Showing posts with label kristian. Show all posts
Showing posts with label kristian. Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

Razman gesa haramkan jual 'Becoming Hannah' pada orang Islam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 18, 2025 11:02 AM
Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mahu Kementerian Dalam Negeri menyemak dan mengharamkan penjualan buku autobiografi karangan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh secara terbuka di kedai buku kepada orang Islam.

Dia juga telah memfailkan laporan polis menggesa Yeoh disiasat atas dakwaan menyebarkan agama Kristian.

"Saya membuat laporan polis ini bagi membolehkan pihak polis menyiasat mengenai gerakan evangelist melibatkan Yeoh yang merupakan sesuatu yang bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan merupakan satu kesalahan untuk buku berkenaan (Becoming Hannah) dijual secara terbuka dan turut boleh dibaca oleh umat Islam," katanya dalam laporan polis itu.

Laporan itu termasuk petikan daripada autobiografi Yeoh yang menyentuh tentang kepercayaan Kristiannya dan bagaimana berada dalam politik telah membolehkannya berkhidmat mengikut kehendak Tuhan.
Yeoh telah menafikan dakwaan bahawa dia cuba menukar agama umat Islam.

Laporan polis Razman dan kenyataan susulannya menggesa pengharaman buku dibuat semalam.

Ini sebagai tindak balas kepada Yeoh yang menghantar surat tuntutan terhadap Razman kerana mendakwa dia mempunyai agenda menyebarkan agama Kristian dalam ucapan pada akhir Januari.

Pemimpin PAS Perak itu menegaskan sekali lagi bahawa dia sedang menghadapi tindakan undang-undang berhubung dakwaan Yeoh menyebarkan agama Kristian dan bukan kerana secara salah mendakwa pemimpin DAP itu adalah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.

Selain menggesa siasatan terhadap Yeoh dan bukunya diharamkan, Razman juga mendesaknya meletakkan jawatan dalam kabinetnya.

"Saya juga menyeru kepada semua umat Islam di negara ini yang mencintai agama Islam dan keharmonian agar dapat mengesa Yeoh meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan," kata Razman.

Lebih 100 laporan polis dibuat terhadap buku autobiografi Yeoh pada awal Januari.

Wednesday, May 17, 2023

'Anwar cuai dakwa keputusan kes Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak'

malaysiakini.com
Diterbitkan: May 17, 2023 9:19 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai cuai dalam kenyataannya berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Hamzah merujuk kepada kenyataan Anwar yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan penganut Kristian, Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak.

"Jelas, ini membuktikan perdana menteri seorang yang cuai, yang tidak meneliti keputusan mahkamah," kata setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu.

Hamzah menyorot bahawa rampasan lapan cakera padat (CD) Ireland berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan bukan di Sarawak, dan tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

Tambah ahli parlimen Larut itu, Anwar merupakan anggota kabinet pada 1986 bersama menteri kehakiman ketika itu James Peter Ongkili dan timbalan perdana menteri ketika itu Ghafar Baba, yang terlibat dalam Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986.

"Sepatutnya beliau (Anwar) lebih faham tentang sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu," katanya.

Hamzah juga mempersoalkan sama ada kerajaan telah berunding dengan Raja-raja Melayu, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah sebelum keputusan menarik balik rayuan dibuat.

"Jelas, keputusan menarik balik rayuan ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, walhal perkara ini boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

"Saya berharap, penjelasan ini akan dapat meningkatkan kefahaman kita semua mengapa saya dan KDN pada waktu itu bersetuju untuk kes ini dirayu ke Mahkamah Rayuan," katanya lagi.

Hamzah menjadi menteri dalam negeri ketika kerajaan di bawah pentadbiran PN yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu, tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ia tidak akan meneruskan rayuan itu.

Anwar mempertahankan keputusan menarik balik rayuan itu dengan mengatakan ia hanya terpakai di Sarawak, dan berkata kerajaan akan membentangkan cadangan kepada Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penguatkuasaan penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dalam pada itu berkata rayuan itu ditarik balik selepas mendapati terdapat percanggahan antara keputusan kabinet pada 1986 dan perintah pentadbiran yang dikeluarkan KDN pada tahun yang sama.

Kata Saifuddin, kementerian kini sedang merangka arahan yang lebih menyeluruh mengenai isu-isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah”, selain perkataan “baitullah”, “solat” dan “Kaabah”.

Tuesday, May 16, 2023

Isu Kalimah Allah: Kerajaan gagal pertahan kesucian Islam

satuberita.my
By SatuBerita
-May 16, 2023
USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

OLEH Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ahli Parlimen Alor Setar

