Thursday, February 20, 2020

Dr M: Rakyat perlu singkir pemimpin dengan dasar buruk

BERITA

Tidak ada jaminan bahawa dasar yang baik akan kekal selama-lamanya jika pemimpin atau kerajaan ditukar, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjatuhkan pemimpin yang melaksanakan dasar yang tidak baik.

"Apabila saya membuat keputusan meletakkan jawatan pada tahun 2002, saya percaya bahawa semua rancangan akan berjaya dan akan diteruskan supaya kita dapat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju.

"Tetapi, selepas saya meletak jawatan, apa yang saya lihat telah berubah dari segi dasar kerana pemimpin baru yang mahu memperkenalkan cara-cara baru mereka sendiri," katanya pada sesi soal jawab dalam satu majlis di Kuala Lumpur malam tadi.

"Satu demi satu kemerosotan yang berlaku disebabkan oleh perubahan dalam kepimpinan. Jadi, kita tidak dapat menjamin bahawa dasar yang baik akan kekal walaupun dengan kepimpinan baru.

"Jika dasar yang diperkenalkan oleh pemimpin tertentu yang tidak baik, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjatuhkan pemimpin secara demokrasi," perdana menteri dipetik sebagai berkata oleh The New Straits Times (NST).

Beliau berkata kejayaan negara bergantung kepada rakyatnya, nilai dan pengetahuan.

Masyarakat yang bijak sentiasa memilih seorang pemimpin yang tidak berfikir hanya untuk dirinya sendiri, kata Mahathir.

"Rakyat yang perlu menentukan sama ada mereka mahu berada dalam sebuah negara yang hebat atau mereka hanya boleh berfikir tentang diri mereka dan menghancurkannya.

"Jika itu berlaku (pada masa depan), saya tidak akan ada lagi. Saya sedang terbang dan akan menonton dari atas," katanya secara berseloroh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-