Wednesday, December 31, 2014

Saham FGVH turun lagi?

MAZLAN ALIMAN
SAHAM FGVH hanya tinggal RM2.13 sesaham pada hari ini (semalam). Kenyataan Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mengaitkannya dengan pasaran dunia amat melucukan. Ketinggalan keretapi dia!

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah membuat sekian banyak analisis mengenai unjuran ekonomi dunia, kejatuhan harga komoditi, kos tanam semula pokok sawit tua dan ketidakstabilan urusniaga global yang menjadi petunjuk risiko kepada penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Perbincangan dibuat melalui konvensyen, wacana dan penyerahan memorandum yang diserah kepada SKMM, Bank Negara, Suruhanjaya Securiti dan YAB Perdana Menteri sendiri.

Ia kemudiannya dibukukan oleh Penasihat Ekonomi ANAK, Dr Rosli Yaakop melalui bukunya, 'Penyenaraian FGVH, menang sorak kampung tergadai'. Dr Rosli menghuraikannya secara berfakta melalui semua dokumen yang diperoleh daripada berbagai-bagai sumber.

Selepas dua tahun FGVH di senaraikan, iaitu 28 jun 2012; pada kadarterbitan RM4.55 Sesaham, dengan penurunan saham lebih 50 peratus, baru sekarang Datuk Razali Ibrahim menyalahkan pasaran dunia?

Yang dulunya pemimpin Umno terjerit-jerit mempertahankan penyenaraian FGVH, di mana mereka sekarang?

Lebih teruk, Datuk Razali tidak menyalahkan Felda atas apa yang berlaku. Episod yang pedih dari zaman sebelumnya hinggalah pada Tan Sri Isa Samad; pengurusan FGVH tidak salah?

Isa Samad ganti Datuk Dzulkifly Abd Wahab sebagai Pengarah Besar Felda, sekarang Datuk Faizoull Ahmad, hingga haru biru Felda; Datuk Razali masih berselindung lagi?

Kesian pada beliau yang begitu naif mengenai keadaan Felda waktu ini. Atau enggan berterus terang mengenai dalaman Felda yang sedang parah!

Saya telah menghantar surat susulan kepada Tan Sri Isa Samad untuk bertemu, setelah gagal pada 23 Disember lalu. Saya juga masih menunggu jawapan balas daripada Datuk Razali mengenai tarikh baru perbincangan dua hala seperti yang dimaklumi bersama. Mari kita berbincang, ketepikan sentimen, demi kepentingan rakyat.

1.5 juta warga Felda sama ada Peneroka, Generasi ke-2 dan kakitangan kumpulan Felda sedang menanti tindakan Kerajaan mengenai masa depan FGVH yang sahamnya turun dan terus turun pada waktu ini. Ada orang kata, adatlah main saham, ada turun naik. Hebatnya saham FGVH, turun dan tak naik-naik!

Macam Amanah Saham Johor, turun hingga tinggal 15 sen, akhirnya lingkup! – HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-