Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Sunday, March 17, 2024

Jangan bergantung China, Malaysia perlu ada pelbagai rakan dagang, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Ameer Fakhri
-17 Mar 2024, 08:00 AM

Collins Chong berkata Putrajaya mesti mengambil pendirian tegas terhadap ‘sikap mengganggu’ Beijing di Laut China Selatan.
Pada 2023, nilai eksport negara ke China RM192.2 bilion, manakala import bernilai RM258.6 bilion. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Malaysia perlu mempelbagai rakan dagangnya dengan lebih banyak negara dan mengurangkan kebergantungan kepada China, memandangkan “sikap mengganggu” negara itu di Laut China Selatan, kata penganalisis.

Collins Chong, penganalisis keselamatan dan strategi Universiti Malaya, berkata penting bagi Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap tingkah laku yang mana membangkitkan isu keselamatan dan menjauhkan pelaburan asing.

“Pendekatan Malaysia dalam pertikaian di Laut China Selatan telah diredakan, bergantung kepada diplomasi senyap pintu belakang untuk mengelak risiko hubungan dengan Beijing, iaitu rakan dagang terbesarnya.

“Bagaimanapun, jangan sampai kita lupa bahagian terbesar aset ekonomi Malaysia datangnya daripada deposit bahan api fosil terletak di Laut China Selatan.

“Justeru, demi memastikan kepentingan dan kedaulatan negara di laut terpelihara, Malaysia mesti bebaskan diri daripada berterusan bergantung terhadap eksport yang banyak kepada China demi limpahan modal dan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, nilai dagang Malaysia dengan China adalah 17.1%.

Malaysia menjana pendapatan berjumlah RM192.2 billion tahun lalu daripada eksport barang ke China dan mengimport RM258.6 bilion, kebanyakan dalam bentuk jentera, peralatan, dan produk kimia.

Pada 4 Mac, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan hubungan Malaysia dan China, di tengah-tengah tekanan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya untuk mempertahan integriti dan kebebasan berlayar di Laut China Selatan.

Sambil menekankan Malaysia “sangat bebas” dan tidak patut dipaksa memilih oleh sebarang kuasa luar, Anwar menolak gesaan mengawal kebangkitan China, yang mana disifatkannya hanya memburukkan negara itu dan menyemai perbalahan di rantau ini.

Permintaan AS itu sebagai maklum balas terhadap “garisan 10 titik” diterbitkan China tahun lalu, yang menuntut 90% daripada 3.6 juta kilometer persegi Laut China Selatan, termasuk jajahan maritim milik Malaysia, Vietnam, Filipina, dan Brunei.

Collins berkata, Anwar tidak sepatut salah tafsir gesaan Barat “menegakkan undang-undang” di rantau ini sebagai cubaan campur tangan dasar luar, namun sebagai cubaan mengekalkan keamanan di Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan tersibuk dunia.

Dalam pada itu, Sharon Seah dari Institut Iseas-Yusof Ishak, berkata Malaysia perlu aktif berhubungan dengan negara Asean lain untuk secara bersama menegakkan undang-undang di Laut China Selatan.

Katanya, Malaysia sepatutnya secara minilateral dan fokus kerjasama dalam skala kecil bersama Vietnam dan Filipina bergabung menampakkan kehadiran maritim, seperti mana dilakukan dua negara itu pada 30 Jan.

Seah mencadangkan Asean menganjurkan latihan ketenteraan bersama tahunan, sebagai mana latihan solidariti Asean dilaksanakan pada September lalu demi mewujudkan kepercayaan antara negara anggota jika tercetus konflik di rantau ini.

Friday, February 16, 2024

Berbulan-bulan susah nak jumpa beras tempatan, alih-alih keluar Beras Madani

ismaweb.net
Ainul Illia
Kenapa RM30 untuk 10kg? Siapa pengilang Beras Putih Malaysia Madani?

BANGI, 6 Syabaan 1445H, Jumaat – Keputusan kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini, tidak diterima baik oleh rakyat.

Beras itu yang bakal menjadi kategori tunggal bagi beras putih menimbulkan pelbagai persoalan terutama daripada pihak pemain industri dan juga pembeli.

Hairan dengan isu ini, orang awam mula mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan lalu, sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.

Lebih menambahkan persoalan, kerajaan membuat ‘kejutan’ dengan memperkenalkan Beras Putih Madani Malaysia dengan harga siling baharu.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. berkata, harga siling baharu bagi beras putih ditetapkan pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Ia akan mula berkuatkuasa pada Isnin (19 Februari) dan beras ini akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Membidas kenyataan itu, salah seorang pengguna Facebook, Baba Panjang mempersoalkan harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan campuran ini.

“Kenapa RM30? Kenapa tak RM28 ke, RM20 ke? Rasa macam idea kedai 1Malaysia. Dulu pun ada barang-barang 1Malaysia. Ishhh siapa lah pengilang beras madani ni.. Mesti kaya sangat,” katanya.

Shukrie Rieey yang turut tidak berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling baharu ini berkata,” Puluhan tahun tak ada isu pun beras tempatan hilang di pasaran. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan menyusahkan rakyat.”

Manakala pengguna Facebook dengan nama Razaly Othman mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan ini.

“Yang hairannya mana perginya berss tempatan? Harga barang naik.. Ingat semakin turun…. Tunaikanlah janji janji semasa berkempen dulu,” katanya.

Sementara itu, Shafiq Hamzah berpandangan bahawa tidak logik beras import yang bernilai RM3,200 bagi setiap per tan metrik perlu dicampurkan dengan beras tempatan yang dikatakan hilang untuk mendapatkan harga jualan RM30 bagi 10kg.

“Kilang beras mana yang nak jual harga macam itu sedangkan mereka nikmati untung daripada harga beras import RM3,200/tan dan dijual pada harga rm40/10kg,” soalnya.

Rahimi Osman pula bimbang akan kesan-kesan yang bakal timbul jika semua beras dijual selaras dengan Harga Beras Putih Malaysia Madani, termasuk beras import.

“Saya risau pengeluar beras import tidak lagi mahu jual beras kerana tidak sepadan. Tinggal beras tempatan sahaja dalam pasaran dan akan timbul masalah lebih besar, tidak cukup beras langsung dalam negara. Rakyat kategori T20, M40 dan B40 akan berebut beli beras.

“Yang berduit boleh simpan bekalan beras banyak-banyak. Yang tiada duit mula tanam ubi kentang balik macam zaman Jepun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, September 29, 2023

Penyakit berkaitan jantung penyebab utama kematian di Malaysia

hmetro.com.my
BERNAMA
29/09/2023
GAMBAR hiasan
Putrajaya: Penyakit berkaitan jantung adalah antara penyebab utama kematian di Malaysia seperti pada 2020 apabila 17 peratus daripada 18,515 kematian yang direkodkan berpunca daripada penyakit berkaitan jantung.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, perbelanjaan akibat penyakit jantung juga membebankan negara jika berdasarkan laporan Kos Penjagaan Kesihatan Langsung Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia yang dikeluarkan pada 2022, iaitu pada 2017 dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

"Beban kos dijangka akan terus meningkat jika tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia.