KERAJAAN Madani pada hari ini sekali lagi telah menunjukkan kebaculan mereka, apabila menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan untuk merayu bagi kes ini, sebelum ini, telah dibuat oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL bagi memelihara kesucian kalimah Allah dan sensitiviti terhadap umat Islam di negara ini. Ia juga selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor melalui Kenyataan Akhbar baginda pada 23 Mac 2021. Kenyataan DYMM Sultan Selangor juga menyokong penuh titah DYMM Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Melihat kepada perkara ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi dengan memasukkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mac 2021. Namun, pada 18 April 2023, satu Notis Pemberhentian telah dimasukkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan beliau hari ini, keputusan menarik balik kes ini adalah keputusan Kementerian Dalam Negeri dan telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ternyata, Kerajaan Madani hari ini tampak terlalu terdesak untuk meraih sokongan bukan-Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlaku melibatkan enam buah negeri. Tindakan penarikan semula rayuan penggunaan kalimah Allah ini membuktikan mereka tidak mengambil berat isu sensitiviti umat Islam di Malaysia, bahkan sanggup melanggar dan menderhakai titah Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mahukan rayuan terhadap kes ini diteruskan. Jelas, Sultan dan Raja-raja Melayu, selaku ketua agama Islam di negeri Baginda, amat risau dan mengambil berat akan soal ini dalam memelihara akidah umat Islam di negeri mereka. Malangnya, dengan tanpa segan silu, kerisauan Baginda-baginda tidak dipedulikan, malah dilanggar oleh Kerajaan Madani.

Tindakan ini juga bakal mengundang ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, yang hidup berpaksikan hormat menghormati antara agama dan ajaran masing-masing. Keputusan ini sudah pasti mengguris perasaan seluruh umat Islam di Malaysia, serta mengundang kepada kepincangan dan ketidakharmonian kaum.

Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia melihat bagaimana tidak seriusnya Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, dalam menguruskan kemajmukan masyarakat serta memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan. Biarlah sejarah mencatat kegagalan ini sebagai ‘sumbangan’ dari Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Friday, February 21, 2020

Siasat wanita asing sebar agama Kristian

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
MyMetro



PETIKAN video yang tular. FOTO IHSAN PEMBACA

POLIS akan memeriksa dakwaan berkaitan seorang wanita warga asing yang dikatakan menyebar agama Kristian di sekitar ibu kota ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, kami ada menerima maklumat dan sedang periksa (perkara itu),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi lima minit 21 saat memaparkan wanita warga asing berkenaan berada di beberapa lokasi dipercayai sekitar ibu kota ini dengan niat untuk menyebarkan agama Kristian tular di media sosial, baru-baru ini.

Antara lokasi yang dilihat wanita itu berada adalah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Dataran Merdeka.

Dalam video berkenaan juga menunjukkan wanita berkenaan menghampiri orang awam dengan menyampaikan dakwah kristian dan melaungkan ayat menghina Islam serta Nabi Muhammad SAW.

Malah, wanita berkenaan juga dikatakan membawa banting berkaitan agama Kristian ketika berada di beberapa lokasi sekitar ibu kota ini.

Namun tidak dapat dipastikan waktu wanita berkenaan berada di lokasi dalam video terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 10:37 AM

Sunday, December 29, 2019

Tarik balik surat kebenaran dakwah di sekolah, gabungan agama beritahu Putrajaya

Minderjeet Kaur
-December 29, 2019 4:55 PM

RS Mohan Shan berkata, beliau menerima laporan daripada pelajar beragama Hindu di maktab perguruan berhubung aktiviti penyebaran Islam.

PETALING JAYA: Gabungan agama bukan Islam terbesar di Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menarik balik surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mahu pihak terbabit mengeluarkan surat baru menyatakan program Rakan Siswa Yadim hanya akan dijalankan dalam kalangan pelajar Islam dan tidak akan membabitkan pelajar bukan Islam.

Naib Presiden MCCBCHST, RS Mohan Shan berkata, surat kebenaran asal masih ada walaupun Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan aktiviti itu ialah langkah Islamisasi oleh Yadim di sekolah.

Beliau memberitahu FMT, majlis perundingan itu bimbang wujud “niat tersembunyi” untuk menyebarkan Islam kepada pelajar bukan Islam.

Beliau yang juga presiden Hindu Sangam Malaysia, berkata pihaknya menerima laporan daripada pelajar beragama Hindu di maktab perguruan berhubung aktiviti penyebaran Islam.

MCCBCHST dalam satu kenyataan kepada FMT berkata, ia bimbang dengan surat kebenaran bertarikh 2 Okt lalu yang terbocor di media sosial untuk Yadim menjalankan kegiatan dakwah di sekolah, maktab perguruan, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan swasta terpilih di Malaysia.

“Aktiviti dakwah ini dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran dalam kalangan pelajar muda dan mudah dipengaruhi.”

Katanya, tiada niat sebaliknya ditunjukkan dalam surat kebenaran asal itu.

Ia berkata, sasaran Yadim ialah pelajar bukan Islam kerana tiada keperluan menjalankan aktiviti dakwah dalam kalangan Islam yang mengambil subjek Islam.

Katanya, surat kebenaran asal menyatakan Yadim ialah badan dakwah yang mahu menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam, termasuk mengembangkan Islam dengan melahirkan pendakwah Yadim terlatih.

“Niatnya jelas iaitu menjalankan aktiviti dakwah dengan melantik pendakwah di sekolah untuk melakukan kerja mereka.”

Katanya, untuk mengawal keadaan, Kementerian Pendidikan segera tampil menafikan dakwaan Islamisasi di sekolah.

