KUALA LUMPUR, 18 Februari:
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas sikap bekas anggota komando polis, Sirul Azhar Omar yang dilapor mempertimbangkan untuk mendedahkan sepenuhnya punca beliau dan bekas pegawainya Azilah Hadri membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibu kepada media Australia.
Khalid turut mempertikaikan motif Sirul tidak mendedahkan perkara tersebut dalam siasatan awal kes itu.
“Kenapa sekarang baru hendak cakap semua pasal ini?
“Kalau dulu dia tidak mahu bercakap, kenapa sekarang baru hendak bercakap, hendak cakap pula perkara baru pula. Ini tidak logik,” katanya.
Ketua Polis Negara itu juga bimbang Sirul, yang kini berdepan hukuman gantung sampai mati bersama Azilah, diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan.
Sirul yang kini disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (Interpol) kini ditahan pihak berkuasa Imigresen Australia. – Foto laman web Interpol
“Saya bimbang ada pihak berkepentingan yang cuba pengaruhi dia perkara yang tidak betul kerana pihak yang berkepentingan ini tahu dia berada di Australia, (mereka tahu) kerajaan Australia tidak akan hantar dia balik.
“Saya khuatir pendedahan ini untuk kepentingan pihak-pihak tertentu,” ulas beliau lagi ketika ditemui media selepas menghadiri Kempen Balik Kampung Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta hari ini.
Bagaimanapun, beliau percaya masyarakat dapat menilai perkara yang benar berhubung kejadian itu.
Khalid juga berkata polis tidak akan membuka semula kertas siasatan berikutan laporan Sirul akan membuat pendedahan itu, sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan didedahkan terlebih dahulu.
“Kita tidak ada sebab mahu buka kertas siasatan baru kerana terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu.
“Kita lihat dulu apa yang dia mahu dedahkan,” tegas beliau.
Sirul yang kini sedang ditahan pihak imigresen Australia di Sydney dikatakan dihubungi beberapa stesen televisyen negara itu dan rundingan antaranya dan pihak berkenaan masih berjalan.
Januari lalu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila disabitkan bersalah dalam kes tersebut oleh Mahkamah Persekutuan.
Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk melindungi rancangan pihak tertentu.
Sirul kemudiannya tidak hadir di Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan kerana berada di Australia.
Untuk rekod, undang-undang Austalia tidak membenarkan seseorang individu yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara asal.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/18/khalid-bimbang-sirul-ada-adakan-cerita-kepada-media-australia/#ixzz3S6syF35n
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.