Thursday, August 16, 2018

Kerajaan tidak perlu minta maaf

MyMetro
Mutakhir
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas menghadiri persidangan Dewan Rakyat ke-14 di Bangunan Parlimen. Foto NSTP/SADDAM YUSOFF

KERAJAAN tidak perlu memohon maaf kepada rakyat walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam 100 hari yang menjadi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan berusaha memastikan segala janji terlaksana.

Menurutnya, ada antaranya sudah ditunaikan seperti meluluskan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Rakyat, selain pemberian insentif kepada suri rumah menerusi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

Katanya, pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memohon maaf kepada rakyat kerana ia tidak seperti yang diharapkan, namun sudah mencuba.

“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat i-Suri dan berjaya mempromosi serta menjalankan program itu.

“Bukan mudah melaksanakan semua kerana kita tidak ada cukup maklumat (ketika menjadi pembangkang) untuk menyelesaikan masalah.

“Saya bukan memberi alasan mengapa kami tidak mencapai sasaran tapi kami cuba dengan sedaya-upaya," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pencapaian PH mentadbir kerajaan yang bakal mencecah 100 hari pada Sabtu ini, selain sama ada mereka perlu meminta maaf kerana gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh terbabit.

Antara 10 janji manifesto PH dalam tempoh 100 hari memerintah adalah menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup rakyat, menstabilkan harga petrol, menghapuskan hutang peneroka FELDA dan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Turut disenaraikan, menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan meningkatkannya, selain menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 2:05 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-