Showing posts with label Invoke Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Invoke Malaysia. Show all posts

Sunday, March 18, 2018

Kamu akan perlukan PAS, kata Hadi pada PH, BN

Faiz Zainudin

Hadirin bersolat hajat memohon kemenangan PAS dan kehancuran “pakatan-pakatan jahat”.

SHAH ALAM:   
Baru minggu lalu badan berkaitan PKR, Invoke Malaysia, meramalkan PAS tidak relevan selepas pilihan raya umum ke-14, parti itu malam tadi tidak berganjak daripada strategi mewujudkan senario kuasa penentu di seberapa banyak kawasan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikrar pengakhiran PRU14 ialah PAS mempunyai kapasiti untuk memaksa Barisan Nasional dan parti-parti tertentu dalam Pakatan Harapan datang berunding untuk membentuk kerajaan.

“Kita akan bertanding tidak kurang 130 kerusi. Kalau tak dapat majoriti mudah, kita akan dapat banyak kerusi yang membolehkan kita menjadi ‘kingmaker’. Semua parti tak boleh tubuh kerajaan melainkan tanya kita,” kata Hadi.

Beliau berucap kepada lebih 2,000 orang yang berhimpun sempena program munajat perdana di Stadium JKR Shah Alam.

Hadi sasaran cemuhan parti lawan selepas PAS dan PH gagal mencapai persefahaman menuju PRU14, namun beliau percaya strategi “kingmaker” akan membantu PAS dalam permainan jangka masa panjang mereka.

“Maka Selangor mesti menang sebanyak mungkin untuk kita buat perubahan,” katanya.

Di satu forum ramalan pilihan raya 10 Mac lepas, pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli berkata data meramalkan PAS akan tewas setiap satu kerusi Parlimen dan DUN termasuk di Kelantan.

Ramalan itu mengejutkan beberapa pihak, kerana parti Islamis itu mempunyai kehadiran yang kuat di Kelantan, dan Selangor sejak 2 pilihan raya lalu.

“PAS akan menentang BN dan PH dalam pilihanraya dan beberapa banyak penjuru pun kita tidak takut. Kita akan lawan,” kata Hadi.

Selain PAS, agenda Islam turut diangkat 20 NGO Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang berikrar akan menyokong parti politik yang melawan fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme pada PRU14.

Terdahulu, hadirin menyertai solat hajat dipimpin penceramah agama terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani, memohon kehancuran “pakatan-pakatan jahat”.

“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tak mempunyai kekuatan sebagaimana Kamu lebur tentera ahzab yang akan kami hadapi nanti,” kata Dusuki dalam doa malam tadi.

Sunday, March 11, 2018

PRU14: Apa yang sedang ditunggu Najib?

Timmy Say

Gambar AFP.

Selain Invoke Malaysia yang meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan menang, kajian-kajian lain menunjukkan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan senang di dalam peperangan 3 penjuru antara PH, BN dan PAS.

Akan tetapi, sehingga kini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Mengapa?

Pada PRU13, dengan kempen cara ala-presiden Amerika Syarikat berdasarkan kepopularan Najib ketika itu, Umno-BN hanya mampu meraih 132 kerusi Parlimen.

Keputusan itu merupakan satu tamparan kepada Najib kerana prestasinya adalah 8 kerusi kurang daripada prestasi Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, iaitu 140 kerusi Parlimen.

Ironinya ialah Najib mencapai prestasi lebih buruk walaupun kempennya dibantu Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (Perkasa).

Ini berbeza dengan Pak Lah yang terpaksa menghadapi serangan Dr Mahathir bertubi-tubi seperti seorang pembangkang pada kempen PRU12.

Jika dilihat daripada sudut sejarah Umno, Najib ialah presiden Umno yang paling malang. Beliau ialah presiden Umno pertama yang terpaksa mentadbir kerajaan pusat tanpa negeri terkaya di bawah kawalannya, iaitu Selangor.

Kerana Dr Mahathir dan ketaksubannya menurunkan Pak Lah, Najib juga merupakan presiden Umno yang terpaksa berdepan jumlah tertinggi pengundi yang pernah merasai perubahan dan tidak lagi takut terhadap perubahan berbanding presiden Umno lain, apabila Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan pembangkang secara mengejut pada 2008.

