Showing posts with label Sirul Azhar Umar. Show all posts
Showing posts with label Sirul Azhar Umar. Show all posts

Tuesday, December 17, 2019

Azilah jumpa VIP di luar Penjara Kajang pada Feb: Shafee

Diterbitkan Hari ini 2:36 tengahari

BERITA

Bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Azilah Hadri yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati didakwa dibawa keluar dari Penjara Kajang pada Februari tahun ini untuk berjumpa dengan seorang VVIP, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Peguambela bekas perdana menteri Najib Razak itu memberitahu wartawan pagi tadi bahawa dia percaya terdapat komplot untuk membunuh kerjaya politik Najib.

Dia mendakwa beberapa orang termasuk ejen kerajaan Malaysia juga ke Australia untuk berjumpa dengan bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar, yang di bawah tahanan imigresen negara berkenaan untuk memujuknya untuk tampil membuat kenyataan menentang Najib.

"Saya sedar sejak Februari, Azilah telah dikunjungi dan terdapat maklumat yang sangat dipercayai, yang saya tidak boleh sahkan, bahawa Azilah berjumpa dengan seorang VVIP di luar penjara pada Februari," kata Shafee ketika ditemui di Istana Kehakiman di Putrajaya.
Shahfee berada di sana untuk mewakili Najib, untuk mencelah dalam permohonan Azilah di Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Walau bagaimanapun, peguam itu enggan mendedahkan identiti VVIP berkenaan atau memberi sebarang maklumat sama ada individu itu adalah seorang ahli politik daripada mana-mana parti.

"Di luar penjara, bukan di dalam penjara. Ini apabila dia sedang menunggu hukuman mati. Ini benar-benar langgar protokol, tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak boleh mengesahkannya, saya sedang cuba untuk mendapatkan kepastian.

Menurut Shafee, beberapa orang, yang didakwa termasuk ejen Malaysia dan wartawan Australia, juga telah melawat Sirul di sebuah pusat tahanan di Australia awal tahun ini.

Dakwanya, mereka yang terlibat itu cuba memujuk bekas komando polis yang juga dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Altantuya, untuk membuat kenyataan menentang Najib.

"Mengenai Sirul, saya tahu beberapa ejen Malaysia termasuk wartawan Australia yang telah diarah oleh beberapa orang dan telah melawat Sirul, cuba memujuknya untuk membuat kenyataan, seperti Azilah.

"Semua ini berlaku pada tahun ini dan saya tahu bahawa kali terakhir mereka melawat Azilah adalah pada suku terakhir tahun ini.

"Ini adalah tindakan mala fide untuk mewujudkan sensasi terhadap anak guam saya," kata Shafee.

[Baca berita penuh]

Wednesday, June 20, 2018

Bekas pembantu Najib dinamakan dalam laporan polis kes Altantuya

Zikri Kamarulzaman 


Musa Safri, bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi perdana menteri dinamakan dalam laporan polis bagi siasatan baru ke atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Laporan polis itu dibuat oleh bapa mendiang Altantuya, Setev Shaariibuu. Peguamnya Ramkarpal Singh menegaskan setakat ini tiada sesiapa yang dinamakan sebagai suspek dalam laporan itu.

Musa merupakan orang atasan kepada bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya.

Musa sebelum ini dikatakan memberitahu Azilah dan Sirul untuk berjumpa rakan rapat Najib, Razak Baginda yang dipanggil membantu siasatan polis selepas dikatakan diganggu kekasihnya Altantuya.

Musa tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dan Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan kenyataannya tidak penting dalam kes itu.

"Saya percaya kalau bukan kerana Musa, Azilah dan Sirul tidak akan datang ke rumah Razak hari itu (19 Oktober 2016) dan anak saya mungkin masih hidup hari ini," kata Setev dalam laporan polisnya.

Menurut Setev, Musa merupakan saksi penting dalam siasatan untuk mengetahui pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya kerana Azilah dan Sirul tidak kenal anaknya sebelum pembunuhan.

"Pasti ada pihak yang mengarahkan Azilah dan Sirul membunuh anak saya yang mana saya percaya pihak berkenaan juga bersalah dalam pembunuhannya.