Bersempena Sambutan Hari Jantung tahun ini, beliau berkata, advokasi ditumpukan kepada kepentingan memastikan jantung yang sihat tanpa sebarang komplikasi dan justeru itu, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti pencegahan serta pengesanan awal faktor risiko agar intervensi dan rawatan awal dapat diberikan.

Dr Muhammad Radzi berkata, antara usaha utama yang dilakukan adalah memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang bermula Julai 2022 dan menyasarkan seramai 1.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun.

Beliau berkata, aktiviti saringan itu dilakukan di semua klinik kesihatan melalui Peka B40 atau melalui program komuniti termasuk Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan program saringan dari rumah ke rumah melalui Program MADANI Afiat.

"Sejak dilancarkan pada Julai 2022, seramai 2,128,048 individu telah membuat saringan iaitu seramai 1,111,568 individu menjalankan saringan pada tahun ini sehingga 27 September lalu," katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2023 @ 2:56pm

Saturday, September 16, 2023

Bekalan makin kurang, pengguna 'borong' beras untuk simpan

hmetro.com.my
Johary Indan
am@hmetro.com.my
RAK meletakkan beras tempatan kosong di sebuah pasar raya mini di Tamparuli.
FOTO Johary Indan

Tuaran: Bukan sahaja beras tempatan tiada dalam pasaran di daerah ini sejak hampir dua minggu lalu, bekalan beras import juga semakin berkurangan menyebabkan pengguna terpaksa membeli pada harga tinggi.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Tuaran dan Tamparuli mendapati ekoran kenaikan harga barangan itu, pengguna membuat pembelian beras pada jumlah luar jangka untuk dijadikan simpanan sehingga beberapa bulan mengelakkan harga tinggi.

Pekerja kedai runcit di Tuaran, Richard James, 41, berkata tindakan pengguna membeli beras berlebihan secara mengejut itu menyebabkan bekalan beras tempat di pasaran habis mendadak.

"Memandangkan pembelian beras tiada had, maka kami tidak boleh halang pengguna membeli bahan pada jumlah banyak.

"Tindakan itu yang menyebabkan bekalan beras tempatan cepat habis, manakala bekalan baharu pula lewat dihantar pembekal," katanya di sini hari ini.

Peniaga di Tamparuli, Hasnah Hasan, 47, turut mengakui bekalan beras tempatan sukar diperoleh pada pasaran daerah itu sejak hampir dua minggu lalu.

"Selain itu, bekalan beras import juga semakin berkurangan apabila bekalan baharu tidak sampai," katanya.

Beliau berkata, peniaga menjual semua jenis beras sama tempatan atau import mengikut harga ditetapkan kerajaan.

"Peniaga tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya pada beras kerana bahan makanan utama itu dikawal selia harganya oleh kerajaan," katanya.

Hasnah berkata, tidak timbul perbuatan peniaga menyorok bekalan beras sehingga menyebabkan stok bahan makanan itu hampir habis di pasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, bekalan minyak masak paket satu kilogram turut sukar diperoleh di Tuaran dan Tamparuli sejak tiga hari lalu.

Peniaga mendakwa ketiadaan bekalan minyak masak paket di pasaran itu berpunca kelewatan pembekal menghantar bekalan baharu kepada kedai.

Disiarkan pada: September 16, 2023 @ 5:13pm

Wednesday, September 6, 2023

Giliran beras pulak

hmetro.com.my
Aqil Sharullizam dan Lydia Saiful
am@hmetro.com.my
PEKERJA menyusun peket beras ketika tinjauan harga beras di pasar raya di sekitar Shah Alam. FOTO AHMAD UKASYAH
Kuala Lumpur: Kenaikan harga beras putih import selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras super spesial tempatan (SST) meresahkan orang ramai terutama mereka yang berkeluarga sehingga membebankan kewangan mereka.

Kebanyakan pengguna mendakwa kenaikan harga makanan ruji berkenaan menyebabkan mereka terpaksa membuat pilihan untuk membeli beras kampit seberat lima kilogram (kg) berbanding 10kg sebelum ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pasar raya sekitar ibu kota mendapati berlaku peningkatan harga beras, manakala stok bagi beras SST sangat terhad selain terdapat beberapa premis turut kehabisan bekalan.

Pengguna, Aisyah Ramli, 37, berkata, kenaikan harga beras sangat dirasai apabila dia terpaksa menukar daripada membeli kampit beras 10kg kepada lima kg untuk menjimatkan perbelanjaan harian.

Menurutnya, disebabkan harga beras naik sejak minggu lalu, dia terpaksa beralih untuk membeli beras putih seberat lima kg sahaja.

"Baru-baru ini, saya lihat harga bagi beras putih biasa sahaja mencecah RM38 untuk kampit 10kg dan harga ini biasanya untuk beras import.

"Saya agak terkejut dengan kenaikan (harga beras) ini, (kerana) beras makanan harian dan apabila harganya meningkat secara tidak langsung memberi kesan kepada semua.

"Apabila makan di luar, nasi tambah pula dicaj antara RM2 hingga RM2.50 sepinggan berbanding RM1 sebelum ini," katanya.

Suri rumah Arina Ismail, 39, berkata, bukan sahaja harga beras yang menjadi masalah, malah bekalannya juga dilihat agak berkurangan di kedai-kedai.

"Kalau mahu cari beras tempatan agak sukar kerana tidak semua pasar raya dan kedai ada. Sebelum ini, bekalan beras mudah diperoleh, namun bekalan beras berkurangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Saya ada bertanya kepada pemilik kedai dan jawapan diberi ialah harga beras meningkat dan dia juga terpaksa mengurangkan bekalan," katanya.

Katanya, dia mendapati bukan sahaja harga beras yang naik, sebaliknya harga beberapa barangan keperluan lain juga semakin meningkat.

"Sekarang jika mahu beli barang dapur dengan membawa RM500 pun tidak mencukupi, tambahan pula apabila harga beras ini naik, perbelanjaan bulanan jadi tidak menentu dalam keadaan ekonomi merudum," katanya.

Pembeli yang mahu dikenali sebagai Siti, 70, berkata harga barangan keperluan harian ketika ini tidak menentu dan berbeza mengikut tempat.

"Oleh kerana ia barangan keperluan harian, sekali pun harga mahal atau murah tetap akan dibeli juga.

"Kita sebagai pengguna memang tiada pilihan, lebih-lebih lagi beras adalah makanan ruji bagi masyarakat di Malaysia," katanya.

Pesara Hasan Tajuri, 65, turut berkongsi pandangan apabila dia memaklumkan sentiasa membuat perbandingan harga beras di setiap pasar raya sebelum melakukan pembelian.

"Saya akan lihat dahulu harga barang di setiap pasar raya yang saya pergi, jika ada promosi baru saya akan beli.

"Justeru, saya berharap pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti pemantauan dan kawalan terhadap harga beras yang meningkat," katanya.

Pelanggan kurang gemar beras SST

Segelintir peniaga kedai runcit di ibu negara mendakwa kurang mengambil bekalan beras super spesial tempatan (SST) kerana tidak mendapatkan permintaan berbanding beras putih import.

