Showing posts with label Penjara Sungai Buloh. Show all posts
Showing posts with label Penjara Sungai Buloh. Show all posts

Saturday, September 26, 2015

Keluarga dakwa ketua panel rawat Anwar tidak profesional, mahu digugurkan

OLEH NABIHAH HAMID
Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ketua panel yang merawat bekas ketua pembangkang Parlimen itu digugurkan kerana peranannya sebagai saksi pendakwaan tidak lama dulu. Anak sulung Anwar, Nurul Izzah Anwar (kanan) mendakwa Datuk Dr S. Jeyaindran tidak profesional dalam tugasnya.Gambar fail The Malaysian Insider, 26 September, 2015.

Datuk Dr S. Jeyaindran harus digugurkan sebagai ketua panel yang merawat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau pernah menjadi saksi menentang bekas ketua pembangkang itu dalam kes Liwat 2, kata Nurul Izzah Anwar.

Mewakili keluarganya, anak sulung Anwar itu berkata pihaknya tidak yakin dengan timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan itu.

"Dari segi profesionalnya, Dr Jeyaindran harus digantikan serta merta.

"Beliau gagal memberikan rawatan segera terhadap Anwar, khususnya fisioterapi di hospital seperti disyorkan pakar," katanya kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Dr Jeyaindran mengetuai 13 doktor bertugas merawat Anwar, yang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari.

Beliau disabitkan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Ini merupakan kali kedua tuduhan liwat dikenakan ke atas beliau sejak dipecat dari kerajaan pada 1998.

Keluarga Anwar dan peguam sebelum ini mendesak Putrajaya memberi rawatan segera memandangkan beliau kini menderita serta mengalami kekurangan berat badan, tekanan darah tidak menentu, gastrik, artritis dan otot bahu terkoyak.

Peguam Anwar turut memohon ketua umum PKR itu diletakkan di bawah tahanan rumah bagi menerima rawatan lebih sempurna.

Pada Julai, Anwar dimasukkan ke hospital untuk beberapa hari.

Namun, Nurul Izzah mendakwa kerajaan sengaja melengah-lengahkan rawatan yang berterusan dan keluarganya tidak lagi mahu berurusan dengan Dr Jeyaindran.

"Kami mahu berhubung terus dengan pakar dan tidak mahu berurusan dengan Dr Jeyaindran," kata naib presiden PKR itu.

Bagaimanapun, dalam respons terhadap tuntutan itu, Dr Jeyaindran menegaskan peranannya sebagai saksi pendakwaan tidak ada sebarang kesan kepada tugasnya memberi khidmat penjagaan perubatan kepada Anwar sebagai pesakit.

"Itu pendapat Nurul Izzah. Saya rawat Anwar sebagai seorang yang profesional dan layanan saya terhadap Anwar semasa dalam penjara adalah secara profesional.

"Tiada kaitan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Lagipun ada 13 pakar yang jaga dia, saya hanya sebagai koordinator," katanya.

Malah, Dr Jeyaindran memberitahu, beliau sebelum ini pernah merawat ahli politik yang lain, namun enggan mendedahkan identiti mereka.

"Saya pernah rawat ahli politik yang lain, jadi tiada masalah pesakit itu daripada pembangkang atau pun tidak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan Nurul Izzah ke Amerika Syarikat dalam usaha memberi tekanan kepada Putrajaya agar membenarkan bapanya menjalankan pembedahan kerana kecederaan pada bahunya.

Kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu, beliau terpaksa memilih jalan tersebut kerana panel doktor merawat bapanya menyarankan pembedahan segera dilakukan tetapi dakwanya, Putrajaya seperti melengahkan rawatan.

Dalam pada itu, Dr Jeyaindran menegaskan penyakit yang dialami Anwar boleh dirawat di Malaysia.

Katanya, ini kerana rawatan pakar perubatan dan doktor dalam negara sudah mencukupi serta tiada keperluan untuk Anwar dirawat di luar negara.

"(Penyakit Anwar) ia bukan sesuatu yang besar. Ramai pesakit di dalam Malaysia mengalami masalah yang sama dan boleh merawatnya di sini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu secara terperinci penyakit dan jenis rawatan yang diperlukan Anwar.

