Showing posts with label SKMM. Show all posts
Showing posts with label SKMM. Show all posts

Saturday, May 16, 2020

Polis 'buru' tiga pemilik FB

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
MyMetro

GAMBAR hiasan

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung tiga pemilik akaun Facebook (FB) yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan hasutan terhadap Islam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat berhubung kenyataan menghina itu.

Menurutnya, setakat ini individu terbabit belum ditahan dan polis sedang mengesan mereka.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau tergerak hati untuk tampil membuat laporan polis selepas terbaca kenyataan dimuat naik mereka ketika menteri sedang membuat ucapan secara langsung berkaitan kebenaran solat Jumaat.

"Saya lihat komen mereka berbaur rasis dan menghina agama Islam dan laporan dibuat itu bukan bersifat politik sebaliknya tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Laporan polis itu dibuat dua hari lalu dan saya berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan tegas," katanya.

Katanya, beliau juga bukanlah rasis kepada kaum lain tetapi ingin negara ini hidup harmoni dan aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:55 PM

Tuesday, May 5, 2020

KKM buat laporan polis berhubung fitnah berkaitan isu kontrak RM30 juta

Oleh MALAYSIA DATELINE
May 5, 2020 8:53 pm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementerian itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini KKM berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Putrajaya.

“Fitnah itu dibuat menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun Facebook ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’, dan akaun Twitter ‘Fadzilah Mamat@Fadzilahmamat’,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, posting di Facebook dan kicauan di Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian itu.

Katanya lagi, posting itu antara lain mendakwa ‘Menteri Kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta.

“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut.

“Sehubungan itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian tersebut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Metro melaporkan, pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.

Thursday, April 25, 2019

Anwar: Kritik di media sosial jika kami angkuh

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan Hari ini 9:15 malam


Presiden PKR menggesa warga Malaysia menggunakan media sosial untuk menegur pemimpin politik yang mengeluarkan kenyataan bersifat angkuh.

"Anda perlu teruskan peranan menyemak kami dalam parti pemerintah atau kerajaan. Kita tidak mahu mendengar kenyataan angkuh seperti dulu.

"Anda ada kebebasan dalam talian untuk mengkritik mereka sekuat yang anda mahukan," kata anggota parlimen Port Dickson itu ketika menyampaikan ucapan penutup Minggu Media Sosial malaysia ke-10 di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar juga berkongsi pengalamannya yang mula menggunakan Twitter susulan bebas daripada penjara tahun lalu.

Katanya, aplikasi itu menjadi alat pertukaran idea berkenaan reformasi untuk negara.

Mengakui tiada kebebasan yang bersifat mutlak, Anwar berkata warga Malaysia berhak mengkritik pemimpin yang bertentangan dengan aspirasi rakyat.

"Gaya hidup mewah, pembaziran sumber awam, mengkayakan keluarga dan kroni...anda menentangnya dahulu.

"Kami mengalu-alukan sokongan melalui kenyataan anda berkenaan dasar positif (kerajaan) dan juga kritikan ketika kami lembap atau menyimpang daripada apa yang kami janjikan," katanya lagi.

Media sosial untuk sebar kebencian

Anwar juga maklum bahawa media sosial boleh disalah guna untuk menyebar kebencian dengan menjadikan dua tragedi terbaru, serangan di masjid New Zealand dan pengeboman hotel dan gereja di Sri Lanka, sebagai contoh.

"Kerajaan cenderung ke arah reaksi berlebihan (overreact) dengan memperkenalkan lebih banyak undang-undang. Saya tidak rasa ia strategi yang betul.

"Tapi tentulah anda perlu ada undang-undang tertentu untuk memastikan media sosial tidak digunakan untuk melakukan keganasan, sama ada di Christchurch, Sri Lanka atau di mana saja," katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan sedang menimbang kemungkinan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam maklumat palsu dan berbaur perkauman di media sosial.

Beliau berkata ia adalah antara langkah yang dibincang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggubal undang-undang menangani penyalahgunaan media sosial.