Peniaga kedai runcit, Zarina Abdullah, 46, berkata ini kerana pelanggannya lebih cenderung unuk membeli beras import berbanding beras SST.

"Kebanyakan pelanggan lebih menyukai beras import kerana dikatakan lebih sedap berbanding beras tempatan, dan harga beras import juga lebih stabil serta mudah diperoleh berbanding beras tempatan.

"Sekarang ketetapan harga beras tempatan belum diberitahu lagi oleh pembekal, buat masa sekarang memang ada kenaikan bagi harga beras (import).

"Harga untuk satu kilogram beras import yang saya jual adalah RM2 dan akan meningkat sebanyak 10 sen kepada RM2.10 mulai awal bulan ini.

"Bermula tahun ini, beras yang saya beli ini memang susah nak dapat untung yang banyak, sekampit yang saya jual hanya untung sebanyak 30 sen sahaja," katanya.

Peniaga kedai runcit lain, Ahaddee Mamat, 37, berkata dia menerima beras tempatan pada harga antara RM2 hingga RM3 sekampit daripada pembekal menyebabkannya terpaksa menaikkan harga jualan.

"Terdapat juga pembeli yang merungut akibat kenaikan harga beras sehinggakan saya terpaksa menerangkan keadaan semasa.

"Sebagai penjual, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami hanya menjual berdasarkan kadar harga yang diberikan oleh pembekal sahaja.

"Bagaimanapun, tetap ada pelanggan yang memahami keadaan dan masih membeli barangan keperluan (beras) meskipun harganya tidak menentu," katanya.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Hassan Tajuri, 65, berkata, dia amat terkesan akibat harga beras tambahan pula harga barangan keperluan lain turut mengalami kenaikan.

Menurutnya, akibat itu, dia terpaksa menaikan harga nasi lemak sebanyak 50 sen ketika ini berbanding RM1, namun saiz hidangan masih sama.
BEKALAN beras dengan harga baharu di sebuah pasar raya di Tamparuli.
Pantau pasaran hargaberas antarabangsa

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.

Bernas turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk.

Pada masa sama, Bernas turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa.

Langkah itu bertujuan menjamin bekalan beras yang stabil kerana keselamatan makanan negara serta kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan pihaknya.

"Bernas berdepan separuh tahun pertama sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

"Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.

"Bernas juga menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing.

Bernas juga kekal komited memastikan bekalan beras negara mencukupi dan menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa daripada melanda negara

"Itu adalah peranan kami sebagai gatekeeper (pengawal selia) tunggal bagi padi dan beras negara.

"Ia selaras dengan status Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah," katanya.

Terdahulu, Bernas mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya dekat seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik.

Ia berkuat kuasa mulai 1 September lalu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Disiarkan pada: September 6, 2023 @ 12:00pm

Friday, September 1, 2023

Ahmad Terrirudin peguam negara baharu

freemalatsiatoday.com
FMT Reporters
 - 01 Sep 2023

Beliau menggantikan Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 Sept ini.
Ahmad Terrirudin Salleh adalah peguam cara negara ketika ini.

PETALING JAYA: Ahmad Terrirudin Salleh dilantik sebagai peguam negara baharu berkuat kuasa 6 Sept.

Beliau menggantikan Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 Sept ini.

Terrirudin adalah peguam cara negara ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, berkata pelantikan Terrirudin adalah selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Idrus atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan sebagai peguam negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 25 Ogos lalu FMT melaporkan Terrirudin dikatakan menjadi pilihan utama bagi menggantikan Idrus.

Perkhidmatan Idrus dilanjutkan selama enam bulan selepas kontrak asalnya tamat Mac lalu, beliau dilantik pada 6 Mac 2020, menggantikan Tommy Thomas.

Terrirudin, 54, akan menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lalu, Terrirudin ialah ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Monday, July 17, 2023

ULASAN l Melayu kena terima hakikat Tanah Melayu tidak ada lagi

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Jul 17, 2023
ULASAN l Kita adalah negara persekutuan. Iaitu gabungan 13 buah negeri, tidak termasuk Wilayah Persekutuan. Waktu merdeka tahun 1957, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Natijahnya, apabila namanya Persekutuan Tanah Melayu, tidaklah ada keraguan berkenaan siapa tuan punya atau tuan rumah negara itu.

Tetapi apabila ditubuhkan Malaysia pada tahun 1963 dengan kemasukan Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, nama Persekutuan Tanah Melayu ditukar menjadi Persekutuan Malaysia. Mulai saat itu timbullah tuntutan "Malaysian Malaysia".
A Kadir Jasin
Bagi orang Melayu yang "meratib" berkenaan negeri atau negara Melayu, mereka kena terima hakikat bahawa Persekutuan Tanah Melayu sudah tidak ada lagi. Sudah jadi bekas.

Yang ada adalah Malaysia. Negara yang dulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu sekarang ini dipanggil Semenanjung Malaysia.

Persekutuan Tanah Melayu hanya tinggal dalam sejarah dan ingatan orang lama. Singapura "dikeluarkan" pada tahun 1965 dan sekarang ini Sarawak dan Sabah semakin bebas, berautonomi dan menjadi "kingmaker" yang menentukan siapa memerintah Malaysia.

Kerajaan persekutuan memerintah seluruh negara dengan diketuai oleh Perdana Menteri. Ada orang kata, "Menteri Perdana" lebih tepat. Macam Menteri Besar.
Kerajaan negeri memerintah negeri-negeri dengan diketuai oleh Menteri Besar. Ada negeri menggunakan gelaran Ketua Menteri dan Premier.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dipilih oleh warganegara berumur 18 tahun ke atas dalam pilihan raya setiap lima tahun sekali atau lebih singkat.

Pada masa Persekutuan Tanah Melayu dan awal-awal Malaysia, pilihan raya Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri diadakan serentak, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Kalau tidak silap, negeri pertama mengadakan PRN berasingan adalah Sabah pada tahun 1967 dan kemudiannya Sarawak pada tahun 1983.
Amalan PRN berasingan ini meluas selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2018, khususnya apabila terjadi rampasan kuasa "tebuk atap" pada bulan Februari 2020. Pada tahun berikutnya, Umno melakukan tipu helah di Melaka dan Johor sehingga memaksa PRN diadakan. Di Melaka, PRN diadakan pada 20 November 2021 dan Johor pada 12 Mac. Kedua-duanya dimenangi oleh BN.

Berpaksikan kemenangan di Melaka dan Johor itulah Umno, atau lebih tepat kluster mahkamah Umno, memaksa Perdana Menteri dari Umno, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen lebih awal. Mereka sangat yakin akan menang besar.

Tetapi keyakinan kluster mahkamah Umno itu meleset sama sekali. Umno kalah teruk dalam PRU 2022. Malah kalah kepada parti serpihannya sendiri, Bersatu. Umno menang 26 kerusi dan Bersatu 31.

Apabila PRU diadakan lebih awal pada bulan November lalu, negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN di negeri-negeri kawalan mereka iaitu Kedah (PN), Pulau Pinang (PH), Selangor (PH), Negeri Sembilan (PH), Terengganu (PN) dan Kelantan (PN).
Sekarang PRN di negeri-negeri itu wajib diadakan kerana tempoh DUN mereka sudah hampir habis.

