Saturday, January 24, 2015

Utusan sokong Hadi: Pilihan raya PBT Pulau Pinang hanya untungkan Cina

Menyokong kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini mengatakan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang hanya akan memberi keuntungan kepada kaum Cina yang umumnya majoriti di kawasan bandar.

Awang Selamat, nama pojokan yang mewakili pengarang akhbar itu berkata, PAS sendiri menyanggah rancangan DAP kerana ia mampu mencetuskan suasana tidak stabil serta melebarkan jurang masyarakat pelbagai kaum.

“Tidak salah kalau dikatakan apa yang diperjuangkan DAP dalam hal itu adalah kerana melihat faedahnya besar kepada kaum Cina," tulis Awang Selamat dalam Utusan Malaysia hari ini.

“Jika itulah hakikatnya, bermakna orang yang akan berada dalam teraju dan kepimpinan PBT di Pulau Pinang menjurus kepada satu kaum saja berdasarkan demografi penduduk di kebanyakan kawasan PBT di negeri tersebut."

Awang Selamat berkata idea DAP itu cuba menafikan peranan semua kaum yang akan membawa kepada polarisasi dan ketegangan kaum.

Katanya, ia tidak sama sekali akan menyumbang kepada penghayatan untuk semua kaum bersama-sama memainkan peranan dalam pembinaan negara atau negeri.

“Justeru Awang sangat bersetuju dengan pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bimbang perjuangan DAP tersebut boleh menjadi seperti api dalam sekam kepada perpaduan masyarakat Malaysia.

“Lantas, perjuangan DAP dalam urusan pilihan raya PBT itu, bagi Awang, adalah idea sempit yang diasaskan kepada keuntungan jangka pendek kepada parti,” katanya.

Semalam, Hadi berkata pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP di kawasan majoriti Cina bandar boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei.

Katanya, desakan DAP untuk pilihan raya PBT itu akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan sesuatu kaum saja.
Beliau berkata dalam aspek politik, perjuangan DAP itu silap kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar saja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.

Menolak dakwaan itu, Setiausaha Pengelola DAP Anthony Loke berkata Hadi tidak seharusnya mengaitkan isu kaum dalam isu pilihan raya PBT kerana tindakan sedemikian tidak masuk akal, memandangkan demografi penduduk bandar kini tidak lagi dikuasai Cina semata-mata.

Katanya, DAP berusaha mengembalikan kuasa demokrasi kepada akar umbi melalui pilihan raya PBT dan Hadi tidak harus mendakwa hanya kaum Cina yang akan menerima kelebihan melalui pelaksanaan perkara itu.

"Tidak masuk akal bila pilihan raya PBT, Cina akan kuasai majoriti kerajaan tempatan, kita mahu hak itu dikembalikan kepada pembayar cukai dan rakyat," kata Loke kepada The Malaysian Insider.

"Saya harap Hadi tidak lihat ia dari sudut kaum, kita perlu melihat dari sudut demokrasi," katanya dan menambah, beliau sendiri tidak memahami mengapa Hadi membangkitkan isu perkauman dalam perkara itu.

Loke berkata, DAP terperanjat dengan kenyataan dikeluarkan Hadi apabila berkata, pilihan raya PBT bakal mengembalikan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969.

"Kami amat terperanjat dengan kenyataan Hadi kerana mengaitkan pilihan raya PBT akan membawa peristiwa 13 Mei 1969, bagi saya itu tidak masuk akal," katanya merujuk kepada insiden rusuhan kaum di negara ini suatu ketika dahulu.

Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, kerajaan pimpinan DAP itu tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Raus berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pemansuhan pilihan raya PBT ialah keputusan dasar yang diambil Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, oleh itu permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengecualikan keputusan dasar seperti itu perlu merujuk kepada majlis berkenaan terlebih dulu. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=239682:utusan-sokong-hadi-pilihan-raya-pbt-pulau-pinang-hanya-untungkan-cina&Itemid=2#ixzz3Pk7E0vlg
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-