"Maklumat perubatan Anwar adalah sulit. Saya tidak boleh dedahkan tetapi terpulang kepada keluarga Anwar untuk beritahu," katanya.

Katanya, keputusan laporan daripada panel terlibat mengenai perubatan Anwar akan diserahkan kepada keluarganya dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan dakwaan keluarga Anwar yang hanya beliau seorang merawat ketua umum PKR itu.

"Kita ada panel di mana 13 doktor yang jaga dia (Anwar), kesemua bertugas menjaganya dan tertakluk dengan keadaannya, dan saya adalah ketua panelnya," katanya sambil menambah terdapat pakar ortopedik ditugaskan merawat Anwar.

"Dalam dua tiga minggu ada doktor ortopedik akan merawatnya, bukan saya. Ada juga doktor daripada luar (yang terlibat), pakar doktor daripada universiti untuk pandangan kedua," kata Dr Jeyaindran.

Tuduhan yang Anwar dinafikan rawatan kesihatan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Malah, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga naib presiden PKR, menjamin kerajaan negeri bersedia memberikan perkhidmatan kepada Anwar, termasuk membawa beliau ke hospital bagi mendapatkan pandangan kedua.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/keluarga-dakwa-ketua-panel-rawat-anwar-tidak-profesional-mahu-digugurkan#sthash.zp8hzTWc.dpuf

Monday, June 22, 2015

Kes rayuan qazaf Anwar Ibrahim kecoh

Peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kamar Ainiah Kamaruzaman menjawab beberapa soalan daripada pihak media berkaitan sebutan kes qazaf antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini, hari ini. -Foto TRP/Mokhsin Zamani

KUALA LUMPUR, 22 Jun:Kes rayuan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini kecoh apabila berlakunya kekeliruan melibatkan peguam pemohon dan responden.

Kekeliruan tersebut terjadi selepas peguam yang mewakili Datuk Seri Jamil Khir Baharom datang menemui pendaftar mahkamah pada pukul 9 pagi manakala peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan diberitahu untuk hadir pada pukul 11 pagi.

Disebabkan itu, peguam yang mewakili Jamil Khir bertemu dengan penolong pendaftar, Mohd Khairul Nizam Kassim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada pukul 10 pagi tanpa kehadiran pihak responden.

Peguam Jamil Khir yang diketuai oleh Roslizam Ibrahim kemudiannya memberitahu bahawa Anwar sepatutnya menjawab afidavit mereka serta melantik peguamnya bagi kes tersebut tetapi masih belum berbuat demikian.

“Mahkamah kemudiannya membenarkan Anwar sehingga 6 Julai depan untuk menjawab afidavit anak guam kami dan melantik peguamnya atau wakalah yang mana ia boleh dilakukan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Namun begitu, kira-kira pada pukul 10.30 barisan peguam Anwar tiba di mahkamah dan menunjukkan surat daripada peguam Jamil Khir bahawa kes pengurusan berkenaan ditetapkan pada pukul 11 pagi.

Salah seorang peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata mereka mendapat notis pemberitahuan daripada pihak pemohon untuk hadir seperti yang diberitahu dalam notis berkenaan.

Jelas Kamar Ainiah, sewaktu beliau berjumpa dengan penolong pendaftar, memang terbukti pihak pemohon datang pada pukul 9 pagi.

“Tetapi notis yang dimaklumkan kepada kami sebelum ini adalah pada pukul 11 pagi.

“Jadi sewaktu bertemu dengan penolong pendaftar tadi memang kami menyebut bahawa tindakan tersebut adalah kelakuan yang tidak beretika,” ujarnya.

Tambah Kamar Aniah lagi, peguam Anwar tidak boleh dilantik di Penjara Sungai Buloh kerana kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, Penjara Sungai Buloh tertakluk di bawah bidang kuasa Selangor sedangkan kes berkenaan dibicarakan di Kuala Lumpur.