Jadi apakah sasaran Najib pada PRU14?

Pertama sudah tentunya ialah Umno-BN sekurang-kurangnya dapat mengekalkan jumlah kerusi Parlimen sama pada PRU13, iaitu 132 kerusi.

Kegagalan mengekalkan prestasi PRU13 akan menyebabkan ahli Umno dan parti komponen BN mendesak Najib mengundur diri sebagai presiden dan perdana menteri demi kelangsungan nyawa BN pada PRU15.

Sekiranya Najib berkeras untuk kekal, BN bakal berpecah dan parti di Sabah, terutamanya Sarawak mungkin menjadi parti bebas yang menggoyahkan majoriti BN untuk mengekalkan kuasa di Parlimen. Sudah tentu perkara ini mahu dielakkan Najib.

Oleh itu, sasaran lebih utama buat Najib ialah memberikan BN majoriti 2/3 di Parlimen dengan kemenangan di 148 kerusi Parlimen.

Dengan peperangan 3 penjuru, kajian menunjukkan BN mampu meraih semula majoriti 2/3 di Parlimen, namun tiada jaminan ini dapat dicapai dengan mudah.

Pada PRU11 2004, BN menang 198 kerusi daripada 219 kerusi yang dipertandingkan di bawah Pak Lah.

BN kehilangan 58 kerusi pada 2008 apabila Dr Mahathir bertindak menjadi pengkritik kerajaan BN yang diterajui Pak Lah. Namun, prestasi Pak Lah juga disebabkan tindakan pembangkang yang mampu bersatu menghadapi BN buat kali pertamanya pada 2008.

Kini, pada PRU14, Dr Mahathir bukan sahaja menjadi pengkritik kerajaan BN, malah ketua pembangkang dan presiden PH melawan BN dan Najib.

Sudah tentu faktor ini tidak dipandang remeh Najib, walaupun pembangkang kini kembali berpecah seperti pembangkang di zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Berdepan semua faktor ini, Najib rasanya sedang meneliti cara untuk menjamin kemenangan besar BN pada PRU14.

Dua hari lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata badan itu sudahpun menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri Tanah Melayu kepada Najib. Apakah usul persempadanan semula ini akan muncul di Parlimen sesi ini?

Sebelum ini, BN memenangi pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan bergaya dalam pertandingan 3 penjuru, meskipun ia diadakan pada bulan puasa. Apakah PRU14 ini akan memecah tradisi dengan diadakan pada bulan puasa?

Umum mengetahui, ceramah susah dilakukan pada bulan puasa dan ini mengurangkan kelebihan kepada pembangkang.

Melihat cara Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang menyokong idea ini dengan menyatakan PRU pada bulan puasa akan bebas daripada fitnah, tohmahan dan caci maki, nampaknya kebarangkalian untuk PRU14 diadakan pada bulan puasa juga agak tinggi.

Sekiranya Najib yakin kedua-dua keputusan ini akan memberi jaminan kemenangan kepada BN, maka teka-teki tarikh PRU14 akan berakhir.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Friday, March 9, 2018

Kajian Invoke: HARAPAN menang 5 negeri


Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu menang di lima negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, menurut kaji selidik Invoke Malaysia.

Negeri tersebut adalah Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan kemenangan di selangor dan Pulau Pinang, kata pengasasnya Rafizi Ramli ketika membentangkan keputusan kajian, malam tadi.

Kaji selidik yang melibatkan 2,000 responden itu turut membayangkan kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung di Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia juga menjangka HARAPAN akan menang di 89 kerusi Parlimen di Semenanjung manakala BN menang di 76 kerusi. Tiada responden daripada Sabah dan Sarawak dalam kaji selidik ini.

PAS pula dijangka tidak akan menang di walau satu kerusi Parlimen dan malah kalah di Kelantan, negeri yang ditadbirnya sejak 1990.

Selain Kelantan, dua lagi negeri di pantai timur iaitu Pahang dan Terengganu juga dijangka kekal dipegang BN, kata Rafizi.

