Friday, December 6, 2019

Kongres AMK dicemari pergaduhan



BERITA

Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR (AMK) di Melaka hari ini dicemari dengan pergaduhan antara perwakilan parti yang hadir dengan "pemerhati" berbaju hitam yang dikatakan hadir tanpa pas.

Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi di hadapan pintu masuk dewan apabila beberapa ahli PKR termasuk bekas pengerusi tetap kongres Mizan Adli Mohd Noor tidak dibenarkan masuk dewan.

Sekitar tengah hari, pergaduhan tercetus sekali lagi di dalam bangunan MITC, tempat kongres berlangsung, sebelum melarat ke luar dewan.

Seorang anggota PKR dilihat berdarah di hidung. Ada yang mendakwa kecederaan itu akibat ditumbuk, sementara dakwaan lain berkata ia akibat batu yang dilempar.
Sementara itu, beberapa pemuda berbaju hitam yang ditemu bual Malaysiakini tidak jelas dengan tujuan mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa mereka datang dengan bas.

Ditanya tentang tujuan kehadirannya, Danial Iskandar, 21, sekadar berkata bahawa dia dimaklumkan ada 'reformasi'.

Danial juga percaya dia akan dibayar selepas kongres tiga hari itu selesai.

Untuk rekod pergaduhan antara kumpulan baju hitam dengan ahli PKR yang memakai baju korporat berwarna biru laut bermula dari pintu utama MITC di mana beberapa orang antara mereka dilihat bergasak antara satu sama lain.

Percubaan meleraikan pergelutan dengan membawa mereka yang bergasak ke pintu utama dewan kongres AMK bagaimanapun menyebabkan pergaduhan lebih besar apabila ada antara mereka yang ditolak sehingga mengenai meja makan yang diletakkan di perkarangan lobi.

Bagaimanapun selepas tamatnya sesi perbahasan dan ucapan dasar di dalam dewan beberapa minit kemudian, pergaduhan tercetus sekali lagi dan akhirnya meleret sehingga ke lobi hadapan MITC.

Sementara itu beberapa pegawai polis yang berada di kawasan kejadian dilihat tidak mengambil tindakan terhadap kedua kedua kumpulan itu.

Pihak polis juga enggan mengulas mengenai kejadian tersebut apabila ditanya mengenai perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-