KUALA LUMPUR, 21 Februari:
Majlis Peguam Malaysia mendesak Christopher Leong menarik balik kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Februari lalu yang mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya dalam tuduhan liwat II.
Ahli pertubuhan itu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia kerana ia menjejaskan nama baik badan kehakiman negara.
“Christopher mendakwa kenyataan yang dikeluarkannya itu mewakili kapasiti Majlis Peguam, sebenarnya ia adalah berdasarkan kapasiti peribadinya.
“Dia boleh mengeluarkan kenyataan itu tetapi tidak boleh mengatakan pandangan berkenaan mewakili kami semua,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Abdul Aziz berkata, kenyataan Christopher itu memberikan imej buruk kepada badan kehakiman dan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan di negara ini.
Sementara itu seorang lagi ahli, Datuk Mohd Nor Amin berkata, dalam masa terdekat, Majlis Peguam berjaya mendapat 100 nama ahli yang tidak bersetuju dengan kenyataan Christopher.
“Itu menunjukkan Christopher mengeluarkan kenyataan tanpa mendapat persetujuan ahli Majlis dan pandangannya nyata berbeza daripada kami,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Peguam mendesak Christopher menarik kembali kenyataannya itu, jika gagal, dia perlu meletak jawatan.
“Kami menggesa Christopher menarik kembali kenyataan itu dalam masa terdekat dan membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada badan kehakiman negara,” ujarnya.
Pada 11 Februari lalu, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata terdapat beberapa perkara janggal dalam tuduhan liwat II yang membangkitkan persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya.
Leong dalam kenyataannya berkata, Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 377A.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/21/majlis-peguam-malaysia-desak-presiden-tarik-balik-kenyataan/#ixzz3SME3Xj9H
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.