Tuesday, December 30, 2014

Orang Asli sukar dapat bantuan

Keadaan salah sebuah perkampungan Orang Asli yang tenggelam. Kebanyakan bantuan tidak sampai kepada penduduk perkampungan Orang Asli kerana kedudukannya yang terpencil dan terputus hubungan. -Foto: Twitter Zashnain Zainal

KUALA LUMPUR, 29 Disember:

Kampung-kampung Orang Asli di pedalaman tiga negeri di pantai timur Semenanjung semakin sukar dihubungi akibat banjir yang belum surut.

Menurut laporan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), masih ramai penduduk kampung Orang Asli masih belum mendapat bantuan makanan atau perubatan akibat jalan yang yang menghubungi kampung mereka, tenggelam.

Sementara itu, JOAS turut melaporkan kumpulan pacuan empat roda pertama tiba di sebuah perkampungan Orang Asli di Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu.

“Namun pasukan itu tidak dapat meneruskan perjalanan ke perkampungan Temiar kerana semua jambatan kayu yang menghubungkan penempatan di kawasan pedalaman, dibawa arus,” kata kenyataan Malaysia Elite Disaster Rescue Foundation.

Pasukan itu akan kembali ke Kuala Betis pada 1 hingga 4 Januari depan untuk membantu menghantar bekalan makanan dan membina rumah-rumah yang rosak akibat banjir.

JOAS dalam kenyataan turut berkata, badan itu memerlukan lebih ramai sukarelawan dan bantuan barangan, juga kewangan.

Setakat ini RM2,000 daripada RM3,520 yang dikutip telah diagihkan kepada wakil di tiga kawasan untuk membeli barang keperluan dan makanan untuk dihantar kepada mangsa banjir di penempatan Orang Asli.

Sesiapa yang berminat untuk menderma atau menjadi sukarelawan, boleh mendapat maklumat di:
https://www.facebook.com/joasmalaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-