"Apa lagi kegagalan pendakwaan bagi menunjukkan bukti motif pembunuhan anak saya dengan tidak memanggil Musa menimbulkan keraguan sama ada wujud percubaan menyembunyikan hal sebenar yang mana saya gesa agar pihak polis membuat siasatan lanjut," tambah Setev.

Azilah sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa selain mengaturkan perjumpaan dengan Razak, Musa tidak ada penglibatan lain dalam kes berkenaan.

Sementara itu, selain menamakan Musa, Setev juga menggesa polis menyiasat bagaimana Azilah dan Sirul memperoleh bahan letupan untuk meletupkan mayat Altantuya, dan sama ada pihak yang membekalkan bahan letupan itu terlibat dalam pembunuhan.

Setev turut mempersoalkan alasan pendakwaan yang tidak merayu pembebasan Razak kerana bersubahat dalam pembunuhan.

Ramkarpal sebelum ini berkata terdapat petunjuk baru dalam kes berkenaan yang hanya akan didedahkan apabila polis memulakan siasatan.

Altantuya, 28, dibunuh dan mayatnya diletupkan pada Oktober 2006.

Azilah dan Sirul disabitkan bersalah pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung. Mereka kemudian dibebaskan selepas mahkamah rayuan menolak sabitan pada 2013.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 kemudian mengekalkan hukuman gantung mereka. Sirul telah melarikan diri ke Australia sementara Azilah sedang menunggu hukuman.

[Baca berita penuh]

Tuesday, June 19, 2018

Dalang arah bunuh lebih penting, kata bapa Altantuya

Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan 19 Jun 2018, 12:21 tengah hari


Bapa warga Mongolia yang mati dibunuh dengan kejam, Setev Shaariibuu tidak peduli dengan komando polis Sirul Azhar Umar - lelaki yang dihukum mati kerana membunuh anaknya, Altantuya.

Sebaliknya, Setev mahu mengetahui siapa yang mengarahkan anak perempuannya itu dibunuh.

"Saya tidak mahu bercakap tentang Sirul, atau tentang hukuman mati (yang dijatuhkan ke atasnya).

"Yang penting, siapa yang mengarahkan pembunuhan ini ... Bukan Sirul," kata Setev pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Peguamnya,Ramkarpal Singh juga bersetuju bahawa Sirul tidak penting untuk kemungkinan kes pembunuhan Altantuya disiasat semula kerana terdapat bukti yang dijumpai yang boleh dikmukakan.

Beliau juga berkata bahawa polis mungkin sudah tahu siapa yang mengarahkan pembunuhan itu, dan ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk perkara ini didedahkan.

[Baca berita penuh]

Friday, June 8, 2018

Dr M: Hukuman mati Sirul mungkin ditukar hukuman penjara

Faiz Zainudin | June 8, 2018
Perdana menteri menafikan laporan media asing yang Malaysia sudah mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi Sirul Azhar.

VIDEO INSIDE

Dr Mahathir mengadakan sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra hari ini.

PUTRAJAYA: Perdana menteri berkata, kerajaan mungkin meringankan hukuman mati ke atas bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia mungkin diganti dengan hukuman penjara supaya dia boleh diekstradisi ke Malaysia.

“Sirul tak boleh balik sebab Australia tidak benarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati pulang, ia undang-undang yang mereka guna.

“Kita mungkin akan batalkan hukuman gantung, tapi digantikan dengan hukuman penjara supaya beliau boleh kembali ke tanah air,” katanya sambil menambah usaha membawa Sirul pulang ke Malaysia akan terbantut jika hukuman mati dikekalkan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra, hari ini.

Ditanya adakah Putrajaya akan membuka semula kertas siasatan ke atas pembunuhan Altantuya, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mengkaji kes itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan lihat balik untuk mulakan semula kes Altantuya.”

Beliau turut menafikan laporan The Guardian yang Putrajaya sudah membuat permohonan untuk mengekstradisi Sirul.

“Kita tidak minta.”