Pada tahun 2018 tiga pihak bertanding di enam negeri berkenaan, iaitu BN, PH dan Pas. Masa itu Bersatu dalam PH. Kali ini dua gabungan akan bertanding. Pas dengan Bersatu di bawah panji-panji PN dan Umno berpakat dengan PH. Undi Melayu yang pecah tiga dalam PRU 2018 dan 2022 akan terbahagi kepada dua saja dalam PRN 12 Ogos nanti.

Apa pun juga keputusannya, kedudukan kerajaan pusat tidak dijangka terancam tetapi akan mempengaruhi trend jangka sederhana dan panjang politik Malaysia, terutamanya imej Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara (2011) dan bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Kali pertama terbit di Facebook dengan judul Mengenali bekas Tanah Melayu dan PRN.

Sunday, February 26, 2023

UMNO, Golkar sama tetapi tidak serupa

bharian.com.my
Oleh Andi Suwirta
bhrencana@bh.com.my
 - Februari 26, 2023 @ 8:22am
Gambar hiasan
Ramai pensyarah dan penyelidik, sama ada di Malaysia mahupun Indonesia yang menyatakan UMNO adalah sama dengan Parti Golkar. Kedua-dua parti itu memang pernah menjadi kekuatan politik arus perdana, tetapi sekarang ini, merudum dalam alam politik kontemporari di kedua-dua negara berjiran ini.

UMNO dan Golkar memang wujud persamaan dan perbezaan. Serupa dengan membincang Malaysia dan Indonesia sebagai negara-bangsa serumpun, maka memang ada persamaan, tetapi lagi banyak sangat perbezaannya. Menyentuh persamaan dan perbezaan ini sangat perlu bagi mendapatkan pemahaman betul dan mendalam.

UMNO ditubuhkan pada 1946, jauh sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala Golkar ditubuhkan pada 1964, iaitu selepas Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945. Dalam konteks ini, UMNO lebih tua dan menjadi teras perjuangan kemerdekaan bagi sebuah negara-bangsa di Malaysia dibandingkan Golkar di Indonesia.

UMNO diasaskan 'Bapa Kemerdekaan' Malaysia, seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj. UMNO adalah parti politik moderat, mahukan berunding dan bertolak-ansur untuk mencapai kemerdekaan apabila dibandingkan sama ada golongan radikal Melayu ataupun Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahukan berjuang dengan 'darah dan air mata' atau jalan kekerasan untuk merebut kemerdekaan.

Golkar diasaskan bukan oleh 'Bapa Kemerdekaan' Indonesia, sebaliknya Kolonel Djuhartono, iaitu ahli Tentera Siliwangi daripada Jawa Barat yang membidankan kelahiran Golkar, terutama bagi menyokong kerajaan Presiden Sukarno dan mendepani cabaran Parti Komunis Indonesia (PKI) pada masa Demokrasi Terpimpin dekad 1960-an.

UMNO menerajui kerajaan di Malaysia sejak Merdeka pada 1957 hingga tewas dalam Pilihan Rakyat Umum (PRU) pada 2018. Kejayaan UMNO dalam setiap PRU melalui cara berperikatan dengan parti politik daripada bukan Melayu seperti MCA, MIC dan parti politik di Sarawak dan Sabah. Isu rasuah dan salah tadbir urus negara menjadi punca tewasnya UMNO dalam PRU 2018.

Golkar menerajui kerajaan di Indonesia pada masa Orde Baru antara 1968 hingga 1998, berjaya dalam setiap pemilihan umum (PEMILU) bermula 1971 hingga 1998, ekoran mendapat sokongan penuh ahli birokrasi atau kakitangan kerajaan dan Tentera Nasional Indonesia. Isu Korupsi, Kolusi, Nepotisme (KKN) pula menewaskan Golkar dalam setiap PEMILU selepas Orde Baru hingga zaman Orde Reformasi (1998 – sekarang).

Presiden UMNO selalunya menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak 1957 hingga 2018, sedangkan Ketua Umum Golkar belum pernah menjawat selaku Presiden Indonesia. Presiden Suharto bukanlah Ketua Umum Golkar, tetapi Ketua Dewan Pembina yang memang ada kuasa besar menentukan hala tuju dan corak politik daripada parti berkenaan.

Cabaran utama UMNO, Golkar

Walaupun sekarang UMNO dan Golkar bukan lagi selaku kekuatan politik arus perdana di Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya kekal diambil kira sebagai parti politik kaya pengalaman dan kebolehan mentadbir urus kerajaan. Masyarakat pada peringkat akar umbi selalunya melihat jasa baik dan mengenang khidmat bakti daripada UMNO dan Golkar dalam perjalanan sejarahnya.

Pengerusi Golkar kerap bernostalgia bersabit kejayaan masa kerajaan Orde Baru dengan memasang gambar bekas Presiden Suharto (1921-2008), yang sedang tersenyum dan berkata dalam bahasa Jawa: "Kepenak Jamanku, toh?" (Lagi selesa dan bahagia masa kerajaan saya, bukan?)

Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kerap dipanggil dan ditegur sebagai 'Bani Ponorogo' daripada bangsa Jawa, memang ada keazaman pun untuk mengembalikan masa kegemilangan parti politik bagi bangsa Melayu di Malaysia.

Cabaran utama UMNO dan Golkar sekarang adalah sama, iaitu citra bersih bagi dua-dua parti politik bersabit amalan rasuah dan ketelusan dalam mentadbir urus negara. Seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - hakikatnya tokoh UMNO juga dari 1982 hingga 1998 - bahawa masalah rasuah di Indonesia dan Malaysia adalah 'beza-beza sikit.' Rasuah di Indonesia mungkin di atas meja secara ketara, sedangkan rasuah di Malaysia selalunya di bawah meja secara senyap.

Natijahnya, sama ada rasuah itu di atas atau di bawah meja, ketara atau senyap, ia amalan buruk bakal diketahui ramai orang. Dasar dan amalan pimpinan UMNO dan Golkar untuk 'nyah rasuah' adalah kata kunci menjayakan kedua-dua parti politik yang sama tetapi berbeza itu untuk menerajui semula kerajaan di Malaysia dan Indonesia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sejarah Universiti Pendidikan Indonesia (UPI)

Monday, November 28, 2022

Anwar terima kunjungan Sultan Brunei

mykmu.net
28/11/2022
Anwar terima kunjungan Sultan Brunei

Malaysia dan Brunei Darussalam akan menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, perkara berkenaan akan direalisasikan sempena Lawatan Khas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah, julung kali selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu.

Lawatan terakhir Sultan Hassanal Bolkiah ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Anwar akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah serta rombongan dalam satu majlis santapan tengah hari.

Brunei Darussalam adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia pada 2021 dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion)

. BH

Sunday, November 27, 2022

Anwar tak nak beli kereta rasmi baru, karpet, ubah suai pejabat PM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 27, 2022 10:26 AM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan tidak akan membeli kereta rasmi baru untuk kegunaannya atau melakukan sebarang pengubahsuaian di pejabatnya.