“Tetapi, tiada jaminan diberikan dalam surat kebenaran kementerian itu. Mustahil untuk pegawai kementerian memantau ribuan sekolah dan jaminan yang diberikan tidak bermakna.”

MCCBCHST turut menggesa usaha dilakukan untuk menghalang Yadim menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan IPT lain.

“Sekolah ialah tempat belajar dan mengajar kemahiran sewajarnya kepada kanak-kanak. Ia bukan tempat untuk menyebarkan ajaran mana-mana agama.”

Monday, September 30, 2019

Polis siasat sekolah larang bacaan doa


Polis menyiasat tindakan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang didakwa melarang bacaan doa.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata kes itu disiasat bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Satu kes isu larangan bacaan doa di sekolah Pulau Pinang, kita sudah dapat satu laporan polis oleh beberapa individu yang hadir mengatakan bahawa dalam majlis tersebut baca doa tidak dibenarkan tetapi doa di dalam bentuk Kristian diadakan.

“Kami sudah terima laporan dan disiasat bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat tmengapi-apikan mana-mana pihak melakukan kesalahan kepada pihak lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin memberikan amaran keras kepada Sekolah Kebangsaan Methodist di Pulau Pinang dan sebuah sekolah di Perak yang menganjurkan kursus Pendidikan Seni Visual (PSV) dalam bahasa Cina sepenuhnya.

Dr Amin Senin berkata pihaknya maklum kedua-dua isu yang tular itu dan sedang mempertimbang mengambil tindakan tatatertib jika perlu.

Beliau berkata semua pentadbir sekolah perlu mematuhi Akta Pendidikan dan surat-surat siaran kementerian, Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang menetapkan mata pelajaran Pendidikan Seni adalah dalam bahasa kebangsaan.

Sekolah Kebangsaan Methodist di Pulau Pinang ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berkaitan itu situ.

Sunday, September 29, 2019

Bacaan doa Kristian di sekolah salahi Perlembagaan

USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM 
29 SEPTEMBER 2019


TINDAKAN SK (P) Methodist tidak membenarkan bacaan doa orang Islam dan membiarkan bacaan doa secara agama Kristian secara terbuka dalam satu majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah sangat bertentangan dengan Perlembagaan Negara Artikel 11(4) yang melarang pengembangan agama lain kepada orang Islam. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Khee Phaik Cheen Pengerusi Jemaah Tadbir.

Walaupun sekolah tersebut di bawah pengurusan gereja, namun sekolah ini telah mendapat bantuan penuh kerajaan. Dimaklumkan juga, bahawa sekolah ini mempunyai majoriti pelajar Islam berbanding pelajar bukan Islam termasuk gurunya.

Sekolah ini memiliki enrolmen iaitu seramai 508 bilangan murid keseluruhan dengan 24 guru beragama Islam, sedang guru bukan Islam hanya 14 orang. Begitu juga terdapat 347 murid Islam, berbanding 161 murid bukan Islam.

Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang memandang serius perkara ini, dan menggesa agar Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) mengambil tindakan segera kepada pihak pentadbiran sekolah agar perkara sebegini tidak lagi berulang.

Kami juga menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menyebar agama Kristian secara terbuka kepada orang Islam yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Sebelum ini, kejadian edaran Bible dan risalah Kristian di Bukit Mertajam dan Penaga belum ada sebarang tindakan. Kita bimbang perkara ini menjadi lebih serius dan akhirnya menggugat akidah umat Islam.

"Demi Islam"

USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM
Ketua Sektor Pendidikan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang. 

- HARAKAHDAILY 
  29/9/2019

Monday, May 6, 2019

Ulama PAS: Ambil iktibar Uighur 'dilarang berpuasa'

News | Diterbitkan Hari ini 2:37 tengahari 


Pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik menasihati supaya masyarakat Islam di Malaysia mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat Uighur di China.

Katanya, masyarakat Islam daripada etnik minoriti di negara tembok besar itu dilarang untuk berpuasa dan mengamalkan amalan agama.

"Terkenang saudara seagama di Uighur China. Mereka dilarang berpuasa dan mengamalkan amalan agama mereka. Moga saudara saya di Malaysia mengambil iktibar.

"Begitulah nasib kita jika negara ini diserahkan kuasa politik kepada orang-orang kafir. Tak kira apa jenis kafir mereka itu," katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Sebagai rekod, etnik Uighur adalah penduduk Islam berketurunan Turki dengan dianggarkan 11 juta orang berada di bahagian barat China.

NGO Human Rights Watch berkata kerajaan China memantau ketat etnik Uighur serta mendakwa pihak berkuasa mengambil sampel biometrik dan baka DNA.

Kem tahanan atau sekolah vokasional

BBC pada Oktober 2018 melaporkan mengenai kem tahanan tersembunyi yang mendakwa menahan ribuan orang Islam tanpa bicara di wilayah Xinjiang.

Bagaimanapun, kerajaan China menafikan dakwaan tersebut berkata orang ramai secara sukarela menyertai "sekolah vokasional khas" yang bertujuan "memerangi keganasan dan fahaman pelampau agama."

Menurut laporan, selain masyarakat Uighur, kerajaan China juga mengambil tindakan tegas terhadap penganut Kristian.

