KUALA LUMPUR, 20 Februari:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada ahlinya supaya tidak melakukan perkara yang boleh merugikan parti itu.
Ingatan itu dibuat menerusi sebuah video berdurasi 3 minit dan 4 saat yang dimuat naik di akaun Facebooknya berikutan konflik dalaman PAS yang semakin meruncing.
Dalam video itu, Abdul Hadi bercakap tentang bai’ah dan wala’ yang seharusnya dipegang teguh oleh setiap ahli parti berkenaan.
Beliau menjelaskan tentang perkara itu dan mahu ahli PAS tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merugikan PAS.
“Apabila kita menyebut tentang bai’ah ianya berkait dengan janji setia kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW bagi mengukuhkan seorang ahli jemaah dengan jemaah dan kesetiaannya.
“Perkara terpenting dalam bai’ah ialah memelihara perkara yang tersirat di dalam hati manusia iaitu keimanan dan keikhlasan hati kepada Allah SWT dalam perjuangan untuk menegakkan Islam,” ujarnya.
Beliau berkata, menjadi rukun kepada bai’ah khususnya di dalam perkara ketaatan mutlak iaitu kepada Allah dan Rasul manakala ketaatan yang tidak bermutlak yakni bersyarat kepada kepimpinan dan jemaah dalam perkara yang tidak maksiat yang tidak bercanggah dengan perintah Allah.
Menurutnya, kesetiaan terhadap perjuangan Islam perlulah bersungguh-sungguh dan dilarang untuk mengkhianatinya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendakwa Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) melakukan satu komplot untuk menguasai PAS Pusat.
Dakwanya lagi, pergerakan itu juga merancang untuk menjatuhkan Abdul Hadi dan mengangkat individu lain sebagai pengganti.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/20/jangan-buat-perkara-merugikan-parti-hadi-awang/#ixzz3SIJs8wqW
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.