Saturday, September 7, 2019

Sokong produk muslim satu jihad

07/09/2019

Kempen BMF pecahkan tembok harga barang tinggi golongan tertentu


BANGI, 7 Muharram 1441H, Sabtu – Walaupun sudah dijelaskan berulang kali, kempen Beli Produk Muslim Dulu atau Buy Muslim First (BMF) masih menjadi polemik kepada pihak tertentu, yang ‘menzahirkan’ usaha berkenaan sebagai langkah boikot kepada perniagaan bukan Islam.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, beliau kesal dengan sikap putar belit kenyataan yang dibuat sebahagian pemimpin politik terhadap kempen berkenaan.

Beliau berkata, sentimen negatif yang digambarkan oleh pihak berkenaan adalah berpunca daripada ketaksuban mereka kepada parti politik tertentu.

“Kempen mendahului Beli Produk Muslim adalah suatu amalan yang mulia dan seharusnya disokong oleh umat Islam di seluruh negara.

“Ia berbeza sekali dengan kempen boikot membeli daripada kalangan bukan Islam atau bukan Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tidak hanya membantu ekonomi umat Islam, beliau berkata, usaha berkenaan antara lain turut menyuburkan kerjasama dan kesatuan ummah, selain meningkatkan pendapatan golongan rendah dan sederhana.

“Usaha ini juga membantu meningkatkan kutipan zakat yang membantu asnaf, menurunkan harga barang harian, memecahkan tembok harga barang yang tinggi oleh golongan tertentu, meningkatkan jualan produk tempatan dan satu jihad serta perjuangan yang mulia,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, kempen yang dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) khusus untuk masyarakat Islam di negara ini, menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan pihak tertentu.

Bukan hanya dikritik dan ditentang oleh DAP, usaha berkenaan turut ditolak Kabinet Pakatan Harapan (PH) – yang turut dianggotai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR – yang menganggap tindakan itu sebagai boikot dan tidak wajar.

“Jemaah menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, Khamis lalu.

Biarpun usaha itu gagal mendapat sokongan Kabinet, namun kempen berkenaan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Islam, malah sudah mula memberikan impak positif kepada perniagaan muslim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-