KUALA LUMPUR, 28 Februari:
Ahli UMNO Fadzillah Hussin yang baru-baru ini menjadi tumpuan selepas menguar-uarkan keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Chempaka, menyifatkan amaran yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai “kenyataan politik.”
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Fadzillah yang merancang untuk bertanding sebagai calon bebas berkata, walaupun dia adalah ahli UMNO Kepala Batas sejak berusia 18 tahun, dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan atau bergerak aktif dalam parti.
“Saya sudah lama menjadi ahli UMNO dan sentiasa menyokong parti. Namun begitu, saya melihat amaran Tok Pa (Mustapa) sebagai hanya kenyataan politik dan tidak memberi kesan apa-apa kepada saya.
“Sekiranya keahlian saya ditarik balik, ia tetap tidak menjejaskan keinginan saya untuk bertanding kerana saya seorang yang menyokong prinsip kerajaan.”
Semalam, Mustapa memberitahu media bahawa ahli UMNO perlu menurut keputusan parti untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil dan tindakan akan diambil ke atas sesiapa yang bertanding di bawah tiket calon bebas.
Fadzillah yang juga ketua untuk dua badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Bumi Rahmat dan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, menambah dia tidak teragak-agak untuk menubuhkan parti baru menggunakan satu daripada dua NGO berkenaan.
“Ceramah pertama saya bertajuk Perpaduan Melayu Islam Kelantan. Tarikh, tempat dan sebab saya bertanding akan diberitahu kemudian,” katanya seperti yang dipetik dalam portal berita itu.
Mengenai dakwaan bahawa dia ditaja oleh beberapa pihak untuk mengambil bahagia dalam pilihan raya kecil pada 22 Mac depan, Fadzillah memberitahu Sinar Harian bahaw dakwaan itu tidak benar.
Malah, beliau berkata keputusan bertanding adalah keputusannya yang dipacu oleh keinginan yang tinggi untuk merealisasikan perpaduan di kalangan orang Melayu Kelantan yang semakin rapuh disebabkan ketidaksepakatan.
“Saya tidak mengejar kedudukan. Saya hanya ingin membina platform kukuh untuk menyebarkan pengetahuan dan propaganda demi kebaikan ummah,” kata Fadzillah dan menambah dia memang mahu menjadi calon pilihan raya sejak 20 tahun lalu.
Kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka kosong selepas kematian penyandangnya, Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 10 Mac sebagai hari penamaan calon dan 22 Mac untuk hari mengundi.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/28/fadzillah-tetap-mahu-jadi-calon/#ixzz3T38CAty8
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.