“Kami mahukan keadilan ke atas Anwar dapat diberikan dan beliau diberikan peluang untuk didengari di mahkamah.

“Tetapi pihak pemohon sekarang ini hendak terus hujah tanpa berikan peluang kepada Anwar dan sekiranya begitu lebih baik tidak payah berhujah sebaliknya terus buat keputusan,” tegasnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/22/kes-rayuan-qazaf-anwar-ibrahim-kecoh/#ixzz3dlbvbOcG

Tuesday, February 17, 2015

Genap seminggu di penjara, Anwar muncul di mahkamah hari ini

Anwar tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta jam 8.50 pagi Selasa bagi memberi keterangan dalam kes saman fitnah beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. - Foto Facebook Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Genap seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 10 Februari lalu setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Ketua Pembangkang itu hari ini muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan dalam kes saman fitnah beliau terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Anwar yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam diiringi beberapa pegawai penjara serta anggota polis dari Penjara Sungai Buloh, tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi, manakala perbicaraan bermula jam 9.35 pagi.

Isteri beliau, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah dan Nurul Nuha serta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin parti pembangkang lain turut kelihatan hadir di bilik bicara.

Bagaimanapun, kali ini tidak ramai penyokong Anwar yang hadir berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta sekalipun jemputan tersebar di pelbagai laman media sosial agar orang ramai hadir memberi sokongan moral kepada beliau.

Anwar sebenarnya telah selesai memberi keterangan dalam kes saman tersebut 27 Ogos tahun lepas, namun dipanggil semula hari ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti.

Perbicaraan penuh kes yang difailkan oleh Anwar 27 Mei tahun lepas itu bermula pada 25 Ogos dan berakhir 26 Disember, selepas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang merupakan saksi terakhir defendan (Anifah) memberi keterangan.

Anak Anwar, Nurul Nuha bersama anaknya (gambar kiri) serta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen PKR Kapar, Manivanan Gowin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin (gambar kanan) antara yang kelihatan di mahkamah hari ini. – Foto TRP/Ikhwan Hazwan

Bagaimanapun, selepas saksi berkenaan selesai memberi keterangan, Anifah membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan beliau.

Anwar menyaman Anifah kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada satu sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan seorang yang berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya.

Ia secara langsung serta tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah, dakwa Anwar dalam samannya.

Dalam kes yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid ini, Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Anifah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/17/genap-seminggu-di-penjara-anwar-muncul-di-mahkamah-hari-ini/#ixzz3RyeyX2n9

Thursday, February 12, 2015

200 peserta hadir solidariti Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh

Mereka yang hadir di perkarangan hadapan Penjara Sungai Buloh untuk menunjukkan solidariti terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto TRP/Zalikha Ameera

SUNGAI BULOH, 12 Januari:

Kira-kira 200 orang penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul sambil memegang lilin di hadapan kompleks Penjara Sungai Buloh bagi menunjukkan solidariti kepada Ketua Pembangkang yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun.

Mereka hadir menyertai perhimpunan Solidariti (vigil) anjuran Pakatan Rakyat (PR) di hadapan perkarangan Penjara Sungai Buloh.

Perhimpunan yang bermula jam 9.00 malam itu pada Rabu, dipenuhi dengan laungan slogan ‘Hidup, hidup, hidup rakyat’ dan ‘Bebaskan Anwar’.
Anggota keselamatan penjara bersiap siaga di hadapan pintu utama bagi memastikan tiada sebarang kekecohan berlaku. – Foto TRP/Qurnisha Hamka

Perhimpunan yang dipenuhi dengan nyalaan lilin itu terkawal dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Seramai 20 Pasukan Keselamatan Penjara ditugaskan di hadapan pintu masuk penjara yang dipasang kawad berduri bagi mengawal keadaan.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha dan Muhammad Ehsan.

Perhimpunan itu dijadualkan akan diadakan setiap malam bermula semalam pada jam 9.00 malam hingga 11.00 malam.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/12/200-peserta-hadir-solidariti-anwar-ibrahim-di-penjara-sungai-buloh/#ixzz3RSBr3wUx

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-