ByJanatul Firdaus Yaacob
26/01/2025
KUALA LUMPUR – Umno menggerakkan usaha serius untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap parti Melayu itu dengan penubuhan Sekolah Patriotik Umno .
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pelancaran Sekolah Patriotik Umno menegaskan, Umno perlu kembali kepada asas perjuangannya untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan parti.
Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Sekolah Patriotik Umno diperkenalkan sebagai platform “teaching factory” untuk membentuk pemimpin yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersemangat memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.
“Dengan slogan ‘Bestari, Berani, Berjuang’, ia mencerminkan komitmen Umno dalam melahirkan pemimpin yang setia kepada perjuangan parti.
“Sebagai Ketua Penerangan Umno, saya ingin menegaskan bahawa Penerangan Umno akan terus memberikan sokongan penuh kepada usaha ini. Kepimpinan utama
Umno juga akan turun padang untuk memberikan panduan kepada pelajar Sekolah Patriotik, memastikan program ini mencapai matlamat yang diharapkan.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta kumpulan pertama ini. Semoga mereka menjadi patriot yang mampu mengharumkan nama Umno dan membawa parti ini kembali ke puncak kejayaan,” ujar Menteri Undang-undang itu dalam kenyataan media pada Ahad.
Mengulas lanjut katanya, Sekolah Patriotik Umno adalah satu inisiatif penting bagi melahirkan pemimpin generasi baharu yang berwibawa.
“Program ini dipelopori oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan penyertaan 50 pelajar terpilih yang akan menjalani latihan selama 12 minggu.
“Dalam kuliyah perdana, Presiden Umno juga menggariskan tiga elemen penting iaitu daya tahan, daya juang, dan daya saing – yang perlu dimiliki oleh setiap ahli Umno untuk membawa parti ke arah dominasi semula,” katanya.