Jelasnya, ini kerana dia ingin mewujudkan budaya tidak membazirkan dana kerajaan sebagaimana amalan pentadbiran terdahulu.

"Mereka sebut umpamanya karpet (di JPM) tu ada yang pecah. Saya kata tak apa, repair sikit-sikit cukup. Jangan beli yang baru.

"Jadi ini sebagai mesej kepada semua pimpinan jabatan yang lain supaya ingat dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baru. Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita.
"Fikirkan ini boleh jimat RM100, RM1000, RM10,000 itu boleh dipulangkan kepada rakyat yang susah. Saya mulakan dari situ selain tidak ambil gaji,” katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran di Masjid Ashabus Solihin di Sungai Long, Kajang.

Hari ini, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan jabatan dan agensi kerajaan di Putrajaya esok yang akan memberi tumpuan kepada mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dia akan menghadiri mesyuarat khas Majlis Tindakan Kebangsaan 2022 mengenai 'kos sara hidup' esok di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 11 pagi.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun berkata menangani kenaikan kos sara hidup akan menjadi keutamaannya sebagai perdana menteri.

Pengerusi PH itu enggan menerima gaji perdana menteri dan hanya akan mendapat elaun yang dibayar kepada ahli parlimen.

Monday, November 21, 2022

Muhyiddin atau Anwar?

hmetro.com.my
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
MUHYIDDIN dan ANUAR.

Kuala Lumpur: Salah seorang daripada dua nama besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ia selepas gabungan parti yang dipimpin mereka, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai jumlah kerusi tertinggi untuk membentuk kerajaan baharu seandainya mendapat kerjasama beberapa parti lain.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpendapat kedua-dua pemimpin itu mempunyai peluang untuk dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan pengaruh dan sokongan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, berdasarkan jumlah kerusi terbanyak yang diperoleh PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar mempunyai peluang yang lebih tinggi berbanding Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

"Tapi perlu dilihat, kita pernah berada dalam pemerintahan PH selama 22 bulan, banyak perkara berlaku dan masalah yang timbul serta ketidakharmonian dihadapi.

"Walaupun Anwar calon Perdana Menteri popular tetapi calon daripada PN turut boleh dipertimbangkan menjawat jawatan utama itu memandangkan parti terbabit juga menang banyak kerusi di Parlimen.

"Sekiranya PN dapat membentuk kerajaan, Muhyiddin dilihat sebagai calon terbaik untuk dilantik sebagai Perdana Menteri semula berdasarkan kestabilan politik serta ekonomi yang dibawa ketika pemerintahannya sebelum ini," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memilih calon Perdana Menteri baharu yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan meminta gabungan parti politik mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 sebelum jam 2 petang ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata, dokumen dikemukakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi pembentukan kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Izani berkata, kejayaan Pas memperoleh jumlah kerusi yang paling banyak dalam gabungan PN turut tidak boleh dinafikan untuk parti itu meletakkan calon Perdana Menterinya.

"Walaupun pencapaiannya lebih besar daripada Bersatu dalam PRU-15 ini, tetapi setakat ini Pas belum menamakan sesiapa daripada parti itu untuk menjadi calon PM selain dilihat tiada calon berpengalaman dan bereputasi tinggi untuk memimpin negara," katanya.

Sementara itu, Pakar Geostrategik Prof Dr Azmi Hassan berkata, hanya dua gabungan utama, PH dan PN yang dilihat mampu membentuk Kerajaan Persekutuan dan mempersembahkan nama calon Perdana Menteri mereka.

Menurutnya, perbezaan jumlah kerusi Parlimen yang rendah membuatkan kedua-dua parti itu mempunyai potensi membentuk kerajaan campuran dengan parti lain.

"Salah satu permutasi paling mudah adalah PH dan BN, namun kemungkinan ini tidak akan berlaku.

"Satu lagi permutasi adalah PN bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Umno Sabah, Warisan atau Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Bebas," katanya.

Menurutnya, hakikatnya tidak mengejutkan apabila tiada parti mendapat majoriti dalam PRU-15 tetapi yang mengejutkan apabila PN berjaya memenangi banyak kerusi Parlimen.

Lebih mengejutkan, katanya, Pas memenangi jumlah kerusi yang banyak.

Berikutan itu, Dr Azmi berkata, sekiranya PN membentuk kerajaan, sudah pasti kabinet akan dikuasai Ahli Parlimen daripada Pas kerana mereka mempunyai kerusi terbanyak.

Disiarkan pada: November 21, 2022

Wednesday, October 19, 2022

KOLUM | Yang pengundi mahu

malaysiakini.com
Faisal Tehrani
Diterbitkan: Oct 19, 2022 9:00 AM
Bayangkan sedetik, mandat rakyat Malaysia tahun 2018 yang lalu genap lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus.

Langkah Sheraton tidak berlaku. Penyamun dan perasuah dibicarakan dan diletakkan di belakang jeriji besi. Pelan peralihan berjalan lancar. Parti Agama menghormati dengan penuh akhlak keinginan pengundi dan tidak berdengki.

Apakah yang Malaysia kita capai? Kegemilangan tentunya. Kestabilan dan kemakmuran. Kita pasti bangkit menyaingi secara sihat negara lain.

Jadi bila ada parti mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah dan penuh perasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak pencuri masuk rumah dengan perasaan dia tak akan mencuri.

Bayangkan jika mandat rakyat tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Sebenarnya boleh membayangkan.

Pelaburan meningkat

Sebab bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH). Negeri ini dapat dijadikan teladan dan contoh. Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mungkin kurang dikenal orang negeri lain. Sejak di bawah PH, Negeri Sembilan mencipta peningkatan pelaburan.

Negeri Sembilan berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM7.93 bilion pada tahun 2020 dan RM5.8 bilion pada tahun 2021. Pelaburan besar yang dibawa ini bukan sekadar ambil dapat tetapi pelaburan berkualiti menerusi usaha Invest NS sepertinya pelaburan kilang baharu Dutch Lady Milk Industries (DLMI) bernilai RM400 juta yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya di Nilai.

Selain itu, terdapat sasaran Invest NS merangkumi tiga kluster utama iaitu pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) bagi daerah Seremban dan Port Dickson; pembangunan agrotani melibatkan daerah Jempol, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau serta pembangunan diversiti khusus dibangunkan di daerah Jelebu.
Kalau Muhyiddin Yassin dan Bersatu tidak gelap mata dan keluar buru-buru dari PH membentuk Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk rakus menjadi perdana menteri, tentu lain jadinya.

Kalau konco-konconya yang juga ada agenda peribadi dari PKR lebih mementingkan rakyat, maka Malaysia boleh seperti Negeri Sembilan di atas. Inilah yang akan kita perolehi. Kestabilan kerana perasuah sudah dipenjara. Dan kemakmuran kerana perasuah sudah dibenamkan dalam pilihan raya.

Jadi bila ada parti Melayu mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak perogol tegar masuk rumah dengan perasaan dia tak akan merogol emak dan nenek kita. Kalau kaki rogol, dia akan merogol juga waima orang tua.