Monday, September 24, 2018

Hina Tun M: Timb. Menteri buat laporan polis

September 24, 2018


SEREMBAN, 24 Sept Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith semalam membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di akaun facebooknya.

Eddin yang juga merupakan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan berkata laporan polis dibuat kerana kenyataan pemilik akaun berkenan yang bersifat tohmahan dan provokasi terhadap Dr Mahathir didakwa beliau dapat mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Perdana Menteri, menurut laporan Bernama.

“Perbuatan beliau juga jelas bersifat perkauman boleh menggugat integrasi nasional dan secara langsung ianya dibuat untuk menjejaskan perpaduan yang ada bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.

“Kami minta supaya perbuatan ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan di bawah mana-mana peruntukan yang bersesuaian, dan kami minta dia dipanggil untuk memperjelaskan serta bertanggungjawab atas perbuatannya, ” – Eddin Syazlee Shith

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 yang turut disertai 50 anggota parti tersebut di sini, malam semalam.

TTKM mendapati pengguna facebook tersebut dikenal pasti sebagai Mohd Mozaz menaikkan hantaran berikut:

“Mahathir… dengar sini!! 75% Melayu sekarang sedang mohon hang mampos esok! Haram jadah punya binatang!!” – Mohd Mozaz
Untuk rekod, ketika era pemerintahan BN sebelum ini, pengguna facebook yang menghina Datuk Seri Najib Razak sering didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pemimpin Pakatan Harapan pada ketika itu mendakwa akta tersebut digunakan sebagai senjata politik dan berjanji akan memansuhkan akta tersebut sekiranya memenangi PRU ke 14.

Menurut buku manifesto Pakatan Harapan pada muka surat 77-78, peruntukan pada akta SKMM tersebut bersama beberapa akta lain akan dimansuhkan.


Buku Manifesto Pakatan Harapan.
Setakat ini, akta tersebut masih diguna pakai dan tiada kerangka masa diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk pemansuhan akta itu seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir berkata manifesto Pakatan Harapan bukanlah kitab suci yang wajib dipatuhi.

“Tapi atas sebab tertentu, kita tidak dapat patuhi manifesto. Kita perlu ingat, manifesto bukan kitab suci, ia hanya panduan. Kadang-kadang kita boleh laksanakan sesuatu perkara, kadang-kadang tidak boleh, jadi kita perlu berfikiran praktikal” – Tun Dr Mahathir.

TTKM-

Monday, March 12, 2018

Amaran kepada media asing jangan siar berita palsu 1MDB

Kategori Berita Utama
12 MAC:    Media luar negara diminta tidak menyiarkan berita palsu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata ia susulan beberapa pengamal media berkaitan dikatakan cuba menyemarakkan isu 1MDB selepas sebuah kapal layar mewah yang didakwa milik ahli perniagaan, Low Taek Jho dirampas di Indonesia pada 28 Feb lalu.

“Kementerian sudah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian seperti Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan terbaharu MSNBC,” katanya di Sik hari ini.

Tambah beliau, pihaknya percaya penyebaran berita palsu itu dilakukan bagi menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha pihak tertentu yang mempunyai agenda politik, yang cuba fitnah dan mencemar nama baik Perdana Menteri kita menjelang PRU14 tidak lama lagi.

“Namun kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau perkara ini dan menasihatkan portal terbabit segera menghentikan penyiaran berita palsu, terutama berhubung kes 1MDB,” kata Johari.

Thursday, January 22, 2015

Era Mahathir berakhir, tapi Mahathirisme terus dipupuk

 Fathi Aris

KUALA LUMPUR 22 JAN- “Mana lebih baik, anti Mahathir atau anti Mahathirisme?” soal Ketua Pengarang portal Malaysiakini, Fathi Aris Omar.

Dalam status di Facebooknya, baru-baru ini, Fathi menulis mengenai apa yang digelarnya sebagai ‘Gelagat anti Mahathir tetapi otak pro-Mahathirisme’.


