Saturday, February 7, 2015

JAKIM: Tidak timbul isu akidah hadir majlis Thaipusam

Tidak timbul isu Najib tidak boleh menyertai sebarang acara sambutan rakyat bukan Islam kerana menyalahi akidah atau bertentangan dengan kehendak Islam sepertimana yang diperkatakan oleh sesetengah pihak di media baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, 6 Februari:

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri Majlis Sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini, tidak menyalahi akidah.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berikutan kehadiran Najib di acara itu menjadi isu setiap kali majlis itu berlangsung.

“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan Islam merupakan Agama Persekutuan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 12 April 2005 telah mengeluarkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam sebagai panduan dan rujukan kepada seluruh umat Islam.

“Garis Panduan itu juga telah disampaikan untuk makluman Perdana Menteri selaku Ketua Negara. Beliau telah sedia maklum mengenai batas-batas dan garis panduan yang telah diberikan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sama-sama meraikan majlis sambutan rakyat bukan beragama Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu Najib tidak boleh menyertai sebarang acara sambutan rakyat bukan Islam kerana menyalahi akidah atau bertentangan dengan kehendak Islam sepertimana yang diperkatakan oleh sesetengah pihak di media baru-baru ini.

Menurutnya, isu berkenaan telah diperjelaskan oleh Sahibus Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada tahun 2012 bahawa bahawa kehadiran Perdana Menteri di majlis sambutan Thaipusam tidak menyalahi hukum syarak selagi tiada niat untuk merayakan atau redha dengan perbuatan agama lain.

“Sebagai pemimpin sebuah negara adalah tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan bangsa lain selagi tidak terlibat dalam acara yang bersifat ritual agama orang bukan Islam.

“Mengenai pakaian kurta yang dipakai oleh Perdana Menteri pula, ia tidak menyalahi garis panduan yang ditetapkan kerana kurta merupakan pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi, dan tidak ada sebarang isu berkaitan pelanggaran akidah atau sebagainya,” ujarnya.

Beliau menasihati seluruh umat Islam supaya berhati-hati dalam memperkatakan isu yang tidak diketahui secara jelas supaya penyebaran isu seumpama ini, lebih-lebih lagi berkait dengan akidah dapat dielakkan bagi mengelakkan fitnah dan tohmahan di kalangan rakyat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/06/jakim-tidak-timbul-isu-akidah-hadir-majlis-thaipusam/#ixzz3QynaVsGz

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-