Sunday, January 4, 2015

Nik Nazmi gagal atasi masalah gereja

Bantahan penduduk sekitar yang tidak bersetuju dengan pembinaan gereja empat tingkat di kawasan perumahan Mentari Court di mana majoriti penduduknya beragama Islam. - Foto TRP/Qurnisha Hamka

PETALING JAYA, 2 November:

Perancangan pembinaan gereja di kawasan perumahan sekitar Mentari Court didakwa tidak mendapat perhatian wakil rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Sahabat Daerah Petaling, Ishak Maarof, bantahan yang dianjurkan kali ketiga ini jelas menunjukkan kemarahan penduduk sekitar yang tidak bersetuju dengan pembinaan gereja empat tingkat itu.

“Mana pergi wakil rakyat kita, Nik Nazmi? Dia sibuk pergi ke Putrajaya untuk perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pergi ke KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk menyokong mansuh Akta Hasutan, tapi masalah penduduk di kawasan, dia tidak ambil peduli.

“Dia tak ingat ke siapa yang menyokong dia dulu sampai menang di kawasan ini? Kita bantah pembinaan gereja ini dah masuk kali ketiga.

“Apa yang dia buat? Penuhkan poket dia sahaja dan tidur,” katanya ketika bercakap di hadapan kira-kira 50 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk di sekitar kediaman Mentari Court itu berkumpul atas tujuan membantah pembinaan gereja empat tingkat yang jelas menimbulkan kegusaran di kalangan majoriti penduduk yang beragama Islam.

Menurut Noriza Abu Bakar, 46, yang merupakan penduduk di Damai Apartment di kawasan berkenaan, rancangan pembinaan gereja di kawasan itu disfatkan sebagai tidak munasabah.

“Kenapa nak bina gereja di kawasan yang majoriti penduduknya orang Islam, yang mana penganut Kristian di kawasan ini hanya sekitar dua peratus sahaja. Ini tidak masuk akal.

“Malah, mereka ini juga bagi makanan percuma kepada semua orang. Ini yang kita risaukan, kita takut dengan anak-anak kita yang tak tahu apa-apa,” luah Noriza sambil menambah pembinaan gereja di kawasan ini seakan-akan satu usaha untuk memesongkan akidah umat Islam.

Sekitar 50 orang berkumpul di hadapan tapak rancangan pembinaan gereja empat tingkat itu bagi menyuarakan bantahan mereka.

Bagi penganjur bantahan itu, Mazlan Md Yunos, sebagai Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Lembah Subang, beliau berkata bahawa tindakan ini akan ditentang keras sehingga projek pembangunan gereja itu dibatalkan.

“Kami akan bantah sehingga pembinaan gereja ini dibatalkan, sebab kawasan ini tidak sesuai.

“Majoriti penduduk di sini beragama Islam, dan saya minta pihak majlis mencari tempat lain yang bersesuaian untuk membina gereja,” katanya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 2012 telah meluluskan pembinaan gereja empat tingkat di kawasan tanah kosong yang telah diperuntukkan untuk pembinaan rumah ibadat bagi bukan Islam di antara pangsapuri Mentari Court dan Pangsapuri Damai.

Kawasan tersebut sebelum ini merupakan penempatan setinggan, tempat letak kereta dan gerai makan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-