Umno bukan model teladang

Bayangkan jika mandat rakyat tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Sebenarnya boleh membayangkan. Bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah PH. Kebetulan pula ada monarki baik. Raja memerintah dengan baik ini langka.

Prestasi kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Sembilan menjadi lebih molek selepas PH mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan pada 09 Mei 2018. Simpanan dan aliran tunai (cash flow) Menteri Besar Negeri Sembilan Pemerbadanan (MBINS), Yayasan Negeri Sembilan, PKNNS dan Negeri Roadstone Sdn Bhd bertambah elok.

Sebagai contoh staf Yayasan Negeri Sembilan tidak perlu merungut tidak dibayar gaji, kerana kini Yayasan tersebut memiliki simpanan RM16 juta. Kedai-kedai milik PKNNS yang kosong tidak disewa kini telah dijual dan dibeli kedai baharu di kawasan yang lebih strategik dengan harga yang lebih munasabah.

Tidak percaya boleh bertanyakan orang Kelantan kerana mereka ramai berbesankan orang Negeri Sembilan, boleh angkat telefon bertanya. Sebab malu juga bila keluarga menantu bertandang ke tanah serendah sekebun bunga sekali dihidang air kotor dari boring bawah tanah.

Jikalau betul yang ditawarkan ialah kestabilan dan kemakmuran mengapa Umno dan Barisan Nasional tidak memperagakan negeri di bawah pemerintahan mereka iaitu Perlis sebagai contoh? Sebab Perlis di bawah Umno memang tidak dapat dijadikan model teladan.

Tidak tahu apa keramatnya hutang yang dibikin kerajaan di sana, dan kaki hutang ini anehnya masih diundi Melayu Perlis. Jumlah hutang awam kerajaan Perlis pada tahun 2018 misalnya meningkat RM10.99 juta atau 2.8 peratus kepada RM403.32 juta berbanding RM392.33 juta pada tahun 2017.

Hal ini dinyatakan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid. Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Perlis 2018 mendapati tunggakan bayaran hutang awam oleh kerajaan negeri pada tahun 2018 meningkat kepada RM244.28 juta berbanding RM229.88 juta pada tahun 2017.

Jadi bila ada parti yang macam palat mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak penagih dadah tegar masuk rumah dengan perasaan dia tak akan mencekup barang kemas pusaka kita.

Malaysia jadi seperti N Sembilan

Bayangkan jika mandat rakyat Malaysia tahun 2018 yang lalu digenapkan lima tahun, tidak diganggu oleh pengkhianat, dan perakus. Bayangan itu dapat dilihat pada Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan.

Boleh bayangkan sebab ada data dan informasinya. Negeri Sembilan misalan dalam tempoh empat tahun sejak 2018 telah meningkatkan pelaburan asing (FDI), RM23.51 bilion dengan lebih 17,227 peluang pekerjaan ditawarkan.

Negeri Sembilan telah menukar status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal, menaikkan elaun daripada RM900 sebulan kepada RM950 sebulan untuk 1,500 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), elaun bilal daripada RM200 dinaikkan kepada RM500 dan elaun siak daripada RM200 dinaikkan kepada RM450. Tak kedengaran pula kisah azan tak dapat dilaungkan. Tak kedengaran cerita merepek perbalahan kaum yang suka diapikan parti rasuah.

Bahkan projek perumahan yang terbengkalai sejak zaman kerajaan negeri Umno di Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah juga dilunasi. Orang Negeri menikmati cukai tanah dan cukai taksiran yang sama selama lima tahun.

Jadi bila ada parti macam Umno mengakui menjajakan kestabilan dan kemakmuran, ia adalah argumen falasi, bahawa mengundi parti terkenal rasuah mereka akan membanteras rasuah, semacam juga mengajak biawak hidup masuk rumah dengan cita-cita ia tak akan membaham haiwan ternakan kita.
Sebenarnya kalau Azmin Ali tidak kabur-kabur dan keluar gelojoh lahap dari PH membentuk PN tentu lain jadinya. Kalau konco-konconya macam Zuraida Kamaruddin lebih mementingkan rakyat, mengelak jadi pontianak maka Malaysia boleh seperti Negeri Sembilan di atas. Inilah yang akan kita perolehi. Kestabilan kerana perasuah sudah dipenjara. Dan kemakmuran kerana perasuah sudah dibenamkan dalam Pilihan Raya.

Bayangkan Langkah Sheraton tidak berlaku. Penyamun dan perasuah dibicarakan dan diletakkan di belakang jeriji besi. Pelan peralihan berjalan lancar. Parti Agama menghormati dengan penuh akhlak keinginan pengundi dan tidak berdengki.

Inilah yang akan dilakukan pengundi sekali lagi. Inilah yang akan pengundi beritahu kepada ahli keluarga dan sahabat handai serta tetangga jiran mereka di kampung apabila pulang mengundi kelak. Orang Negeri Sembilan tahu itu. Orang Kelantan pun tahu sebab besan dan menantu dari Negeri Sembilan ada beritahu.

Jangan pula sesekali berpendirian tidak mengundi. Hujan ribut pun turun juga. Penyamun memang suka peratus mengundi rendah. Kerana ia seumpama tidak berpendirian bila ular senduk masuk rumah dengan angan-angan ia tak akan mematuk anak cucu kita.

FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, September 22, 2022

Rasuah antara punca rakyat tak dapat perkhidmatan sepatutnya, titah Sultan Nazrin

freemalaysiatoday.com
Bernama
-September 22, 2022 
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai pendidik untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Mohd Kamal Hassan.

Sultan Nazrin bertitah daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata,” titah baginda.

Baginda menegaskan masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai murabbi (pendidik) untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah kerana golongan ini mempunyai peranan yang amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian serta moral.

Mengenai pelancaran buku hari ini, baginda bertitah bahawa pendekatan penulis, Mohd Kamal merupakan pendekatan baharu di luar kotak budaya bangsa melalui pemilihan dua kata kunci iaitu korupsi serta kemunafikan dan mengaitkannya dengan politik Melayu sebagai tajuk buku dan kandungan buku ini amat perlu disebarkan mesejnya ke setiap tempat dalam bahasa yang mudah difahami.

Thursday, September 8, 2022

Pengguna FB Malaysia berusia 18-20 tahun tak minat politik: Kajian

agendaily.com
08/09/2022
Statistik menunjukkan minat belia terhadap politik yang diterbitkan Politweet melalui kajian menerusi Facebook pada 7 September 2022.

Politweet, firma penyelidikan yang menganalisis interaksi dalam kalangan rakyat Malaysia menggunakan media sosial, hari ini mendedahkan minat terhadap politik adalah paling rendah dalam kalangan pengguna Facebook berumur 18 hingga 20 tahun, berbanding kumpulan umur yang lebih tua.

Dalam catatan di Twitter, ia berkata hanya 10.37 peratus pengguna Facebook berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai minat dalam politik, dengan yang tertinggi adalah dalam kumpulan umur 41 hingga 50 tahun iaitu 44.59 peratus.

