Thursday, January 22, 2015

Kalimah Allah: Saudara Kristianku, ia sudah berakhir, bukalah buku baru

oleh Francis Paul Siah

KOMEN: Saudara Kristian saya sekalian, jika kita yakin bahawa Tuhan bertindak dengan cara-Nya yang misteri dan tidak terjangkau oleh kita, dan Dia memiliki sebab kukuh atas segala tindakan-Nya, maka kita perlu menerima keputusan mahkamah terhadap rayuan kes “kalimah Allah”.

Seperti kata-kata terakhir Jesus sebelum meninggalkan kita, “Ia sudah selesai, ia sudah berakhir”, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam bermakna semua jalan perundangan sudah digunakan – maka isu “kalimah Allah” juga “sudah selesai, sudah berakhir”. Marilah kita menerimanya.

Saya yakin bahawa Pope Francis, wakil Jesus sendiri, ada kalanya tidak dapat memahami sepenuhnya tindakan Tuhan, apatah lagi penganut biasa seperti kita.

Sebaik sebelum lawatan Pope di Filipina berakhir awal minggu ini, seorang gadis berusia 12 tahun dari Manila mencabarnya berhubung soal pelacuran. Gadis itu bertanya, mengapa Tuhan membiarkan anak-anak menjadi pelacur dengan hidup menderita dan dirundung kesedihan. Balas Pope, ada perkara yang melangkaui pemahaman manusia. Inilah hakikatnya.

Hakikat dalam kes “kalimah Allah” ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang kita tidak dapat fahami, jika kita melihatnya dari sudut pandang manusia. Ramai yang mengatakan ia sudah pun ditetapkan sejak dari awal. Telahan itu tidak salah. Tidak perlulah saya menceritakan secara terperinci apa yang dimaksudkan sebagai “ditetapkan”. Mereka yang mengikuti isu ini sejak dari awal akan memahami maksud saya.

Archbishop Kuala Lumpur yang baru, Julian Leow dan editor mingguan Herald Father Lawrence Andrew kini berada dalam kedudukan paling tidak menyenangkan. Mereka adalah pemimpin Gereja Katolik yang terperangkap dalam pergelutan ini dengan kerajaan, dan mereka “tewas”. Walaupun kelihatan sukar, mereka telah menerima keputusan mahkamah dengan terpuji dan penuh maruah, dan semua penganut Katolik pun harus begitu.

Dalam respon segera semalam, Archbishop Julian berkata yang “saya ingin percaya yang keputusan buruk ini hanya terbatas kepada Herald, dan tidak akan membuka kotak Pandora dan menyekat hak minoriti dalam menguruskan urusan agama kita sendiri.

“Kepada Tuhan kita terus berdoa dan percaya bahawa ada cahaya di sebalik kegelapan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui satu pesanan teks.

Benar, pihak berkuasa perlu menjamin bahawa keputusan itu hanya terbatas kepada mingguan Herald, dan bukannya penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Malaysia. Ini adalah sesuatu yang diterangkan dengan jelas oleh mahkamah, dan pihak berkuasa agama perlu ambil maklum.

Penganut Katolik kini perlu berkongsi rasa optimis yang ditunjukkan Archbishop, dengan meyakini adanya cahaya di sebalik terowong gelap hari ini. Tidak kira sejauh mana mereka perlu melalui terowong itu untuk melihat cahaya.

Sementara itu, Father Lawrence ketika menerima bahawa pintu sudah tertutup dalam isu ini, telah menyatakan harapan akan terbukanya ruang berhubung isu kebebasan mengamalkan agama serta hak minoriti.

“Ini adalah kes perlembagaan yang penting berkenaan hak menyatakan keyakinan dan untuk hidup dalam aman dan harmoni,” katanya.

Saya sentiasa mengkagumi komitmen yang ditunjukkan Father Lawrence sepanjang kes ini sehinggalah ia berakhir. Beliau adalah seorang editor, begitu juga saya. Beliau adalah seorang Father, saya juga seorang ayah. Beliau seorang yang warak, manakala saya pendosa.

Dan saya memiliki rasa hormat yang cukup tinggi kepada paderi ini walaupun tidak mengenalinya secara peribadi. Saya hanya pernah bertegur sapa dengannya di alam maya.

Kepada Father Lawrence, saya ingin katakan, “Anda telah berjuang dalam kes ‘kalimah Allah’. Saya tahu, bagi anda ia belum tamat. Namun biarlah ia reda buat masa ini, demi keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang agama kita. Dan ya, mungkin akan terbuka ruang pada masa akan datang.”

Ini juga pesanan saya kepada saudara Kristian saya di negara ini. Marilah terus melangkah ke hadapan dan tinggalkan isu ini di belakang kita. Saya pasti, Jesus juga akan meminta kita berbuat hal yang sama. Sekurang-kurangnya, buat masa ini…

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Kalimah-Allah-Saudara-Kristianku-ia-sudah-berakhir-bukalah-buku-baru#sthash.2GyL9K9G.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-