Friday, February 20, 2015

Apa perlunya jelajah untuk 'buktikan' Anwar bersalah?

oleh V Shuman

SEKILAS PANDANG: Maka ia pun bermula. Sebuah drama menampilkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan peguam parti itu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Matlamatnya – untuk meneruskan usaha merosakkan reputasi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini di penjara.

Mungkin kita merasakan usaha menohmah Anwar akhirnya tamat jua, dengan terhumbannya Anwar ke dalam penjara yang menamatkan karier politiknya.

Namun jelas, bagi Umno, ia masih belum berakhir.

Menteri Belia dan Sukan itu dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan jelajah seluruh negara untuk menjelaskan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat 2.

Katanya, jelajah itu perlu dibuat memandangkan Umno telah dihentam dan dituduh kerana membuat konspirasi politik terhadap Anwar, sejak ia pertama kali didakwa pada tahun 2008.

“Selama enam tahun kita berdiam diri kerana perbicaraan masih berjalan, dan menghormati mahkamah. Kita menunggu selama enam tahun,” kata Khairy dalam satu sesi dialog di Petaling Jaya 17 Februari lalu, seperti dipetik The Malaysian Insider.

Malaysiakini juga melaporkan bahawa Shafee, dalam usahanya untuk meyakinkan hadirin, telah menerangkan secara terperinci tentang “percumbuan” antara Anwar dan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saya hanya ada satu soalan kepada mereka – apa benda yang anda berdua ingin capai sebenarnya?

Apakah belum cukup penderitaan yang telah ditimpakan terhadap Anwar dan keluarganya, dengan menyumbatnya ke dalam penjara selama lima tahun?

Dengan pemenjaraannya, Anwar tidak mungkin lagi menjadi ancaman kepada kerajaan sekarang dan Umno. Bukankah aspirasinya untuk menguasai Putrajaya telah ditamatkan dengan sabitan itu?

Jadi, apa perlunya untuk terus merosakkan reputasinya? Andai kata beliau sememangnya bersalah meliwat, bukankah hukuman penjara terhadapnya sudah memadai?

Mengapa sehingga perlu menganjurkan “jelajah” untuk membuktikan beliau bersalah?

Jika sabitan dakwaan itu kuat dan kukuh, mengapa perlu berbuat sebegitu rupa hanya untuk membuktikannya?

Shafee, misalnya, perlu mula berkelakuan seperti seorang peguam senior berbanding primadona yang dahagakan publisiti.

Beliau barangkali merupakan satu-satunya orang lama dalam bidang undang-undang di dunia ini yang merasakan dirinya perlu, secara bersungguh-sungguh, “menjelaskan” sabitan berprofil tinggi yang dilakukannya, dan pada masa sama mencemarkan imej VIP yang terlibat.

Dan Khairy pula, adakah anda sudah tidak ada kerja lain –misalnya mengurangkan bilangan anak muda Melayu yang terbabit dengan dadah, ragut, rompak, dan yang terpengaruh dengan ideologi Islamic State (IS)?

Usaha-usaha tersebut pasti akan membawa kebaikan, berbanding berkhutbah tentang Rakan Muda dan program kecergasan anjuran kementeriannya di Twitter. Setiap masa.

Jelajah untuk “menjelaskan” sabitan terhadap Anwar hanya menguatkan tanggapan rakyat Malaysia selama ini – Umno adalah pembuli besar yang sanggup melakukan apa sahaja dan sedaya upaya, untuk merosakkan dan mencemarkan pembangkangnya.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Apa-perlunya-jelajah-untuk-buktikan-Anwar-bersalah#sthash.P16M5nvO.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-