Monday, July 16, 2018

Dulu kiri, kini kanan: Sidang Parlimen Malaysia ke-14 bakal membuka tirai

Harits Asyraf Hasnan,
Astro Awani | Julai 15, 2018 19:50 MYT

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang bermula esok menyaksikan landskap baharu institusi itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang bermula esok (Isnin) menyaksikan landskap baharu institusi itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Seramai 222 Ahli Parlimen bakal mengangkat sumpah termasuk 90 wakil rakyat baharu.

Sejarah juga terpahat apabila sekian lama para Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menduduki blok pembangkang kini berada di barisan duduk kerajaan.

Persidangan Mesyuarat Penggal Pertama itu yang dijadual berlangsung selama 20 hari itu dijangka berakhir 16 Ogos ini.
Menurut amalan biasa negara-negara berparlimen, bahagian kanan di dalam Dewan Rakyat terdiri daripada kerajaan dan penyokongnya dengan kerusi pertama adalah untuk Perdana Menteri. - Gambar fail

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijangka menjadi urusan utama persidangan itu sebelum upacara mengangkat sumpah jawatan Ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengemuka usul pertama iaitu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat di mana Kerajaan bakal menamakan bekas hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Selepas usul pelantikan itu, acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat akan dijalankan diikuti sesi mengangkat sumpah kesemua Ahli Parlimen itu, yang didahului Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan barisan kabinet, di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selesai upacara itu, pemilihan dua timbalan speaker pula diadakan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dijadual berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-14 pada Selasa.

BACA: Speaker Dewan Rakyat ke-9 berpengalaman luas dalam undang-undang

Menurut amalan biasa negara-negara berparlimen, bahagian kanan di dalam Dewan Rakyat terdiri daripada kerajaan dan penyokongnya dengan kerusi pertama adalah untuk Perdana Menteri diikuti barisan kabinetnya manakala barisan kiri menempatkan Ketua Pembangkang dan barisan pembangkang.

Selain 90 muka baharu yang buat pertama kalinya akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, persidangan kali ini akan lebih menarik dengan 11 muka lama yang membuat penampilan semula sebagai Ahli Parlimen.

Tun Dr Mahathir, 93 tahun yang mewakili Parlimen Langkawi dan P. Prabakaran, 22 tahun yang mewakili kawasan Batu juga mencipta sejarah tersendiri apabila masing-masing menjadi Ahli Parlimen paling tua dan paling muda dalam sejarah negara.

Selain itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini di barisan pembangkang, menduduki barisan kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dan wakil rakyat bagi Pandan.

Beberapa usul dijangka dibentangkan pada sesi pertama itu termasuk cadangan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan cadangan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cadangan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma).

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan pada 1 April lepas dengan tujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pula diluluskan pada 7 April 2014 dengan menetapkan kadar GST 6 Peratus.

Kerajaan PH yang mengambil alih tampuk pemerintah negara kemudian melaksanakan GST kepada sifar peratus bermula 1 Jun lepas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-