Menurut Fathi, meskipun rejim Mahathir sudah berakhir dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, ’budaya kekangan ala Mahathirisme’ masih diperteguh kepimpinan Perdana Menteri hari ini.

Ia katanya, dapat dilihat apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan Akta Hasutan 1948 sewenang-wenangnya untuk mengekang kebebasan bersuara di negara ini.

“Seingat saya, tidak pernah lagi Akta Hasutan digunakan seluas ini sebelum era Najib Abdul Razak.

“Inilah kali pertama Akta Hasutan, dan Kanun Keseksaan, diperalatkan sewenang-wenangnya untuk menghukum pengkritik kerajaan seolah-olah “Operasi Lalang 2.0″ jadinya!’ tulisnya.

Katanya, tindakan media yang rapat dengan pemerintah melancarkan serangan ke atas kumpulan Mahathir- beberapa bulan selepas mantan perdana itu mengkritik Najib- hanya seperti ‘ribut di dalam cawan’.

“TV3, Utusan Malaysia dan New Straits Times mula menyiarkan laporan negatif terhadap kumpulan Dr Mahathir, antaranya terhadap (Tun) Daim Zainuddin dan (Datuk) A Kadir Jasin.

“Tetapi “serangan” dua-dua pihak ini hanya ribut dalam cawan elit Umno.

“Ia tidak melibatkan persoalan ideologi,” katanya yang kini menghasilkan buku terbaru berjudul Agong Tanpa Tengkolok.

Menurut Fathi, cengkaman itu diteruskan apabila ada desakan supaya ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikuasai tokoh tertentu dalam Umno.

Sementara Akta Komunikasi dan Multimedia pula mahu diperketatkan dengan pindaan rang undang-undang dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun ini.

“Jadi, walaupun era Dr Mahathir sudah berakhir tetapi ideologi Mahathirisme terus dipupuk dan dipugar oleh regim yang ada kini,” katanya.

Friday, January 2, 2015

Gambar PM atas paket beras untuk urusan logistik

Eddy Casmady mendakwa Malaysiakini telah menggunakan tanpa izin dan memanipulasikan gambarnya ketika menampal pelekat wajah Perdana Menteri di atas paket bantuan beras.

KUALA LUMPUR, 2 Januari:

Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda, Eddy Casmady Che Hussin akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger Syed Akbar Ali yang didakwa memfitnahnya dalam blognya ‘OutSyed the Box’ dan juga laporan sama di portal Malaysiakini.

Eddy bertindak mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Syed Akbar dan Malaysiakini kerana menyiarkan berita dan gambarnya melekatkan pelekat wajah Perdana Menteri di paket beras dan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Eddy mendakwa laporan berita yang dibuat oleh Malaysiakini adalah palsu dan berniat jahat.

Katanya, dia kesal kerana tindakan portal berita itu melaporkan berita palsu dan memanipulasikan gambarnya ketika meletakkan pelekat wajah PM dan menyebabkan salah tanggapan, persepsi negatif dan tuduhan tidak baik terhadapnya dan NGO yang diwakili.

“Malaysiakini telah menggunakan tanpa izin dan memanipulasikan gambar saya ketika menampal pelekat wajah Perdana Menteri di atas paket bantuan beras.

“Sebagai Naib Pengerusi Briged Kesatria Muda Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengatur, memindah, mengasingkan dan menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Gambar yang dimanipulasikan oleh Malaysiakini adalah gambar saya selaku Sukarelawan Briged Kesatria Muda, bukan seorang ‘pekerja’ seperti yang didakwa portal berkenaan. Rujuk sukarelawan dan NGO yang lain sebagai pengesahan kerja-kerja sukarelawan yang telah saya jalankan,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Eddy berkata Briged Kesatria Muda adalah biro yang ditubuhkan untuk menggerakkan misi kemanusiaan yang mana 3,000 kampit beras pertama telah disediakan lebih awal oleh MOA melalui satu majlis rasmi pada 17 Disember lalu di Putrajaya. Pengedaran aktif oleh Briged Kesatria Muda juga dilakukan sebelum berlakunya banjir besar di pantai timur.

