Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, August 24, 2019

Zakir Naik: Penganjur batal himpunan kerana janji Anwar bantu masyarakat India

MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Penganjur bantahan berkaitan isu pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang dijadual hari ini membatalkan rancangannya untuk berbuat demikian selepas perhimpunan pertama bagi membantah pengenalan pelajaran tulisan Jawi di sekolah Tamil berlangsung malam tadi di Little India, Brickfields.

Memetik laporan Malaysiakini, Penganjur himpunan berkenaan, Shankar Ganesh berkata pembatalan perhimpunan aman hari ini selepas mendapat panggilan telefon daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar menelefon saya dan meminta untuk membatalkan perhimpunan tersebut. Beliau berjanji untuk membantu masyarakat India. Beliau memberikan kami temu janji untuk bertemu dengannya pada minggu depan bagi membincangkan isu-isu ini.

“Saya bersetuju terhadap permintaan beliau dan saya mahu meletakkan keyakinan terhadap janji beliau,” katanya kepada portal berkenaan semalam.

Menurut Shankar, himpunan ini juga dibatalkan kerana kegagalan pihak penganjur mendapatkan permit polis.

“Tanpa permit, saya tidak mahu orang ramai menerima kesan akibat sebarang isu. Saya memilih berhimpun dengan permit,” katanya.

Himpunan ‘Say No Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races’ itu yang dijadual berlangsung 2 petang ini mendapat maklum balas daripada ramai pihak yang menggesa supaya ia dihentikan.

Petang semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim memberikan amaran keras supaya orang ramai tidak menyertai dua perhimpunan yang dirancang malam tadi dan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam suatu kenyataan malam tadi menggesa semua pihak supaya tidak memainkan isu sensitif yang boleh memecahkan keamanan dan ketenteraman awam.

“Semua bentuk tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan termasuklah perhimpunan aman yang dirancang hendaklah dihentikan serta-merta,” katanya.

Mengenai perhimpunan yang berlangsung malam tadi, dilaporkan polis menangkap dua penganjur ketika bantahan berlangsung.

Peguam Devaneson Ganesan memberitahu Malaysiakini, polis sedang mengambil keterangan dua individu daripada kumpulan pendidikan Cina dan Tamil itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Brickfields Arifai Tarawe dipetik The Star berkata, walaupun berlaku penangkapan, perhimpunan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/zakir-naik-penganjur-batal-himpunan-kerana-janji-anwar-bantu-masyarakat-india/

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-