Misalnya pada Disember 2018, BBC melaporkan sejumlah 100 penganut Kristian ditahan atas alasan "mengapi-apikan subversi terhadap kuasa negara", manakala New York Times pada 12 Januari 2018 melaporkan polis memusnahkan salah satu gereja terbesar di negara itu, yang terletak di wilayah Shanxi.

Sementara itu, Mokhtar mengajak generasi muda supaya mendaftar sebagai pengundi sekali gus bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pastikan anak-anak kita semua telah mendaftar sebagai pemilih. Untuk membolehkan mereka menjatuhkan PH yang didominasi oleh DAP dalam PRU15 akan datang.

"Jangan main-main soal memilih dan memangkah. Ia adalah soal agama dan kedaulatan bangsa.

"Jangan peduli dengan sesiapa yang berkata memilih dalam pilihan raya tiada kaitan dengan agama. Itu jahil dan bodoh namanya," jelasnya.

Tuesday, February 19, 2019

Sepanduk rasis: Pantai Hospital Sungai Petani mohon maaf

Kakitangan hospital gantung sepanduk tawaran biasiswa tanpa kebenaran
sitifatimah 18/02/2019


BANGI, 13 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak susulan mengantung sepanduk tawaran biasiswa bersifat rasis, Pantai Hospital Sungai Petani hari ini mengaku salah serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Pantai Hospital Sungai Petani menjelaskan, sepanduk berkenaan digantung oleh kakitangan hospital itu tanpa kebenaran serta menegaskan maklumat itu tidak mencerminkan nilai organisasi berkenaan.

“Kami membetulkan maklumat itu dengan serta-merta selepas menyedari kesalahan dilakukan. Kami juga bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan dan memberi jaminan perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi.

“Di Pantai Hospital, kami menerima dasar pekerjaan yang adil dan tidak membiarkan sebarang amalan yang memudaratkan mana-mana kaum mahupun agama,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar sepanduk tawaran biasiswa daripada Pantai Hospital Sungai Petani bagi mengikuti pengajian peringkat diploma dalam jurusan kejururawatan.

Bagaimanapun, sepanduk berkenaan menerima kecaman terutamanya daripada netizen berikutan Pantai Hospital Sungai Petani hanya memberi keutamaan kepada calon daripada kaum Cina, India, Siam serta mereka beragama Kristian.

“Keutamaan untuk orang Cina, India, Siam dan Kristian. Mana penjawatan untuk orang Melayu? Sejak bila agama Kristian dah jadi bangsa?” tulis pengguna Facebook, Sri Pramadhana Widya.

“Wow. Ini permohonan pendidikan, tetapi telah diskriminasi. Saya ingatkan berlaku ketika permohonan kerja sahaja,” tulis Syazwan Aziz.

Sementara Michelle Leda pula berkata, sudah tentu orang ramai akan memberi maklum balas berikutan kriteria yang dinyatakan di sepanduk itu ternyata salah.

“Sama ada anda tergolong dalam mana-mana kaum, selagi anda mampu, maka anda boleh mendapatkan biasiswa,” katanya.

Monday, December 24, 2018

Ucapan Krismas harus ikut garis panduan, kata Mufti Wilayah Persekutuan

MALAYSIADATE
December 24, 2018 6:59 pm

Hukum kepada orang Islam mengucapkan selamat hari Krismas atau Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat kepada penganut Kristian sempena sambutan Krismas, adalah harus dengan mengikut garis panduan tertentu.

Antara garis panduan umum tersebut ialah sesuatu ucapan itu diberikan apabila wujud keperluan bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat selain tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007.

“Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar (terkenal) sebagaimana dilampirkan, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Kenyataan itu turut disertakan dengan pelbagai sebab dan alasan yang digunakan oleh beberapa tokoh Islam untuk mengharamkan dan mengharuskan sesuatu ucapan dibuat.

Garis panduan umum lain ialah penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar.

Selain itu, dilihat tiada keperluan dan tidak boleh dilakukan untuk memakai pakaian yang lazim dipakai semasa sambutan tersebut.

Garis Panduan Umum yang perlu difahami:

1.Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

2.Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

3.Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang

4.Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim]. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.

5.Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/ucapan-krismas-harus-ikut-garis-panduan-kata-mufti-wilayah-persekutuan/

Saturday, November 10, 2018

Penduduk terima risalah Kristian


Lebih 30 penduduk di sekitar kawasan Taman Kuala Bekah dekat Penaga di sini menerima risalah berkaitan Kristian bertajuk ‘How To Know God’ yang diletakkan di dalam peti surat rumah mereka awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada salah seorang penduduk yang menerima risalah itu pada pukul 8.25 pagi.

“Berdasarkan laporan yang diterima, polis yang menjalankan siasatan mendapati risalah yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malayalam itu turut dihantar kepada lebih 30 penduduk lain di kawasan itu.

“Pihak Komuniti Rukun Tetangga taman itu juga memaklumkan tidak terdapat kenderaan atau individu mencurigakan masuk ke kawasan itu selain daripada penduduk setempat dan kejadian itu adalah kali pertama berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang kesan cap jari pada risalah terbabit dan risalah itu kini dirampas oleh pihak polis.

