Tuesday, January 20, 2015

Mahfuz - Zahid "talam dua muka"

Mohamad Fadli
Ketika di hadapan rakyat laungkan slogan membanteras jenayah, di belakang rupanya mempunyai hubungan erat dengan penjenayah


PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu Paul Phua.

Mahfuz berkata Zahid masih belum menjawab persoalan utama dan masih berdalih untuk mendedahkan maklumat mengenai perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan Malaysia.

Katanya, PAS masih konsisten dengan penegasan agar kerajaan khususnya Zahid supaya bersikap telus dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, “Usah jadikan alasan ‘rahsia besar’ di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan pihak kerajaan sanggup bersekongkol dengan raja judi dan kongsi gelap dalam hal keselamatan negara.

“Perbuatan ini tidak ubah seperti “talam dua muka,” di hadapan rakyat umum melaungkan slogan membanteras jenayah, sedangkan di belakang rupanya mempunyai hubungan erat dan mesra dengan penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz menjelaskan, sungguhpun Zahid menafikan surat itu berbentuk surat sokongan agar Paul Phua tidak dikenakan pertuduhan namun, masih timbul persoalan akan tujuan beliau begitu bersungguh untuk mengutus surat tersebut.

Tambahnya, ia ditulis atas memenuhi permintaan pihak peguambela si tertuduh.

Jelasnya, isu yang menjadi pertikaian umum sekarang bukanlah sekadar sama ada Paul Phua itu ahli kongsi gelap 14 K Triad di Malaysia atau di luar negara tetapi, rakyat menuntut penjelasan Menteri agar berterus-terang dalam penglibatan Paul Phua dalam sistem keselamatan negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui sedang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), jadi apakah keperluan penting sehingga memerlukan campur tangan Menteri dalam hal ini?

“Kelihatannya Zahid begitu yakin dengan maklumat yang dimiliki beliau sedangkan FBI merupakan agensi yang terkenal dengan kecekapan dalam soal risikan dan siasatan,” ujarnya.

Mahfuz mencadangkan dalam sindirannya supaya, Zahid mengutus surat teguran pula kepada FBI agar lebih cermat dan teliti supaya tidak mendakwa pihak yang tidak bersalah pada pandangan beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-