Tuesday, February 17, 2015

Genap seminggu di penjara, Anwar muncul di mahkamah hari ini

Anwar tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta jam 8.50 pagi Selasa bagi memberi keterangan dalam kes saman fitnah beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Facebook Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Genap seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 10 Februari lalu setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Ketua Pembangkang itu hari ini muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan dalam kes saman fitnah beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Anwar yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam diiringi beberapa pegawai penjara serta anggota polis dari Penjara Sungai Buloh, tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi, manakala perbicaraan bermula jam 9.35 pagi.

Isteri beliau, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah dan Nurul Nuha serta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin parti pembangkang lain turut kelihatan hadir di bilik bicara.

Bagaimanapun, kali ini tidak ramai penyokong Anwar yang hadir berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta sekalipun jemputan tersebar di pelbagai laman media sosial agar orang ramai hadir memberi sokongan moral kepada beliau.

Anwar sebenarnya telah selesai memberi keterangan dalam kes saman tersebut 27 Ogos tahun lepas, namun dipanggil semula hari ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti.

Perbicaraan penuh kes yang difailkan oleh Anwar 27 Mei tahun lepas itu bermula pada 25 Ogos dan berakhir 26 Disember, selepas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang merupakan saksi terakhir defendan (Anifah) memberi keterangan.

Anak Anwar, Nurul Nuha bersama anaknya (gambar kiri) serta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen PKR Kapar, Manivanan Gowin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin (gambar kanan) antara yang kelihatan di mahkamah hari ini. – Foto TRP/Ikhwan Hazwan

Bagaimanapun, selepas saksi berkenaan selesai memberi keterangan, Anifah membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan beliau.

Anwar menyaman Anifah kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada satu sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan seorang yang berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya.

Ia secara langsung serta tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah, dakwa Anwar dalam samannya.

Dalam kes yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid ini, Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Anifah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/17/genap-seminggu-di-penjara-anwar-muncul-di-mahkamah-hari-ini/#ixzz3RyeyX2n9

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-