Jelas Noorzainy, kes itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan. 

– UTUSAN ONLINE

Sunday, November 4, 2018

Sultan Perak ingatkan HARAPAN belajar dari kesilapan k'jaan dulu

Bernama 
Diterbitkan 4 Nov 2018, 11:21 pagi


Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan kerajaan pada hari ini agar belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu kerana rakyat sedia menolak pemimpin yang menyalah guna kuasa.

Sultan Nazrin Shah bertitah rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk anggota keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

“Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu. Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baru, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena ulang tahun ke-62 keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah budaya politik pasca 61 tahun merdeka menuntut kepada menu dan resepi baru dalam persekitaran politik yang baru.

Titah baginda, para pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera.

“Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban selain persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.

“Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Baginda bertitah rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, kesaksamaan kaum, kesaksamaan agama, kesaksamaan wilayah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan perkhidmatan persosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, pengangkutan awam yang meringankan tanggungan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi kemudahan rekreasi dan sosial.

“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

- Bernama

Friday, September 21, 2018

Undang-undang anti liwat tak adil, kata Anwar

NURUL FIRDAUS KHAIRI
21 SEPTEMBER 2018

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Ibu Pejabat PKR, hari ini. Foto - Bernama

PETALING JAYA - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik undang-undang menghukum seks hubungan sejenis, mengatakan ia saki-baki era penjajahan British.

Menurutnya, kritikan itu bukan hanya kuno, ia undang-undang penjajah British yang diperkenalkan di India dan diulang sama di Malaysia.

"Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang boleh dituduh, dan tanpa bukti yang betul, seperti kes saya.

"Undang-undang itu mesti dipinda untuk memastikan keadilan, dan menambah orientasi seks seseorang tidak boleh dipersoal jika tidak dipaparkan di khalayak ramai," katanya dalam sesi temubual bersama Al Jazeera.

Calon PRK Parlimen Port Dickson itu berkata, undang-undang mesti dipinda untuk memastikan ada keadilan dalam prosesnya dan ini bukan soal orientasi seks.

Katanya, ia mengenai apa yang dilakukan atau paparkan secara terbuka yang bertentangan dengan norma majoriti rakyat, bukan hanya orang Islam tetapi juga Kristian, Hindu, pengikut Buddha di negara ini.

Dalam pada itu, Anwar turut ditanya mengenai hukuman rotan ke atas dua wanita yang disabit kesalahan cuba melakukan hubungan sejenis oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

“Saya fikir ini jelas tak adil. Walaupun mereka menggunakan syariah sebagai asas, kita tidak boleh pertahan tindakan itu.

"Hukuman dera undang-undang Islam yang dicadangkan Pas itu berdasarkan tafsiran parti itu dan harus ditolak. Itu bukan hudud syariah, itu tafsiran mereka, atau beberapa aspek,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah dipenjarakan atas tuduhan liwat yang disifatkan bermotif politik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bersalah, mahkamah tangguh sejam ]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Tuduhan liwat ke atas Anwar satu konspirasi' ]

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei susulan satu pengampunan diraja selepas kemenangan PH selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Liwat adalah jenayah di Malaysia, dan dihukum mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksanaan yang melarang “persetubuhan luar tabii”. Seseorang yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan penjara sehingga 20 tahun.

Monday, June 11, 2018

Tuhan, ibu, doa dan keajaiban punca pelantikan, kata Tommy

FMT Reporters | June 11, 2018
Peguam Negara baru dilantik mengucapkan syukur kepada komuniti Kristian atas doa mereka.

VIDEO INSIDE

Tommy Thomas berkata pelantikannya sebagai peguam negara kerana doa ibunya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas mengucapkan rasa syukur kepada komuniti Kristian Malaysia atas sokongan mereka menerusi doa yang diadakan di gereja, dan berkata beliau percaya pelantikannya ke jawatan perundangan tertinggi negara baru-baru ini adalah “keajaiban” daripada Tuhan.

“Ketika berada di gereja, di depan penganut Kristian lain, saya beritahu anda, saya dilantik kerana keajaiban Tuhan. Tuhan menjawab doa kita.

“Tetapi sebenarnya ia adalah doa ibu saya,” kata Tommy kepada mass Ahad semalam di Gereja St Thomas Mar Thoma di Kuala Lumpur.

Gereja Mar Thoma sering dikunjungi penganut Kristian denominasi Koptik Syria, yang merupakan denominasi ikutan Tommy.

Tommy, 66, dilantik sebagai peguam negara oleh Yang di-Pertuan Agong minggu lepas, selepas tertangguh sementara berikutan spekulasi pelantikannya tidak mendapat persetujuan diraja.

Bercakap kepada pengunjung ke gereja, Tommy menganggap pelantikannya berpunca daripada “kekuatan doa dan keajaiban”.

“Ribuan penganut Kristian dan gereja berdoa untuk saya, jadi ini adalah keajaiban. Saya bersyukur kepada Tuhan. Sebab itulah saya dilantik,” katanya.

Tommy yang tidak menggunakan telefon bimbit, berkata beliau kini tidak mempunyai pilihan, dan terpaksa membelinya.

