Tuesday, January 6, 2015

Adakah penyingkiran Najib akan memastikan kejayaan BN dalam PRU14?

KOMEN: Bagi Datuk Seri Najib Razak, tahun baru tidak membawa khabar gembira. Malah, ia kelihatan bakal diisi dengan lebih banyak masalah sama yang dihadapi beliau dalam tahun sebelumnya.

Bekas editor NST, Datuk Kadir Jasin memulakan segalanya apabila beliau melancarkan serangan pertama terhadap perdana menteri itu dalam karangan blognya pada 2 Januari, hanya sehari selepas tahun 2015 bermula.

Jasin, yang dikatakan merupakan sekutu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sudah tentu tidak berkias-kias dalam menyatakan pendapat pedas beliau yang bertajuk "Banjir is the Watershed for Change" (Banjir merupakan penanda aras perubahan).

Dalam karangan itu, beliau meratapi peluang yang dilepaskan pemimpin-pemimpin Malaysia bagi menunjukkan kewibawaan mereka dalam menangani banjir baru-baru ini, dan mensasarkan Najib kerana meneruskan program 'diplomasi golf' beliau.

Kemudian beliau menyatakan pendapatnya bagi menyingkirkan Najib sebagai ketua Umno, menyatakan secara terus terang bahawa "sudah tiba masanya untuk Umno dan BN memilih antara Mohd Najib dan Putrajaya”.

Ini merupakan kata-kata yang berani, tetapi adakah ia mengandungi kebenaran? Bolehkah penyingkiran Najib memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang?

Jawapan yang terang adalah tidak.

Mengapa? Kerana dalam politik Malaysia, parti yang berkuasa, bukannya individu. Tabiat Malaysia yang mengundi mengikut garisan parti sudahpun diketahui, dengan ada yang berseloroh bahawa sebelum ini, seekor kerbau masih berupaya menang sebagai calon, selagi ia bertanding di bawah simbol 'dacing' yang terkenal.

Malaysia sentiasa mengundi berdasarkan garis parti, sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955. Pengasas Umno, Dato Onn Jaafar mendapat pengajaran pahit ini.

Beliau bertanding di bawah tiket parti barunya, Parti Negara selepas gagal membawa perubahan dalam Umno. Beliau tumpas manakala Umno, parti yang ditubuhkan (dan ditinggalkannya), mendapat kemenangan mutlak sebanyak 51 kerusi, permulaan kerajaan BN yang diterajui Umno yang kekal sehingga ke hari ini.

Bagi rakyat Malaysia sejak bergenerasi lalu, pilihannya mudah. Pilih antara dacing Barisan Nasional, atau roket pembangkang DAP dan bulan putih-hijau pembangkang PAS.

Tidak kira siapa yang menawarkan diri bagi pilihan raya di kawasan anda. Sama ada anda mengundi untuk kerajaan, atau menentangnya.

Tsunami politik yang melanda Malaysia pada tahun 2008 adalah bukti kepada hakikat ini. Ahli-ahli politik lama, ramai yang telah berkhidmat terhadap kawasan mereka dengan setia, telah diketepikan. Banyak muka-muka baru, sebahagian besar daripada mereka tidak terkenal dan belum teruji, telah diberi kemenangan oleh gelombang rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Ini juga merupakan permulaan era Najib sebagai ketua Umno.

Dasar-dasar beliau, slogan mendukung perpaduan dan kebersamaan, gagal melawan arus, dan kekalahan Barisan meningkat dalam pilihan raya lalu. Ramai ahli-ahli politik Barisan Nasional, seperti Datuk Seri Ali Rustam, yang mengamuk kerana rasa dikhianati pengundi, mula menyatakan pendapat sebenar mereka sewaktu mereka menghadapi hakikat politik zaman baru.

Ramai yang menyelar kaum Cina kerana meninggalkan gabungan itu, sementara yang lain menegaskan bahawa perpecahan itu disebabkan oleh pengaruh PKR Anwar Ibrahim dan PAS yang semakin meningkat di kalangan kaum Melayu konservatif dan kuat agama.

Mereka gagal menyedari bahawa Barisan Nasional yang diketuai Umno telah menikmati pemerintahan berterusan selama 58 tahun, tetapi tidak melakukan cukup usaha untuk memastikan cengkamannya pada kuasa berkekalan, sepanjang masa itu.

Untuk sekadar meletakkan kesalahan di bahu pemimpin Umno semasa itu adalah tidak adil, menurut ahli politik veteran Sabah Salleh Said Keruak.

Beliau berhujah bahawa "Umno hanya boleh diselamatkan apabila ia sedar bahawa pengundi tidak begitu menentang perdana menteri, sebaliknya mereka marahkan budaya Umno, yang tidak lagi boleh diterima dalam sebuah masyarakat beradab".

Salah langkah dan kegagalan suram Najib sebagai pemimpin mungkin mempercepatkan kekalahan Barisan Nasional, tetapi rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan itu telah membarah untuk masa yang sangat lama.

Pemimpin-pemimpin Umno telah datang dan pergi, tetapi kerajaan Barisan Nasional sentiasa berada di tahap yang sama.

Hakikat yang nyata dan mudah ialah arus semasa sedang menentang Umno dan Barisan Nasional, dengan 52 peratus pengundi telah menolaknya dalam pilihan raya yang lalu. Ada kemungkinan besar bahawa ramai lagi yang akan menolak dacing biru itu dalam pilihan raya akan datang.

Adakah sesiapa yang percaya dengan serius bahawa Najib, atau mana-mana pemimpin Umno dalam hal ini, boleh membalikkan kemungkinan ini dan memastikan kemenangan Barisan Nasional?
oleh Mike Tan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-