Tuesday, December 30, 2014

Hutan Malaysia 'diratah' lebih besar dari Denmark

Kebanyakan kehilangan hutan di Malaysia berlaku di kawasan paling tebal, melebihi 50 peratus iaitu kawasan penyimpanan karbon dan paling kaya dengan kehidupan liar termasuk spesies terancam seperti orang utan, Gajah Kalimantan, badak sumbu Sumatera dan harimau bintang.

KUALA LUMPUR, 29 Disember :

Aktiviti pembersihan hutan di Malaysia merupakan yang tertinggi antara tahun 2000 dan 2012, di mana 14.4 peratus keluasan hutan yang dicatat pada tahun 2000, dibersihkan.

Menurut data peta hutan global yang dibangunkan bersama Google dan diterbitkan oleh news.mongabay.com, keluasan hutan yang dibersihkan itu adalah pada 47,278 kilometer persegi, iaitu keluasan yang melebihi negara Denmark.

Walaupun jumlah pembersihan hutan tetap tinggi, sekitar 25,978 kilometer persegi kawasan kembali hijau hasil daripada pemulihan hutan, penanaman semula untuk industri pembalakan dan ladang kelapa sawit.

Namun ladang kelapa sawit tidak dapat mengembalikan biodiversiti semula jadi hutan, menjadi setor karbon atau menyelenggara ekosistem, dan ini menunjukkan Malaysia semakin tenat dalam kehilangan alam semula jadi.

Kebanyakan kehilangan hutan di Malaysia berlaku di kawasan paling tebal, melebihi 50 peratus iaitu kawasan penyimpanan karbon dan paling kaya dengan kehidupan liar termasuk spesies terancam seperti orang utan, Gajah Kalimantan, badak sumbu Sumatera dan Harimau Bintang.

Pengarah Program Perubahan Iklim dan Penggunaan Tanah Dan Zarin berkata, kadar kehilangan hutan di Malaysia dalam tempoh dua tahun itu, hampir 50 peratus tinggi berbanding negara kedua tertinggi, iaitu Paraguay (9.6 peratus).

Jumlah kawasan hutan yang dibersihkan berada di kedudukan kesembilan selepas Rusia, Brazil, Amerika Syarikat, Kanada, Indonesia, China Republik Congo dan Australia.

Malaysia berada di kedudukan ke-12 dunia dalam jumlah bersih pengurangan hutan.

Semalam, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah mahu rakyat menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik, kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait dengan perbuatan manusia.

Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah diri dengan tindakan mereka dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan.

Baginda turut menitahkan rakyat menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan menyedari musibah bencana alam serta malapetaka yang terjadi itu, disebabkan kerakusan tangan manusia.

“Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak,” titahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-