Thursday, February 19, 2015

PRK Permatang Pauh dan Chempaka: UMNO cuba elak pukulan berganda?

oleh Tan Jooi Long

KOMEN: Pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dijangka serta pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak syak lagi adalah pukulan berganda kepada Pakatan rakyat.

Namun, dua Pilihanraya Kecil (PRK) untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Anwar dan Kerusi DUN Nik Aziz pula berpotensi menjadi serangan berganda kepada Umno.

Sudah banyak yang diperkatakan, terutama dalam media arus perdana yang dikawal kerajaan, tentang kesan buruk terhadap Pakatan dengan sabitan bersalah dan hukuman penjara lima tahun kepada tokoh penyatu pembangkang itu.

Pemenjaraan Anwar pada 10 Februari, diikuti pula dengan kematian Nik Aziz, yang dilihat sebagai “nurani” parti Islam itu, dua hari kemudian.

Dua peristiwa itu tentunya adalah pukulan berganda kepada pakatan PKR-PAS-DAP, apabil mereka kehilangan dua tokoh pengikat dalam masa satu minggu.

Namun, apa yang bermula sebagai pukulan kepada Pakatan bakal menjadi serangan kepada Umno, di saat parti pemerintah itu tidak mahukannya.

Pada zahirnya, Pakatan mungkin tidak bersedia untuk menghadapi mana-mana PRK, apatah lagi dua.

Namun, PRK di kubu kuat Anwar, Permatang Pauh mungkin boleh menjadi faktor yang mendorong PAS dan DAP untuk bersama-sama membantu PKR.

Euforia kempen yang sengit, dan peluang untuk “mencederakan” Umno di Seberang Perai, serta keinginan untuk menunjukkan solidariti bersama komrad PKR di saat mereka amat memerlukan – Ini semua mampu menyatukan pemimpin, ahli dan penyokong PAS dan DAP.

Dalam pada itu, Umno kini bakal menghadapi satu lagi perang dalaman yang menghancurkan.

Parti pemerintah itu mungkin memiliki kelebihan dalam persediaan PRK, namun setinggi manakah semangat mereka untuk berkempen dalam satu pertandingan yang sukar dimenangi?

Malah, mereka juga tidak boleh bergantung harap kepada MCA untuk memenangi undi Cina, dan MIC untuk undi India. DI Pulau Pinang yang ditadbir DAP, tiada satu pun wakil rakyat daripada parti komponen BN itu.

Lebih-lebih lagi, PRK Permatang Pauh akan diadakan selepas PRK Chempaka, di mana PAS dijangka menang mudah di kerusi yang dipegang Nik Aziz yang amat disayangi dan dipandang mulia oleh rakyat.

Maka tidak peliklah apabila Umno seperti sudah berputus asa berhubung PRK di Kelantan itu, sehingga mereka bersedia untuk tidak meletakkan calon.

“Kerusi itu dipegang Nik Aziz untuk satu tempoh yang lama, dan kita lihat tidak meletakkan calon sebagai satu tanda penghormatan kepadanya.” Itu adalah salah satu alasan yang diberikan.

“Tumpuan perlu diberi kepada usaha bantuan pasca-banjir di Kelantan.” Ini juga adalah satu lagi alasan mereka.

Apa yang tidak disebut adalah: Umno tidak mahu masuk ke Permatang Pauh dengan kecederaan daripada PRK Chempaka.

Umno mungkin boleh mengelak untuk bertanding dan kalah di kerusi Nik Aziz, namun ia tiada pilihan lain selain bertarung di kubu kuat Anwar dengan jangkaan ditimpa kekalahan.

Bagaimana parti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap untuk menang di Permatang Pauh, yang dipegang Anwar dan/atau isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wani Ismail begitu lama, sepanjang lapan Pilihanraya Umum dan 1 PRK sejak 1982?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terkenal itu pun tidak mampu memberi banyak bantuan untuk memastikan kemenangan Umno.

Mungkin Umno juga harus membuat senarai alasan-alasan melucukan berhubung mengapa mereka juga tidak harus bertanding di sana.

Lebih baik untuk mengaku kalah dalam Pertembungan Permatang Pauh, berbanding berhadapan dengan Perang PRU 14 dalam keadaan cedera.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/PRK-Permatang-Pauh-dan-Chempaka-Umno-cuba-elak-pukulan-berganda#sthash.SgzScUnC.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-