Tuesday, June 18, 2019

Timbalan menteri nafi langkau Maszlee, campur tangan urusan kaji subjek agama

FMT Reporters
-June 18, 2019 7:41 PM

Teo Nie Ching kesal niatnya menghebahkan usaha Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan disalah tafsir sesetengah pihak.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hari ini menolak dakwaan sebuah parti politik yang beliau melangkaui Menterinya, Maszlee Malik dengan mempelawa semua pihak tanpa mengira agama untuk memberi cadangan bagi mengkaji subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan mendakwanya “lebih sudu daripada kuah” kerana mendahului Maszlee dan tindakan menjemput sesiapa saja memberi pandangan mengenai subjek Pendidikan Islam akan menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat.

Teo dalam kenyataan di Facebook hari ini menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah tidak berasas yang akan menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan kesal niatnya menghebahkan usaha majlis itu disalah tafsir sesetengah pihak.

Katanya, Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) ditubuhkan di bawah MPPK yang diketuai bekas ketua pengarah pendidikan, Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, dengan keahlian majlis itu dilantik Maszlee.

“Saya amat sedih kerana objektif penubuhan PPKPI yang sepatutnya dipuji kerana mereka di dalam usaha untuk menambah baik modul Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan telah dipolitikkan,” katanya sambil memohon maaf kepada MPPK atas segala salah faham yang timbul.

Shahir dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepatutnya hanya mereka yang arif mengenai agama Islam dan pendidik beragama Islam dipelawa untuk memberi pandangan untuk menambah baik subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan..

“Bagaimanakah seorang individu beragama Kristian, Hindu, Buddha atau ateis boleh memberikan cadangan membina untuk menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam seperti ibadat solat, puasa, zakat dan haji jika mereka tidak pernah melakukan ibadat tersebut?” soal Shahir hari ini yang turut menggesa Maszlee lebih proaktif berkaitan pendidikan negara dengan berkomunikasi dengan timbalannya.

Teo berkata, MPPK ialah badan bebas mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik dan ia adalah jawatankuasa profesional untuk menasihati menteri pendidikan.

Katanya, sebagai timbalan menteri pendidikan, beliau akan sentiasa menyokong inisiatif menteri untuk memajukan sistem pendidikan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-