“Statistik telah dikumpulkan daripada Pengurus Iklan Facebook pada 6 September,” katanya.

“Minat dalam politik adalah berdasarkan klasifikasi dalaman Facebook tentang maksud ‘minat dalam politik’ di bawah tetapan Penyasaran Terperinci,” jelas Politweet.

Kumpulan umur dengan minat kedua terendah dalam politik ialah pengguna Facebook berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebanyak 28.50 peratus.

Pengguna Facebook berusia 31 hingga 40 tahun menunjukkan minat kedua tertinggi dalam politik iaitu 44.53 peratus, manakala 43.57 peratus bagi mereka yang berumur 51 hingga 60 tahun dan 42.75 peratus mereka yang berumur 61 tahun ke atas.

Bagaimanapun, mereka yang berumur antara 18 dan 21 kini dilihat secara meluas sebagai pembuat keputusan kerana mereka membentuk 40 peratus daripada 5.8 juta pengundi baharu yang ditambah dalam daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas Parlimen meluluskan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik Disember lalu.

Pada Mei, tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan belia Arkitek Kepelbagaian (AOD), dengan kerjasama UndiI18 dan Undi Negaraku, menunjukkan lapan daripada 10 belia Malaysia berkata mereka berhasrat untuk mengundi pada PRU-15.

Bagaimanapun, 41 peratus daripada responden belum membuat keputusan mengenai parti politik yang hendak dipilih dalam undi mereka.

Tinjauan itu menunjukkan terdapat persaingan yang ketat dalam kalangan parti politik atau gabungan untuk belia, dengan sokongan tertinggi kepada Barisan Nasional (BN) iaitu 15.5 peratus, diikuti Perikatan Nasional (PN), 13.8 peratus, MUDA (11.9 peratus) dan Pakatan Harapan (PH), pada 10.5 peratus.

Monday, July 4, 2022

'Minyak masak subsidi banyak dijual di selatan Thailand'

Astro Awani
Julai 4, 2022 
Menurut Abe Mat, rakyat Thailand tidak menghadapi masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi. - Foto Astro AWANI

NARATHIWAT: Isu kekurangan bekalan minyak masak di Kelantan khususnya minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram ada kaitan dengan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
Dalam kegawatan minyak masak di Kelantan dengan pembelian di kedai runcit dihadkan kepada satu atau dua kilogram sahaja bagi setiap pembelian, lain pula di selatan Thailand.

Khususnya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi, tiada pembelian dihadkan untuk minyak masak peket satu kilogram.
Seorang warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Abe Mat Sulaiman memaklumkan kepada Astro AWANI tentang penjualan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk dari Kelantan dan dijual di premis perniagaan di sana.
"Minyak masak peket pelbagai jenama dari Malaysia mudah didapati disini, bahkan boleh dikatakan berlambak-lambak dijual di hampir banyak kedai runcit.

"Peniaga menjual dengan kadar harga 55 Bath (sekitar RM7) di pasar dan juga kedai runcit," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
"Orang sini (Thailand) tak ada masalah bekalan minyak masak dalam peket ini, sebab sentiasa ada dan jarang habis stok," katanya yang tinggal di sebuah kampung di Narathiwat.
Menurutnya lagi, harga minyak masak dari Malaysia lebih murah jika dibandingkan dengan minyak masak Thailand yang berharga 77 Bath (sekitar RM10.30).
"Orang Thailand suka beli minyak masak Malaysia kerana lebih murah iaitu antara 50 dan 55 Bath untuk peket satu kilogram, berbanding minyak masak keluaran Thailand yang djual dalam botol dengan harga 77 Bath.
"Tiada had pembelian minyak masak Malaysia di sini, kalau nak beli 12 peket pun boleh, asal ada duit," jelasnya.
Jelas Abe Mat lagi, rakyat Thailand tidak menghadapi masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi.
Bahkan, menurutnya lagi, minyak masak dari satu hingga lima kilogram jenama terkenal dari Malaysia turut dijual di selatan Thailand.
Bagaimanapun, harganya agak tinggi serta kurang mendapat sambutan kerana bekalannya sukar diperolehi.
Untuk rekod, minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram dijual pada harga RM2.50 di Kelantan.
Namun mutakhir ini bekalan minyak masak bersubsidi berdepan dengan kekurangan bekalan dengan kebanyakan peruncit hanya menjual satu atau dua peket sahaja kepada pelanggan mereka.

Monday, May 23, 2022

Kerajaan henti eksport ayam mulai 1 Jun hingga bekalan stabil

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 23, 2022 6:15 PM
Kerajaan hari ini memutuskan untuk menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ekor ayam mulai 1 Jun ini bagi menangani kekurangan bekalan makanan semasa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dijangka menjejaskan bekalan ayam di Singapura. Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, republik itu merupakan pengimport terbesar ayam dari Malaysia

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat dakwaan bahawa terdapat kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar, dan berjanji tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati mensabotaj bekalan ayam.

Kerajaan juga akan memperkenalkan semula inisiatif yang dimulakan oleh Ismail Sabri pada tahun 2014 yang dipanggil 'Jihad Memerangi Orang Tengah', yang bertujuan mengurangkan peranan penjual semula yang dipercayai bertanggungjawab dalam memanipulasi harga dan bekalan barang dalam negara.

"Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini seperti:

"Pertama, menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil," katanya dalam satu kenyataan media.

Perdana Menteri berkata, kabinet juga memutuskan untuk memansuhkan permit import (AP) bagi produk ayam, termasuk keseluruhan ayam dan bahagian ayam, bagi membolehkan pengimport mendapat lebih banyak bekalan.

Selain itu, kerajaan akan menambah bilangan kemudahan penyembelihan ayam yang diiktiraf di luar negara bagi meningkatkan aliran bekalan.

"Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga

dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

"MyCC sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

"Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad Memerangi Orang tengah yang telah saya. perkenalkan pada tahun 2014.

"Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini," kata Ismail Sabri.

Mesyuarat hari ini juga menyaksikan Peguam Negara menasihati Jemaah Menteri untuk menggunakan sepenuhnya Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap sebarang aktiviti menyorok bekalan atau sabotaj.

Perdana menteri berkata, mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar undang-undang boleh diambil tindakan terhadap mereka dan lesen mereka dibatalkan.

"Kerajaan meminta Mafi dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (PeraturanPeraturan Kawalan Bekalan 1974)," katanya.

Friday, August 13, 2021

ULASAN | Adakah kita telah kalah dalam pertempuran ini?

malaysiakini,com
Dr Adlina Suleiman & Dr Noor Azah Abd Aziz
Diterbitkan 13 Aug 2021, 11:18 am

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos mengumumkan pelancongan tempatan, bersukan di luar serta makan di restoran akan dibenarkan, mulai Selasa 10 Ogos di tempat-tempat yang telah mencapai fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Kelonggaran yang lebih besar untuk perjalanan merentas daerah, makan di kedai dan aktiviti sukan di luar akan dibenarkan bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 di negeri fasa 2 PPN dan seterusnya ini.

