umno dan Pas merosot teruk dengan Umno menerima 41% sokongan manakala Pas hanya mampu meraih 14% sokongan Melayu berbanding 25% pada kaji selidik yang dilakukan Jan lalu.

Ketika membentangkan hasil kajian itu, pengasas Invoke yang juga ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, dapatan daripada kajiselidik itu menunjukkan hanya 41% dari pengundi Melayu di seluruh negara menyatakan akan mengundi Umno jika pilihan raya umum berlangsung dan berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Sekitar 50% dari pengundi Melayu yang akan mengundi Umno bersetuju bahawa GST membebankan dan menyokong jika ia dihapuskan.

“Ini bermakna tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno akan terus merosot kerana pengundi Umno pun merasa tekanan kos sara hidup,” ujarnya.

Pada masa yang sama, jelas beliau tahap sokongan pengundi kepada Pas jatuh merudum dalam tempoh 12 bulan dengan hanya 14% pengundi Melayu menyatakan akan mengundi Pas dalam pertandingan 3 penjuru berbanding 25% dalam kaji selidik yang sama pada Januari 2017 yang menyaksikan penurunan drastik 11%.

“Tahap sokongan pengundi Melayu kepada Pas dijangka terus merosot dalam bulan-bulan akan datang.

“Daripada 14% pengundi Melayu yang menyatakan akan menyokong Pas, hanya 21% tidak akan keluar mengundi sekiranya Pas tidak bertanding. Sebahagian besar pengundi Pas memilih untuk menyokong PH jika hanya PH dan BN bertanding, iaitu sebanyak 51% mengundi PH berbanding 28% yang akan mengundi BN.

INVOKE menjalankan dua jenis kaji selidik kecenderungan setiap bulan iaitu:
Kaji selidik kecenderungan pengundi untuk mengenal pasti sentimen pengundi di seluruh negara melibatkan 5,000 orang pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak oleh sistem komputer;
Kaji selidik kecenderungan pengundi di kerusi-kerusi marginal yang akan menyaksikan saingan sengit di antara BN dan PH, melibatkan 1,500 orang pengundi berdaftar di setiap kerusi marginal.

Kaji selidik nasional dijalankan pada 5 hingga 13 Disember 2017, sementara kaji selidik di peringkat parlimen dijalankan di antara 6 November hingga 15 Disember 2017.

Kajian ini dijalankan di minggu pertama setiap bulan dan keputusannya digunakan oleh Invoke untuk menambahbaik profil 14 juta pengundi yang digunakan untuk mengenal pasti pengundi atas pagar yang dihubungi oleh sukarelawan Invoke.

Sokongan Pengundi Cina dan India

Rafizi berkata, tahap sokongan pengundi Cina kepada PH telah kembali ke paras 2013 iaitu melepasi 80% dalam bulan Disember 2017 manakala tahap sokongan pengundi India juga telah kembali kepada paras 2013 dengan 60% berpihak kepada BN dan 40% kepada PH.

Beliau berkata, tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno lebih parah di negeri-negeri marginal utama iaitu Kedah dan Johor.

“Hanya 31% pengundi Melayu di kerusi parlimen Kulim Bandar Baru dan Merbok memilih Umno dalam pertandingan 3 penjuru. Ini membayangkan tahap sokongan Melayu di Kedah kepada Umno adalah lebih rendah dari tahap nasional

“Begitu juga di Johor – hanya 30% pengundi di Johor Bahru memilih Umno dalam pertandingan 3 penjuru. Angka tersebut konsisten dengan kajian Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mendapati tahap sokongan pengundi Melayu seluruh Johor kepada Umno hanyalah 35%, bermakna tahap sokongan di kawasan bandar seperti Johor Bahru adalah lebih rendah, ” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-