“Saya mengelak membeli telefon bimbit lebih 20 tahun,” katanya, sambil menambah begitu banyak perkara berlaku sepanjang 2 setengah hari bertugas di Jabatan Peguam Negara.

“Peralihan itu sukar dipercayai,” katanya.

Tuesday, February 27, 2018

Mahkamah Persekutuan: Mahkamah sivil tak boleh bicarakan kes murtad

Berita Terkini

Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Kuching hari ini memutuskan bahawa empat orang yang ingin membatalkan status agama Islam mereka tidak boleh melakukannya melalui mahkamah sivil.

Menurut Borneo Post, panel lima anggota itu sebulat suara memutuskan, berdasarkan undang-undang kes, bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes murtad.

Mahkamah Persekutuan diminta membuat keputusan sama ada Mahkamah Syariah Sarawak boleh mendengar kes murtad yang tidak diperuntukkan secara nyata dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata walaupun tidak ada peruntukan seperti itu dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001, terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah.

Panel yang diketuai oleh Zulkefli turut dianggotai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan dan Tan Sri Ramly Ali.

Empat pemohon itu mengemukakan soalan kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi pada tahun 2015 menolak permohonan mereka untuk membatalkan status agama Islam mereka dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2016.

Baru Bian, peguam keempat-empat pemohon itu berhujah bahawa Mahkamah Syariah Sarawak "tidak dibekalkan kuasa untuk memutuskan kes murtad" oleh Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001.

Walau bagaimanapun, peguam responden - Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara - mengemukakan hujah bahawa peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 adalah memadai.

Empat pemohon itu - seorang yang dilahirkan sebagai Islam dan tiga orang mualaf - memohon perintah mahkamah untuk meninggalkan Islam dan mahu agama dalam kad pengenalan mereka diubah kepada Kristian.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/413583#5JSSUDZG4LxL7CdI.99

Tuesday, June 6, 2017

Kenapa program agama bawa agenda Israel?

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
05 JUNE 2017
PENGANJURAN “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Melaka pada 15 – 18 Jun depan jelas merupakan usaha terancang pihak tertentu bagi melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan ketika sama membawa agenda dan kempen menyokong Israel di negara ini.

Berdiri atas aktiviti keagamaan, program yang bertemakan “Nations of the Golden Gate Aligning With Jerusalem’s Jubilee” itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kejayaan regim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 Hari yang berlaku tahun 1967 dahulu.

Malah, program juga dianjurkan dengan kerjasama Jerusalem House of Prayer for All Nations (JHOPFAN); sebuah pertubuhan berpangkalan di Israel dan merupakan organisasi yang giat berkempen menyokong Israel di seluruh dunia. Sekali gus mengesahkan hubungan penganjuran dengan pihak negara haram itu.

Pihak penganjur AMGGRC turut menyatakan bahawa pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah adalah kerana negara ini merupakan ‘pemangkin kebangkitan’ bagi Asia Tenggara, Asia Pasifik dan negara-negara dalam segmen Golden Gate yang menggerakkan agenda Evangelis Kristian dan Hari Kemerdekaan Israel.

Kami mengakui hak kebebasan beragama penganut Kristian sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan, tetapi demi keharmonian, keselamatan dan kedaulatan, maka pihak berkuasa mesti menyiasat agenda serta semua pihak yang berada dalam rangkaian penganjuran tersebut.

Kami menentang keras sebarang usaha mana-mana pihak cuba untuk membawa masuk agenda penubuhan negara Israel dan pelampau Kristian ke dalam negara ini. PAS kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi regim Yahudi-Zionis.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia


 – HARAKAHDAILY 5/6/2017

Thursday, April 14, 2016

Aceh sebat wanita bukan muslim jual arak

GAMBAR HIASAN

SEORANG wanita warga emas yang bukan beragama Islam dijatuhi hukuman sebat sebanyak 30 kali atas kesalahan menjual minuman beralkohol di wilayah Acheh, Indonesia.

Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa di Acheh menjatuhkan hukuman sedemikian terhadap orang bukan Islam di negeri yang terkenal dengan pelaksanaan ketat hukum Hudud itu.

Wanita berusia 60 tahun yang beragama Kristian itu disebat dengan rotan di hadapan ratusan orang awam bersama-sama satu lagi pasangan Muslim yang melakukan perbuatan zina.

Walaupun hukuman syariah itu hanya tertakluk kepada umat Islam, namun menurut wakil pihak berkuasa, Lili Suparli, hukuman itu juga boleh dikenakan terhadap individu bukan Muslim mengikut keadaan dan situasi.

“Ini merupakan kes pertama dicatatkan orang bukan Islam dihukum mengikut undang-undang agama Islam,” katanya.

Acheh mula mengaplikasikan hukuman hudud sejak 2001. – MYNEWSHUB.CC

Sunday, April 10, 2016

MIC, NGO India gesa syarahan Zakir Naik dihentikan

Seorang Pemuda MIC dan gabungan NGO kaum India, RAPAT hari ini membuat laporan polis terhadap pendakwah Islam popular Dr Zakir Naik, yang dijadual akan menyampaikan syarahan di Melaka mengenai persamaan antara agama Hindu dan Islam.