Penduduk Malaysia dari luar negara yang telah melengkapkan dua dos vaksin pula akan dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Pengumuman ini dibuat walaupun pada 8 Ogos, terdapat catatan kematian 360 yang paling tinggi sejak wabak itu, dan 18,688 kes baru. Ini berlaku walaupun 27.5 peratus orang telah menerima dos kedua vaksin dan 49.4 peratus dos pertama mereka.

(Sila rujuk rajah yang ditunjukkan di bawah).
Pada 11 Julai 2021, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 di negara ini akan stabil dan menunjukkan penurunan dalam satu hingga dua minggu dari tarikh tersebut.
Pada ketika itu, jumlah kes adalah 9,105 dan jumlah kematian 94. Namun dua minggu itu berlalu tanpa jumlahnya semakin surut dan pada 8 Ogos pengumuman optimis yang sama telah dibuat sekali lagi walaupun bilangan kes menjangkau lebih 18,000 sehari dan kematian masih di atas paras 200 sehari.

Dengan meningkatnya jumlah kes dan kematian ini, bersamaan dengan keadaan yang membebankan dan kritikal di hospital di seluruh negara, kita merasa hairan dengan pengumuman perlepasan aktiviti sosial dan perjalanan ini.

Oleh itu, kami mempunyai beberapa soalan untuk dimajukan kepada pasukan petugas khas Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Soalan mengenai pengurusan kematian dan perubatan:

Mengapa kematian masih meningkat? Adakah kemungkinan kombinasi ubat yang tidak sesuai digunakan atau adakah kombinasi ubat tidak berkesan untuk penduduk kita?

Mengapa kita tidak melibatkan lebih banyak doktor klinik swasta untuk memberi sokongan perubatan untuk pengurusan pesakit Covid-19 di kediaman dalam komuniti?

Mengapa kita tidak menetapkan doktor swasta ini sebagai pusat pengurusan Covid-19 klinikal di dalam setiap komuniti?

Mengapa tidak dicari alternatif sebagai penawar (seperti herba, jamu, probiotik dan prebiotik), di mana diterokai kemungkinan pengunaan ramuan, vitamin dan makanan semula jadi yang dapat membantu menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan?
Mengapa tidak diberikan rawatan untuk pesakit Covid-19 dalam Kategori 1,2 dan 3 supaya dapat menghalang mereka daripada mara ke Kategori 4 dan 5?

Walaupun 70 peratus orang di peringkat ini akan pulih secara semulajadi namun 30 peratus masih akan mara ke kategori serius, mengapa tidak di beri rawatan kepada semua?

Mengapa tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan Brought in Dead, yang kebanyakannya adalah orang asing?

Pernahkah kita berunding dengan hospital dan klinik di setiap negeri mengenai beban sebenarnya dalam menguruskan Covid-19, kesediaan mereka dari segi katil, ruang, logistik dan sumber manusia untuk menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah kes apabila SOP dilonggarkan?

Berapakah statistik jumlah kematian di kalangan orang dewasa muda, ibu hamil dan kumpulan terdedah, berapakah peratusan kematian orang yang diberi vaksin (satu dos, dua dos)?

Mengapa kita tidak mencuba protokol yang telah digunakan oleh doktor lain walaupun mereka tidak sempat menulis dan menerbitkan protokol rawatan kerana masih sibuk merawat pesakit?

Mengapa doktor pakar klinikal bius dan respiratori di Malaysia tidak boleh melakukan perbincangan zoom dalam persidangan profesional patologi klinikal dengan pakar klinikal luar negara yang telah berjaya menyelamatkan beribu orang pesakit Covid-19 ini?

Mengapa tidak bincangkan protokol ini antara pakar klinikal dan bukannya pertemuan pakar klinikal luar negara dengan pakar kesihatan awam yang tidak merawat pesakit dalam wad dan hanya berdebat mengenai kajian sahaja dan bukan realiti keadaan dalam wad ICU?

Soalan mengenai vaksinasi dan pemeriksaan:

Apakah yang perlu dinasihatkan kepada yang telah menerima vaksinasi, haruskah mereka berhati-hati menjaga kesihatan dan SOP sehingga antibodi terbentuk antara dua hingga empat minggu selepas vaksinasi?

Ramai orang yang diberi vaksinasi memikirkan mereka dilindungi, bukankah mereka harus dididik mengenai pentingnya menjaga SOP, kerana vaksinasi bukan bermakna tidak boleh dijangkiti Covid-19?

Sejauhmanakah kita yakin bahawa kita melakukan perkara yang betul dengan meminta orang ramai membuat penilaian ujian kendiri di rumah?

Bagaimana kita tahu mereka akan melaporkan hasilnya ke MySejahtera?

Soalan mengenai strategi pencegahan dan kesihatan

Mengapa kita tidak melibatkan pemimpin masyarakat dalam membendung Covid-19 di peringkat komuniti?

Mengapa tiada nasihat tentang meningkatkan sistem imun tubuh, dengan makan makanan mengandungi antioksidan tinggi, vitamin C dan mendapat cukup cahaya matahari untuk menghasilkan vitamin D?

Mengapa tidak dibuka taman rekreasi dan bersukan di luar kerana senaman penting untuk kesihatan?

Mengapa kita menyingkirkan potensi peranan prebiotik dan probiotik dalam memperkuat kekebalan untuk melawan Covid-19?

Mengapa kilang tidak dibenarkan memberikan kit peningkatan daya ketahanan kepada pekerja mereka dan mengapa tidak mengimunisasi mereka dengan cepat?

Apakah petunjuk yang digunakan untuk menukarkan fasa MCO, sejauh mana anda yakin bahawa tidak akan ada pergerakan antara tempat yang merupakan fasa 1 dan fasa 2?

Mengapa dibenarkan majikan memaksa pekerja untuk kembali bekerja di pejabat?
Mengapa tidak dikawal pekerja asing yang berkumpul atau beratur tanpa memerhatikan SOP di pusat vaksinasi?

Sejauh mana kita yakin bahawa orang ramai akan mematuhi kuarantin kendiri di rumah kerana mereka tidak diberi tanda pengenalan?

Mengapa kita tidak menambahkan pusat kuarantin untuk individu positif yang sekarang kita tahu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk merosot lebih jauh? Ia boleh menjadi kemudahan berasaskan kerajaan atau kemudahan swasta?

Dan akhir sekali:

Apa gambaran besar, rancangan tindakan konkrit untuk mengawal wabak ini? Bukankah harus dibahagikan kepada jangka pendek (menghentikan kematian, menghentikan jangkitan), jangka pertengahan (vaksinasi) dan jangka panjang ("pelan pemulihan")?

Kami merasakan "rakyat" harus diberi penjelasan mengenai persoalan di atas dengan cepat, jujur ​​dan penuh ketelusan. Janji bilangan kes akan "turun" tidak lagi relevan.

Adakah kita masih dapat mengawal penyakit ini? Atau adakah kita telah kalah dalam pertempuran ini?

Etika perubatan "filalítheia dan eilikríneia"; kejujuran dan ketelusan harus diutamakan di atas segalanya.

PROFESOR DR ADLINA SULEIMAN, PROFESOR DR NOOR AZAH ABD AZIZ menerajui Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-