Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, June 18, 2019

Polis selesai siasat dakwaan kes 'belasah di pejabat Anwar'

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 6:48 petang 


Polis telah menyelesaikan siasatan kes dakwaan pukul yang berlaku di pejabat Presiden PKR Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Fadzil berkata polis akan menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

"Ya kita sudah ambil keterangan semua pihak terlibat dan lengkapkan siasatan... Kita akan hantar kertas siasatan kepada DPP nanti," katanya ringkas kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Pada 10 Jun lalu, seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memukulnya di premis itu, pada 16 Mei lalu.

Lelaki itu juga menyerahkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta berkenaan kecederaan yang didakwa ekoran insiden itu.

Kedua-duanya dikatakan sedang bertengkar sebelum keadaan memburuk.

Terdahulu, setiausaha akhbar presiden PKR Tunku Nashrul Tunku Abaidah menafikan perkara itu dan mendakwa lelaki itu mempunyai kecederaan lampau.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan balas terhadap lelaki itu, yang menurutnya terlibat menyalahgunakan dadah dan cuba masuk ke premis tanpa izin.

Tunku Nashrul juga memaklumkan lelaki itu, yang bertugas sebagai penyelidik sukarela, telah dipecat.

Beliau juga saksi kejadian memaklumkan individu tersebut mempunyai kecederaan lampau dan bukannya disebabkan insiden seperti yang didakwa.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor mengesahkan polis telah mengambil keterangan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berhubung video seks yang mengaitkannya.

Ketika ditanya sama ada polis akan mengambil keterangan lebih ramai pemimpin parti itu, Mazlan berkata pihaknya akan memanggil sesiapa saja yang diperlukan.

"Siasatan masih diteruskan dan kami akan panggil sesiapa saja untuk membantu siasatan, bukan Hanya dari PKR," katanya lagi.

Terdahulu, polis dilaporkan telah mengambil keterangan daripada lebih 20 individu berhubung kes itu.

Azmin menafikan dirinya adalah individu yang dirakam dalam video itu dan mendakwa ia adalah usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-