[Berita lanjut menyusul]

Tuesday, December 19, 2017

Sokongan Melayu kepada Umno dan Pas merundum

Kajiselidik terbaharu Invoke Malaysia mendapati sokongan Melayu terhadap Umno dan Pas merosot teruk dengan Umno menerima 41% sokongan manakala Pas hanya mampu meraih 14% sokongan Melayu berbanding 25% pada kaji selidik yang dilakukan Jan lalu.

Ketika membentangkan hasil kajian itu, pengasas Invoke yang juga ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, dapatan daripada kajiselidik itu menunjukkan hanya 41% dari pengundi Melayu di seluruh negara menyatakan akan mengundi Umno jika pilihan raya umum berlangsung dan berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Sekitar 50% dari pengundi Melayu yang akan mengundi Umno bersetuju bahawa GST membebankan dan menyokong jika ia dihapuskan.

“Ini bermakna tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno akan terus merosot kerana pengundi Umno pun merasa tekanan kos sara hidup,” ujarnya.

Pada masa yang sama, jelas beliau tahap sokongan pengundi kepada Pas jatuh merudum dalam tempoh 12 bulan dengan hanya 14% pengundi Melayu menyatakan akan mengundi Pas dalam pertandingan 3 penjuru berbanding 25% dalam kaji selidik yang sama pada Januari 2017 yang menyaksikan penurunan drastik 11%.

“Tahap sokongan pengundi Melayu kepada Pas dijangka terus merosot dalam bulan-bulan akan datang.

“Daripada 14% pengundi Melayu yang menyatakan akan menyokong Pas, hanya 21% tidak akan keluar mengundi sekiranya Pas tidak bertanding. Sebahagian besar pengundi Pas memilih untuk menyokong PH jika hanya PH dan BN bertanding, iaitu sebanyak 51% mengundi PH berbanding 28% yang akan mengundi BN.

INVOKE menjalankan dua jenis kaji selidik kecenderungan setiap bulan iaitu:
Kaji selidik kecenderungan pengundi untuk mengenal pasti sentimen pengundi di seluruh negara melibatkan 5,000 orang pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak oleh sistem komputer;
Kaji selidik kecenderungan pengundi di kerusi-kerusi marginal yang akan menyaksikan saingan sengit di antara BN dan PH, melibatkan 1,500 orang pengundi berdaftar di setiap kerusi marginal.

Kaji selidik nasional dijalankan pada 5 hingga 13 Disember 2017, sementara kaji selidik di peringkat parlimen dijalankan di antara 6 November hingga 15 Disember 2017.

Kajian ini dijalankan di minggu pertama setiap bulan dan keputusannya digunakan oleh Invoke untuk menambahbaik profil 14 juta pengundi yang digunakan untuk mengenal pasti pengundi atas pagar yang dihubungi oleh sukarelawan Invoke.

Sokongan Pengundi Cina dan India

Rafizi berkata, tahap sokongan pengundi Cina kepada PH telah kembali ke paras 2013 iaitu melepasi 80% dalam bulan Disember 2017 manakala tahap sokongan pengundi India juga telah kembali kepada paras 2013 dengan 60% berpihak kepada BN dan 40% kepada PH.

Beliau berkata, tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno lebih parah di negeri-negeri marginal utama iaitu Kedah dan Johor.

“Hanya 31% pengundi Melayu di kerusi parlimen Kulim Bandar Baru dan Merbok memilih Umno dalam pertandingan 3 penjuru. Ini membayangkan tahap sokongan Melayu di Kedah kepada Umno adalah lebih rendah dari tahap nasional

“Begitu juga di Johor – hanya 30% pengundi di Johor Bahru memilih Umno dalam pertandingan 3 penjuru. Angka tersebut konsisten dengan kajian Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Universiti Nasional Singapura (NUS) yang mendapati tahap sokongan pengundi Melayu seluruh Johor kepada Umno hanyalah 35%, bermakna tahap sokongan di kawasan bandar seperti Johor Bahru adalah lebih rendah, ” ujarnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-