“Briged Kesatria Muda tidak terikat dengan MOA semata-mata. Kami turut mengumpul dan mengedar bantuan dari kumpulan NGO-NGO dan Kementerian lain.

“Kami perlu meletakkan penanda agar ia tidak bercampur dan memudahkan urusan logistik dan penghantaran.

“Bantuan makanan daripada MOA sebenarnya tidak mempunyai penanda gambar YAB PM seperti mana yang didakwa. Hanya sebanyak 100 keping penanda yang dicetak dan ditampal untuk membezakan bantuan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan bantuan-bantuan daripada pihak lain yang turut membantu membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir.

“Banyak gambar yang dirakam dalam operasi penyerahan bantuan ini membuktikan bahawa tiada pelekat wajah PM dilekatkan di atas bantuan-bantuan yang disampaikan oleh kementerian ini,” dakwanya lagi

Wednesday, December 31, 2014

Saham FGVH turun lagi?

MAZLAN ALIMAN
SAHAM FGVH hanya tinggal RM2.13 sesaham pada hari ini (semalam). Kenyataan Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mengaitkannya dengan pasaran dunia amat melucukan. Ketinggalan keretapi dia!

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah membuat sekian banyak analisis mengenai unjuran ekonomi dunia, kejatuhan harga komoditi, kos tanam semula pokok sawit tua dan ketidakstabilan urusniaga global yang menjadi petunjuk risiko kepada penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Perbincangan dibuat melalui konvensyen, wacana dan penyerahan memorandum yang diserah kepada SKMM, Bank Negara, Suruhanjaya Securiti dan YAB Perdana Menteri sendiri.

Ia kemudiannya dibukukan oleh Penasihat Ekonomi ANAK, Dr Rosli Yaakop melalui bukunya, 'Penyenaraian FGVH, menang sorak kampung tergadai'. Dr Rosli menghuraikannya secara berfakta melalui semua dokumen yang diperoleh daripada berbagai-bagai sumber.

Selepas dua tahun FGVH di senaraikan, iaitu 28 jun 2012; pada kadarterbitan RM4.55 Sesaham, dengan penurunan saham lebih 50 peratus, baru sekarang Datuk Razali Ibrahim menyalahkan pasaran dunia?

Yang dulunya pemimpin Umno terjerit-jerit mempertahankan penyenaraian FGVH, di mana mereka sekarang?

Lebih teruk, Datuk Razali tidak menyalahkan Felda atas apa yang berlaku. Episod yang pedih dari zaman sebelumnya hinggalah pada Tan Sri Isa Samad; pengurusan FGVH tidak salah?

Isa Samad ganti Datuk Dzulkifly Abd Wahab sebagai Pengarah Besar Felda, sekarang Datuk Faizoull Ahmad, hingga haru biru Felda; Datuk Razali masih berselindung lagi?

Kesian pada beliau yang begitu naif mengenai keadaan Felda waktu ini. Atau enggan berterus terang mengenai dalaman Felda yang sedang parah!

Saya telah menghantar surat susulan kepada Tan Sri Isa Samad untuk bertemu, setelah gagal pada 23 Disember lalu. Saya juga masih menunggu jawapan balas daripada Datuk Razali mengenai tarikh baru perbincangan dua hala seperti yang dimaklumi bersama. Mari kita berbincang, ketepikan sentimen, demi kepentingan rakyat.

1.5 juta warga Felda sama ada Peneroka, Generasi ke-2 dan kakitangan kumpulan Felda sedang menanti tindakan Kerajaan mengenai masa depan FGVH yang sahamnya turun dan terus turun pada waktu ini. Ada orang kata, adatlah main saham, ada turun naik. Hebatnya saham FGVH, turun dan tak naik-naik!

Macam Amanah Saham Johor, turun hingga tinggal 15 sen, akhirnya lingkup! – HARAKAHDAILY

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-