KUALA LUMPUR, 24 Januari:
Tiga lagi bekas Menteri Dalam Negeri perlu tampil memberi kenyataan, bagi membersihkan nama mereka daripada tuduhan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid dalam satu kenyataan pada 15 Januari lalu berkata, Menteri Dalam Negeri sebelumnya pernah mengeluarkan surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), tanpa kebenaran dan pengetahuan kementerian, berkaitan warganegara Malaysia, Paul Phua Wei Seng yang didakwa menjalankan aktiviti perjudian haram di Las Vegas.
Antara bekas menteri tersebut adalah Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Azmi Khalid dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebelum ini, dua bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar telah membuat penafian, pernah menghantar surat secara unilateral kepada FBI, seperti yang didakwa Ahmad Zahid.
“Hishammuddin dan Syed Hamid telah membuat penafian pernah menghantar surat kepada FBI, ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, sekarang terpulang kepada tiga lagi bekas menteri untuk berbuat perkara yang sama.
“Maka, sekarang giliran Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Azmi Khalid dan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk membersihkan nama mereka,” demikian menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sebagai negarawan, ketiga-tiga mereka perlu tampil memberi kenyataan, demi keadilan dan juga kebenaran, bukannya mendiamkan diri.
Jelasnya, Ahmad Zahid telah mengeluarkan satu kenyataan mengejutkan, apabila cuba melibatkan nama orang lain untuk melepaskan diri daripada tuduhan salah guna kuasa, susulan tindakannya menghantar surat kepada FBI bagi permohonan melepaskan raja judi, Phua.
“Kenyataannya itu telah merosakkan nama bekas menteri sebelumnya, oleh itu, tiga lagi menteri itu perlu bersuara, bukan sahaja untuk kepentingan negara, tetapi untuk menjaga rekod nama baik Menteri Dalam Negeri.
“Radzi, Azmi dan Tun Abdullah belum membuat kenyataan, sama ada mereka pernah menghantar surat kepada FBI, tanpa pengetahuan Ketua Polis Negara ataupun tidak,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, surat yang dikeluarkan Ahmad Zahid itu dibuat tanpa pengetahuan atau kebenaran Kabinet.
“Adakah pada hari Rabu ini, Kabinet akan mengkaji semula pembohongan Zahid dan mempertimbangkan tindakan yang perlu dikenakan ke atas beliau, demi menjaga akauntabiliti, kejujuran dan tingkah laku menteri?
“Ataupun menggantung jawatan Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri, kerana tindakannya itu boleh memberi kesan buruk kepada negara,” katanya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/24/tiga-lagi-bekas-menteri-dalam-negeri-perlu-tampil-dakwaan-surat-kepada-fbi/#ixzz3PiVZR1aj
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.