Wednesday, April 18, 2018

Sultan Brunei wajib murid solat jemaah di sekolah


BANDAR SERI BEGAWANJika di Malaysia ada pembangkang bantah arahan murid solat jemaah di surau sekolah kerana konon didakwa langgar hak asasi manusia, namun lain halnya di Brunei.

Bersempena peristiwa Israk wal Mikraj yang menyaksikan Rasulullah SAW menerima wahyu solat fardu langsung daripada Allah SWT, Sultan Brunei bertitah agar semua murid menunaikan solat itu berjemaah di surau sekolah.

Sembahyang berjemaah ujar Sultan Hassanal Bolkiah, perlu dikembangkan di semua sekolah harian di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Brunei; serta bukan hanya diadakan di sekolah aliran Arab dan agama sahaja.

Baginda bertitah, pihak sekolah terbabit boleh menggunakan musolla dan mana-mana ruang bersesuaian sebagai mana sekolah Arab dan agama mengamalkan sembahyang berjemaah, sama ada di surau atau di masjid berdekatan.

“Perkara ini sangat bagus untuk ditekankan, bukan hanya bagi para pelajar, malahan semua ibu bapa dan penjaga yang ingin bersembahyang jemaah bersama-sama,” titah tegas Sultan Hassanal Bolkiah dipetik media tempatan.

Baginda menekankan perkara itu pada Majlis Sambutan Israk wal Mikraj Peringkat Negara Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi yang berlangsung meriah di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini kelmarin.

Secara kebetulan pada 11 Mac tahun lalu, Sultan Brunei pernah menzahirkan kekesalan apabila kajian terbaharu mendapati 81 peratus murid di negara kecil kaya minyak tersebut ‘malas’ menunaikan solat fardu lima waktu sehari.

Amali solat jemaah sudah pun diajar di sekolah agama di negara ini kerana ia dianggap perlu, bukan hanya setakat untuk menjadikan pelajar tahu apa itu sembahyang jemaah, tetapi juga istiqamah melakukannya, titah baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah pada masa sama, turut menyeru rakyat Brunei untuk meningkatkan azam supaya rajin ke masjid dan surau terdekat bagi merebut ganjaran pahala berjemaah daripada sekadar amal solat secara seorang diri.

“Andainya kita kebetulan tidak mampu melakukannya setiap waktu di masjid atas urusan tertentu, maka sekurang-kurangnya kita perlu ada iltizam untuk melaksanakan bersembahyang jemaah bersama-sama keluarga di rumah.

“Hasil peningkatan sembahyang berjemaah itu, keluarga, sekolah, anak kita akan mendapat berkat, malah negara kita, Brunei juga beroleh berkat sama,” tekan baginda merujuk kepada ideologi negara iaitu Melayu Islam Beraja.

Manakala menyentuh mengenai memakmurkan masjid, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah menyeru agar Jabatan Hal Ehwal Masjid menjadikan setiap masjid di negara ini ‘mesra jemaah’ melalui persekitaran yang bersih dan menarik.

Ini termasuk mengisikannya dengan pelbagai kegiatan berkebajikan seperti ceramah agama, sesi pembacaan kitab secara berhalaqah dan lain-lain lagi yang cukup berkesan untuk meramaikan jemaah kariah masjid sepanjang masa.

“Inilah antara tanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Masjid, dibantu jawatankuasa takmir masjid. Laksanakanlah tugas ini dengan sebaik-baiknya, nescaya akan mendapat hasilnya yang lebih baik dengan izin Allah,” titah baginda lagi.

Baginda juga bertitah agar apa-apa yang berkaitan dengan isu masjid diperbaiki dan dipertingkat, seperti pegawai bertugas, penyediaan program dan khasnya isi penyampaian khutbah oleh para khatib pada setiap hari Jumaat.

“Khutbah dan penyampaian adalah nadi bagi agama tetapi jika khutbah dan penyampaian lemah, maka lemahlah nadi itu,” titah baginda yang mahu lebih banyak masjid dibina demi kemudahan umat Islam menunaikan solat.

Sehubungan itu, Dana Pembinaan Masjid ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemuliharaan masjid, sambil erat hubungan antara jemaah dan masjid.

Ini kerana pembinaan masjid dan pemuliharaannnya adalah sangat penting, supaya masjid sentiasa tersergam, selamat dan selesa untuk para jemaah beribadat dan memelihara akidah, tekan Sultan Hassanal Bolkiah lagi.

Menyentuh mengenai peristiwa bersejarah Israk wal Mikraj, baginda menasihatkan agar rakyat sentiasa bersyukur atas nikmat dikecapi, antaranya keamanan dan perpaduan sehingga dapat peringati peristiwa itu penuh selesa.

Titah Sultan Brunei, antara yang penting dalam peristiwa itu ialah persinggahan Nabi Muhammad SAW di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin, dengan menjadi imam sembahyang jemaah bersama-sama para nabi yang lain.

“Peristiwa itu tidak syak lagi merujuk betapa pentingnya solat berjemaah itu kepada kita umat Islam,” tegas Sultan Hassanal Bolkiah. Turut berangkat pada majlis itu ialah Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah dan ‘Abdul Malik.

Selain sesi ceramah, sebanyak 16 petak pameran yang disertai oleh pelbagai persatuan belia dari empat buah daerah menampilkan pelbagai aktiviti juga menyerikan lagi majlis sambutan berkenaan.

-- MyNewsHub

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-