Akhbar itu memetik beberapa sumber sebagai berkata, Australia menerima permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul selepas Putrajaya bersetuju membayar kos berkaitan dan dia dijangka meninggalkan negara itu dalam masa sebulan.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan bekas cif inspektor, Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya, 28, di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan badannya diletup menggunakan bahan letupan gred tentera.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengembalikan sabitan bersalah itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka berdua.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah Persekutuan dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Dalam sidang media hari ini, Dr Mahathir turut menjawab soalan mengenai isu lain:

Pertemuan dengan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Beliau hendak bertemu saya dan berminat untuk menyokong kerajaan. Zahid dialu-alukan sokong atau bangkang kerajaan. Itu sahaja. Beliau hadir atas kapasiti pemangku presiden Umno.

Mengenai waran tangkap SPRM ke atas Low Taek Jho

Kita akan tangkap Jho Low, tetapi dia tidak ada di Malaysia. Dia ada di negara lain.

Alasan untuk tahan Jho Low

Untuk siasat pembabitannya dalam 1MDB.

Australia akan hantar pulang Sirul sebulan lagi


Pihak berkuasa Australia telah meluluskan permintaan dari Putrajaya untuk mengekstradisi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar kembali ke Malaysia, lapor Guardian.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini menghubungi pihak berkuasa Australia memohon agar Sirul dibawa balik ke Malaysia, laporan tersebut memetik sumber di Putrajaya.

Rancangan itu diberi lampu hijau selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kosnya, menurut sumber itu.

Pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan kepada rakan sejawatannya di Australia bahawa Sirul akan menerima pengadilan yang saksama apabila kembali.

Malaysiakini sedang cuba mengesahkan berita ini dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

[Berita penuh menyusul]

Sunday, May 20, 2018

Sirul dedah siapa arah bunuh Altantuya, jika...

MyMetro
Utama

BEKAS anggota polis, Sirul Azhar Umar, 45 yang disabitkan bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, menawarkan diri untuk mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wanita itu jika dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baharu Malaysia.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015, menegaskan bahawa dia diarahkan oleh ‘individu penting’ untuk membunuh wanita itu.

Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Kes pembunuhannya adalah aspek paling menggemparkan dalam skandal membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada tahun 2002.

Portal berita Malaysiakini.com dalam wawancara hari ini menyatakan bahawa Sirul bersedia membantu kerajaan baharu Malaysia dalam kes kapal selam itu.

“Saya bersedia membantu kerajaan baharu bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku jika kerajaan sekarang menjanjikan pengampunan penuh kepada saya,” kata Sirul yang dipetik dari Malaysiakini.

Sementara itu, agensi berita Reuters pula melaporkan kemungkinan siasatan pembunuhan model Mongolia 12 tahun lalu dibuka mungkin mendatangkan masalah kepada Najib ketika kerajaan baharu meneruskan siasatan rasuah terhadapnya.

Presiden Mongolia baru-baru ini memohon pemimpin baharu Malaysia menegakkan keadilan untuk Altantuya, sementara pegawai polis yang disabitkan membunuh mangsa berkata, dia sedia bekerjasama dengan sebarang siasatan baharu jika diberikan pengampunan penuh.

Dalam kes pembunuhan model Mongolia itu, dua pegawai polis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati, namun persoalan siapa yang mengarahkan mereka membunuh Altantuya masih tidak berjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 12:59 AM

Thursday, June 22, 2017

Putrajaya cuba batal saman RM100 juta keluarga Altantuya

V Anbalagan
June 22, 2017

Bapa kepada model itu, Shaariibuu, mahu mahkamah mengadakan perbicaraan bagi menentukan liabiliti defendan kerana bukti akan diserahkan kepada mahkamah untuk ditentukan.
PETALING JAYA: Selepas 10 tahun, Putrajaya cuba membatalkan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu yang dibunuh 2 anggota polis.

Peguam, Ramkarpal Singh berkata, kerajaan memfailkan permohonan itu pada Mac lalu atas alasan saman itu tidak mendedahkan tindakan betul terhadap mereka.

Kerajaan yang merupakan defendan ke-4 dalam afidavitnya berkata, plaintif gagal menyatakan ia bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

“Bapa Altantuya (Shaariibuu Setev) memfailkan 1 afidavit untuk membantah permohonan itu pada minggu lalu,” kata Ramkarpal.

Shaariibuu berkata, saman yang mula difailkan pada 6 Jun 2007 mempunyai asas dan merit.