Ketua Pemuda MIC Sembilan itu mendakwa penceramah itu, seorang warga India, sebelum ini pernah menghina penganut agama Hindu dan Kristian pada syarahan di UiTM Shah Alam.

"Kami mahu kuliah ini (di Melaka) dibatalkan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan selepas membuat laporan di Balai Polis Seremban.

Perkara itu turut disuarakan oleh RAPAT, yang berkata kandungan syarahan Zakir bersifat "fitnah terhadap agama-agama lain".

Rapat membuat laporan polis terhadap kuliah yang akan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka pada 17 April, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Zakir pada tahun 2013 dianugerahkan Tokoh Ma'al Hijrah peringkat antarabangsa oleh Yang di-Pertuan Agung.

Bagaimanapun, personaliti televisyen itu dihalang daripada bercakap di Singapura dan diberitahu oleh kerajaan Kanada pada tahun 2010 bahawa beliau tidak akan dibenarkan masuk ke negara itu.

Beliau juga telah dihalang daripada memasuki United Kingdom.

Bagaimanapun, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Zakir adalah seorang pendakwah yang terkenal di dunia dan kuliahnya telah meyakinkan beribu orang untuk memeluk Islam.

"Ribuan manusia menganut Islam kerana ceramahnya. Jutaan muslim mendapat manfaat dari penghujahannya," kata Asri.

Thursday, January 22, 2015

Kalimah Allah: Saudara Kristianku, ia sudah berakhir, bukalah buku baru

oleh Francis Paul Siah

KOMEN: Saudara Kristian saya sekalian, jika kita yakin bahawa Tuhan bertindak dengan cara-Nya yang misteri dan tidak terjangkau oleh kita, dan Dia memiliki sebab kukuh atas segala tindakan-Nya, maka kita perlu menerima keputusan mahkamah terhadap rayuan kes “kalimah Allah”.

Seperti kata-kata terakhir Jesus sebelum meninggalkan kita, “Ia sudah selesai, ia sudah berakhir”, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam bermakna semua jalan perundangan sudah digunakan – maka isu “kalimah Allah” juga “sudah selesai, sudah berakhir”. Marilah kita menerimanya.

Saya yakin bahawa Pope Francis, wakil Jesus sendiri, ada kalanya tidak dapat memahami sepenuhnya tindakan Tuhan, apatah lagi penganut biasa seperti kita.

Sebaik sebelum lawatan Pope di Filipina berakhir awal minggu ini, seorang gadis berusia 12 tahun dari Manila mencabarnya berhubung soal pelacuran. Gadis itu bertanya, mengapa Tuhan membiarkan anak-anak menjadi pelacur dengan hidup menderita dan dirundung kesedihan. Balas Pope, ada perkara yang melangkaui pemahaman manusia. Inilah hakikatnya.

Hakikat dalam kes “kalimah Allah” ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang kita tidak dapat fahami, jika kita melihatnya dari sudut pandang manusia. Ramai yang mengatakan ia sudah pun ditetapkan sejak dari awal. Telahan itu tidak salah. Tidak perlulah saya menceritakan secara terperinci apa yang dimaksudkan sebagai “ditetapkan”. Mereka yang mengikuti isu ini sejak dari awal akan memahami maksud saya.

Archbishop Kuala Lumpur yang baru, Julian Leow dan editor mingguan Herald Father Lawrence Andrew kini berada dalam kedudukan paling tidak menyenangkan. Mereka adalah pemimpin Gereja Katolik yang terperangkap dalam pergelutan ini dengan kerajaan, dan mereka “tewas”. Walaupun kelihatan sukar, mereka telah menerima keputusan mahkamah dengan terpuji dan penuh maruah, dan semua penganut Katolik pun harus begitu.

Dalam respon segera semalam, Archbishop Julian berkata yang “saya ingin percaya yang keputusan buruk ini hanya terbatas kepada Herald, dan tidak akan membuka kotak Pandora dan menyekat hak minoriti dalam menguruskan urusan agama kita sendiri.

“Kepada Tuhan kita terus berdoa dan percaya bahawa ada cahaya di sebalik kegelapan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui satu pesanan teks.

Benar, pihak berkuasa perlu menjamin bahawa keputusan itu hanya terbatas kepada mingguan Herald, dan bukannya penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Malaysia. Ini adalah sesuatu yang diterangkan dengan jelas oleh mahkamah, dan pihak berkuasa agama perlu ambil maklum.

Penganut Katolik kini perlu berkongsi rasa optimis yang ditunjukkan Archbishop, dengan meyakini adanya cahaya di sebalik terowong gelap hari ini. Tidak kira sejauh mana mereka perlu melalui terowong itu untuk melihat cahaya.

Sementara itu, Father Lawrence ketika menerima bahawa pintu sudah tertutup dalam isu ini, telah menyatakan harapan akan terbukanya ruang berhubung isu kebebasan mengamalkan agama serta hak minoriti.

“Ini adalah kes perlembagaan yang penting berkenaan hak menyatakan keyakinan dan untuk hidup dalam aman dan harmoni,” katanya.

