KUALA LUMPUR, 18 Februari:
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap pihak yang terus menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah keputusan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kes tersebut sudah diputuskan dan tindakan menganjurkan perhimpunan itu boleh menjejaskan kententeraman mahkamah.
“Kami memandang serius perkara ini dan perlu diingatkan negara ini ada undang-undang.
“Sekiranya tidak dipatuhi, mereka perlu bersedia untuk dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kempen Balik Kampung di Plaza Tol Jalan Duta tadi.
Beliau turut menasihatkan anak muda yang terlalu ghairah memperjuangkan kebebasan mahkamah supaya menerima keputusan dengan baik.
“Apa yang mereka ingin perjuangkan sedangkan keputusan sudah ada.
“Jika sebelum ini, keputusan mahkamah berpihak kepada mereka, mengapa tidak ada yang membantah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, susulan tindakan memuat naik risalah berbentuk poster berunsur provokasi dalam media sosial berhubung bantahan dengan sistem mahkamah, dua pelajar institut pengajian tinggi ditahan semalam.
Menurutnya, dua pelajar berusia 20 an itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur petang semalam.
“Mereka akan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Putrajaya.
“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Akta Hasutan,” katanya.
Dua orang Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu memuat naik poster yang mempromosi untuk membakar mercun di hadapan mahkamah seluruh negara pada 18 Februari 2015 (malam ini), jam 11.40 malam dalam laman sosial Facebooknya.
Poster itu dimuat naik pada 16 Februari, jam 9.43 malam, iaitu sehari selepas sebuah video dimuat naik oleh sekumpulan empat orang pengguna YouTube menggunakan ID ‘isis malaysia 69′, mengugut untuk mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di Mahkamah.
Khalid berkata, pihaknya masih mencari empat individu dalam video ‘isis malaysia 69′ dan setakat ini belum dapat didedahkan.
“Dua pelajar dan empat individu itu tidak mempunyai kaitan dan kami akan menjalankan siasatan,” katanya.
Menurutnya, berhubung kejadian itu, pihaknya akan memandang serius dan akan mengambil tindakan berjaga-jaga.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/18/polis-tidak-akan-berdiam-diri-tindakan-tegas-akan-diambil/#ixzz3S5ZrfDRV
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.