“Selain kuasa tindakan dalam tort, saman itu juga terdiri daripada tuntutan tanggungan dan ganti rugi oleh semua defendan,” katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.

Beliau berkata, permohonan membatalkan saman it adalah melampau, remeh dan menyusahkan.

Shaariibuu berkata, kerajaan Malaysia juga bertanggungjawab kerana ia adalah majikan kepada polis terbabit.

Katanya, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan selepas perbicaraan penuh, di mana bukti akan diserahkan.

Ramkarpal berkata, kerajaan akan membalas afidavit Shaariibuu dan kedua-dua pihak akan terus memfailkan penghujahan bertulis.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad Nasfy Yasin) dijangka membuat keputusannya pada 26 Julai ini,” katanya.

Shaariibuu bersama isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan 2 cucu menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang disabitkan kesalahan membunuh.

Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.

Perbicaraan saman itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian kes pembunuhan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Selain itu, ada rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya yang dikatakan ialah penterjemah dan model.

Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya.

Sirul tidak muncul untuk mendengar keputusan akhir itu dan kemudiannya dia didapati sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Razak yang merupakan kekasih Altantuya, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan dan kerajaan bagaimanapun tidak membuat rayuan, tindakan yang mengundang kritikan awam.

Ramkarpal berkata, Sirul yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan Australia dan Azilah pula menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Katanya, peguam mereka sudah menarik diri daripada saman sivil itu, manakala Razak melantik peguam untuk mencabar saman berkenaan.

Thursday, October 20, 2016

Tuntutan ayah Altantuya berjaya diserah pada Sirul

Hafiz Yatim  : 
Kenyataan tuntutan Shaariibuu Setev, bapa Altantuya, yang dipinda akhirnya berjaya disampaikan kepada pembunuh anaknya Sirul Azhar Umar di Australia.

Tuntutan berkaitan kematian Altantuya berjaya disampaikan kepada Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney.

Peguam Ram Karpal Singh mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa syarikat penyampai saman (process server) yang diupah berjaya menyerahkan dokumen berkaitan kepada Sirul, selepas kegagalan Kementerian Luar Negara berbuat demikian.

“Saya akan dapatkan notis pengesahan rasmi daripada penyampai saman.

“Selepas itu, saya akan beritahu Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Ram ketika dihubungi.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada Rabu, 26 Oktober depan, di hadapan hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Sebelum ini, syarikat guaman itu dilapor menyerahkan dokumen termaterai kepada Wisma Putra untuk dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, sebagai sebahagian daripada proses mahkamah.

Bulan lalu, Ram Karpal berkata mereka mengupah penghantar saman kerana tiada jawapan berkaitan perkara itu daripada pegawai di Kementerian Luar Negara.

Sirul ditahan di Villawood selepas ditangkap pihak berkuasa Australia selepas mendapat permakluman polis antarabangsa (Interpol).

Dia telah terbang ke negara kanggaru itu sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kesnya.

Sirul dan Azilah Hadri – kedua-duanya bekas polis elit – didapati bersalah dan disabitkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 Januari 2015 atas pembunuhan Altantuya pada Oktober 2016 di Puncak Alam, Selangor.

Setev dan anak-anak Altantuya – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 susulan kematian itu.

Pindaan kenyataan tuntutan itu dibuat selepas sabitan kes pada Sirul dan Azilah.

Mereka menamakan Azilah, Sirul, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Abdul Razak telah didakwa bersubahat membunuh Altanyua, 28, pada 2006 tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Manakala Sirul dan Azilah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.

[Baca berita asal]

Tuesday, February 16, 2016

Perunding penghijrahan Sirul pula ancam dedah semua

15 Feb 2016, 11:30 malam 15 Feb 2016, 11:36 malam
Robert K Chelliah, perunding penghijrahan yang membantu bekas polis elit Sirul Azhar Umar, mengugut mendedahkan perbualan peribadi mereka jika beliau dinamakan dalam senarai lima orang yang mahu didedahkan.

Chelliah, rakyat Australia kelahiran Malaysia, berkata beliau akan mendedahkan tahap akses pegawai-pegawai tinggi Malaysia terhadap Sirul ketika dalam tahanan imigresen di Sydney, jika Sirul “mempolitikkan bantuan politik (Chelliah)”

“Saya akan dipaksa mendedahkan bentuk perbualan-perbualan dia dengan saya dan perbualan kami dengan peguam Malaysianya,” kata Chelliah kepada akhbar negara kanggaru itu, The Australian.