Saya sentiasa mengkagumi komitmen yang ditunjukkan Father Lawrence sepanjang kes ini sehinggalah ia berakhir. Beliau adalah seorang editor, begitu juga saya. Beliau adalah seorang Father, saya juga seorang ayah. Beliau seorang yang warak, manakala saya pendosa.

Dan saya memiliki rasa hormat yang cukup tinggi kepada paderi ini walaupun tidak mengenalinya secara peribadi. Saya hanya pernah bertegur sapa dengannya di alam maya.

Kepada Father Lawrence, saya ingin katakan, “Anda telah berjuang dalam kes ‘kalimah Allah’. Saya tahu, bagi anda ia belum tamat. Namun biarlah ia reda buat masa ini, demi keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang agama kita. Dan ya, mungkin akan terbuka ruang pada masa akan datang.”

Ini juga pesanan saya kepada saudara Kristian saya di negara ini. Marilah terus melangkah ke hadapan dan tinggalkan isu ini di belakang kita. Saya pasti, Jesus juga akan meminta kita berbuat hal yang sama. Sekurang-kurangnya, buat masa ini…

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Kalimah-Allah-Saudara-Kristianku-ia-sudah-berakhir-bukalah-buku-baru#sthash.2GyL9K9G.dpuf

Thursday, January 15, 2015

Kerajaan negeri Sarawak batal ceramah agama Islam dianggap biadap

Menteri di Pejabat Ketua Menteri yang menjaga hal ehwal Islam di Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman memberi alasan bahawa pembatalan ceramah tersebut untuk mengelakkan suasana kekacauan antara pelbagai agama terutamanya Kristian dan Islam.

KUALA LUMPUR, 14 Januari:

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menyifatkan alasan kerajaan negeri Sarawak membatalkan ceramah agama Islam anjuran Pusat Informasi Islam (IIC) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang dijadualkan pada Khamis ini, biadap.

Ketua Penerangannya, Hassan Basri Muhammad berkata pembatalan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan dan suruhan agama Islam itu sendiri yang meminta umatnya berdakwah.

“Amat biadap apabila Menteri di Pejabat Ketua Menteri yang menjaga hal ehwal Islam di Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman memberi alasan bahawa pembatalan ceramah tersebut untuk mengelakkan suasana kekacauan antara pelbagai agama terutamanya Kristian dan Islam.

“Yang lebih malang lagi apabila ceramah anjuran IIC dan UNIMAS ini dibatalkan atas desakan dan bantahan Persatuan Gereja Serawak (ACS) dan beberapa individu serta ahli politik yang kononnya dianggap provokasi terhadap agama Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul itu akan disampaikan oleh sarjana Islam Iraq, Shaykh Afeefuddin Al Jalani yang akan diadakan di UNIMAS dengan tajuk ‘Nabi Muhammad di dalam Bible’.

Pembantu Biskop, Aeries Sumping Jingan yang mewakili Pengerusi Anglican Diocese Of Kuching (ACS), Datuk Bolly Lapok ketika membuat bantahan mendakwa tajuk ceramah itu merupakan provokasi melampau yang boleh menimbulkan kekacauan.

Menurut Hassan, alasan yang diberikan nyata dangkal kerana sarjana perbandingan agama terkenal, Dr. Zakir Abdul Karim Naik telah berdebat, berdialog, bersyarah di merata dunia tentang Islam, Kristian, Hindu, Budha, Sikh dan seumpamanya tanpa sebarang masalah.

“Suka kita bertanya kepada ACS dan Datuk Daud, sudah berapa kali berlaku kekacauan dan ketegangan ekoran syarahan dan dakwah oleh Dr Zakir Naik di hadapan penganut pelbagai agama di dunia ini?

“Saya amat yakin ini sekadar andaian untuk menghalalkan tindakan halus menghalang dakwah Islam itu sendiri.

“Mereka (kumpulan Kristian) ini sudah berani untuk mencampuri urusan aqidah dan kepercayaan umat Islam sehingga ada di kalangan orang Islam boleh tunduk dan akur atas tekanan ini kononnya untuk menjaga keharmonian kaum,” ujarnya.

Tambah Hassan lagi, sekiranya pihak berkuasa terus tunduk dengan desakkan dari kumpulan tersebut, beliau bimbang perkara yang lebih serius akan berlaku pada masa akan datang.

“Sudahlah kalimah Allah dipermainkan sehingga di mahkamah. Kononnya laungan azan dan kuliah agama di masjid dan surau mengganggu mereka. Mempertikaikan belanjawan untuk Islam dan sebagainya. Ini mereka membantah dakwah sarjana Islam pula. Apa lagi selepas ini?

“Kalau inilah cara pemikiran mereka, kita bimbang tidak mustahil satu hari nanti umat Islam di Malaysia diharamkan membaca surah Al Ikhlas yang menegaskan Allah itu satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan, kerana kemungkinan akan mengguris kepercayaan Kristian yang mempercayai Jesus itu anak Tuhan,” ujarnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/14/kerajaan-negeri-sarawak-batal-ceramah-agama-islam-dianggap-biadap/#ixzz3OoJMyh3r

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-