Harian itu melaporkan Chelliah bertindak sebagai perunding penghijrahan Sirul sejak Februari tahun lalu.

Chelliah mendakwa beliau cuba “memujuk (Sirul) tampil dengan kebenaran” tetapi “proses itu dirampas oleh beberapa pihak berkepentingan dalam cawangan khas dan sistem politik Malaysia”.

Sirul disabitkan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dijatuhi hukuman mati bersama rakan sekerja Azilah Hadri.

Dalam video dari Pusat Tahanan Villawood di mana dia ditahan, Sirul berkata akan menamakan individu yang didakwa cuba merasuah atau memujuknya mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya.
Peguam Americk Sidhu (gambar) membuat tanggapan awal bahawa beliau percaya lima orang itu termasuk Chelliah.

Americk juga berkata, kemungkinan besar pihak lain ialah anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Americk pernah menjadi peguam kepada mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam, yang dikaitkan dengan kes itu ketika beliau diupah oleh rakan rapat Najib, Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

[Baca berita asal]

Wednesday, February 18, 2015

Khalid bimbang Sirul ada-adakan cerita kepada media Australia

Khalid bimbang Sirul diperalatkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan untuk mengada-adakan cerita yang tidak benar. - Foto TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 18 Februari:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membidas sikap bekas anggota komando polis, Sirul Azhar Omar yang dilapor mempertimbangkan untuk mendedahkan sepenuhnya punca beliau dan bekas pegawainya Azilah Hadri membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibu kepada media Australia.

Khalid turut mempertikaikan motif Sirul tidak mendedahkan perkara tersebut dalam siasatan awal kes itu.

“Kenapa sekarang baru hendak cakap semua pasal ini?

“Kalau dulu dia tidak mahu bercakap, kenapa sekarang baru hendak bercakap, hendak cakap pula perkara baru pula. Ini tidak logik,” katanya.

Ketua Polis Negara itu juga bimbang Sirul, yang kini berdepan hukuman gantung sampai mati bersama Azilah, diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan.
Sirul yang kini disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (Interpol) kini ditahan pihak berkuasa Imigresen Australia. – Foto laman web Interpol

“Saya bimbang ada pihak berkepentingan yang cuba pengaruhi dia perkara yang tidak betul kerana pihak yang berkepentingan ini tahu dia berada di Australia, (mereka tahu) kerajaan Australia tidak akan hantar dia balik.

“Saya khuatir pendedahan ini untuk kepentingan pihak-pihak tertentu,” ulas beliau lagi ketika ditemui media selepas menghadiri Kempen Balik Kampung Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta hari ini.

Bagaimanapun, beliau percaya masyarakat dapat menilai perkara yang benar berhubung kejadian itu.

Khalid juga berkata polis tidak akan membuka semula kertas siasatan berikutan laporan Sirul akan membuat pendedahan itu, sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan didedahkan terlebih dahulu.

“Kita tidak ada sebab mahu buka kertas siasatan baru kerana terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu.

“Kita lihat dulu apa yang dia mahu dedahkan,” tegas beliau.

Sirul yang kini sedang ditahan pihak imigresen Australia di Sydney dikatakan dihubungi beberapa stesen televisyen negara itu dan rundingan antaranya dan pihak berkenaan masih berjalan.

Januari lalu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila disabitkan bersalah dalam kes tersebut oleh Mahkamah Persekutuan.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk melindungi rancangan pihak tertentu.

Sirul kemudiannya tidak hadir di Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan kerana berada di Australia.

Untuk rekod, undang-undang Austalia tidak membenarkan seseorang individu yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara asal.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/18/khalid-bimbang-sirul-ada-adakan-cerita-kepada-media-australia/#ixzz3S6syF35n

Sirul dilapor sedia dedah punca Aitantuya dibunuh kepada media Australia

Untuk rekod, undang-undang Austalia tidak membenarkan seseorang individu yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara asal. - Foto Website Interpol

KUALA LUMPUR, 17 Februari :

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang sedang berada di Australia dilapor kini mempertimbangkan untuk membuat pendedahan mengenai punca dia dan bekas pegawai polis berpangkat Cif Inspektor di unit yang sama, Azilah Hadri, membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bekas anggota unit elit polis yang sedang dalam pelarian itu memberitahu bahawa beberapa media Australia telah pun memohon untuk mengadakan sesi wawancara secara ‘terus terang’ dengannya.

“Saya belum putuskan untuk ditemubual,” Sirul dilaporkan berkata melalui perbualan telefon dengan portal berita Malaysiakini (pautan http://www.malaysiakini.com/news/289596) baru-baru ini.

Malaysiakini turut melaporkan Sirul kemungkinan bersedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan.

“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius,” ketika ditanya wartawan portal berkenaan.

Sirul yang sedang ditahan pihak imigresen Australia di Sydney dikatakan dihubungi beberapa stesen televisyen negara itu dan rundingan antaranya dan pihak berkenaan masih berjalan.

Malaysiakini juga mendakwa Sirul memberitahu dia tidak kenal mangsa pembunuhan itu mahupun penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang dilepas dan dibebaskan dalam kes itu.

“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.

Mengenai keadaannya di pusat tahanan, Sirul memberitahu keadaannya OK dan dia dibenarkan menggunakan telefon serta Internet.

“Saya biasanya baca Malaysiakini, Utusan (Utusan Malaysia) dan Harakah untuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” Sirul dilaporkan bercerita kepada portal itu.

Bagaimanapun, dia yang berstatus duda berusia 43 tahun dikatakan bimbang mengenai dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, akibat kes dihadapinya.

Januari lalu, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila disabitkan bersalah dalam kes tersebut oleh Mahkamah Persekutuan.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum itu, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk melindungi rancangan pihak tertentu.

Sirul kemudiannya tidak hadir di Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan kerana berada di Australia.

Untuk rekod, undang-undang Austalia tidak membenarkan seseorang individu yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara asal.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/uncategorized/2015/02/17/sirul-dilapor-sedia-dedah-punca-altantuya-dibunuh-kepada-media-australia/#ixzz3S1HLWJ5h

Friday, January 16, 2015

Adakah kerajaan Malaysia akan mohon Australia ekstradisi Sirul ke Malaysia?


KUALA LUMPUR, 16 JAN: Adakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi akan menulis kepada Australia untuk mengesahkan bahawa Sirul Azhar Umar telah disabit kesalahan membunuh, serta memohon untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas itu pulang ke Malaysia?

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa Australia perlu dimaklumkan bahawa pesalah jenayah yang telah dijatuhi hukuman mati itu kini berada di negara mereka.
Azilah Hadri

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia mungkin membawa kes Sirul ke mahkamah Australia sekiranya negara itu enggan mengekstradisi pesalah itu ke Malaysia untuk menjalani hukuman gantung sampai mati.

Kata Wan Junaidi, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk memutus dan mengeluarkan arahan sama ada Sirul Azhar akan dihantar pulang atau sebaliknya.

Lip Eng turut menggesa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak berkuasa penjara memberi penjelasan tentang pesalah yang bagaimana yang menikmati keistimewaan untuk diselindung identiti oleh pihak berkuasa daripada orang ramai dan media.

Ini kerana wajah dua pembunuh ini dilindungi setiap kali muncul di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung hampir sedekad.

“KPN mesti memberi jaminan bahawa dua gambar Azilah dan Sirul yang dikeluarkan Bukit Aman semalam bukannya diambil sepuluh tahun lalu, sewaktu kejadian pembunuhan kes itu,” ujar Lip Eng.

Sirul Azhar Umar

Wajah dua bekas pegawai polis yang disabitk kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, didedahkan kepada umum oleh ibu pejabat polis Bukit Aman.

Kata Lip Eng, orang ramai perlu tahu wajah semasa mereka dan boleh membantu pihak polis sekiranya Sirul menyelinap pulang ke Malaysia.

“Ini juga membolehkan rakyat Malaysia di Australia untuk membantu menyedarkan orang awam dan pihak berkuasa Australia tentang kewujudan seorang pembunuh di kejiranan mereka,” kata Lip Eng. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-