Showing posts with label Ahli UMNO. Show all posts
Showing posts with label Ahli UMNO. Show all posts

Saturday, December 12, 2015

Air mata gugur selepas Najib gulung

Anne Muhammad 
 Hari ini, 7:28 malam Hari ini, 7:30 malam

Air mata ahli Umno kelihatan gugur ketika presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak menggesa agar perpaduan diterapkan dalam parti Melayu berkenaan.

“Saudara saudari, apa guna kita bermusuh, berpatah arang berkerat rotan kerana yang menang akan arang dan yang kalah pula akan menjadi abu. Nanti orang lainlah pula yang mendapat untung.

“Walau rentung dibakar fitnah, walau bercerai anggota dari badan walau bercacak panah dan lembing, panji-panji Umno kita tegakkan juga,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno ke-69 hari ini.

Najib mengakhiri ucapannya dengan menyebut "tidak akan berundur, tidak akan menyerah kalah" sebanyak dua kali dan disambut tepukan gemuruh daripada mereka yang duduk di depan televisyen besar di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perhimpunan itu berlagsung di Dewan Merdeka bangunan berkenaan.

Sesudah Najib menghabiskan ucapannya, ahli parti Melayu itu bingkas bangun dan ada di antara anggota parti kelihatan menangis sambil berpelukan antara satu sama lain.

Pergolakan dalam Umno kini berkisar kepada isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan Najib ke akaun persendirian beliau.

Najib sudah berkali-kali menafikan terbabit dalam salah laku.

Antara pihak yang mengkritik Najib ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, selain timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wednesday, October 14, 2015

Tol naik: Ahli Umno tak selesa, soal mana dana GST


Tol naik: Ahli Umno tak selesa, soal mana dana GST

Shakira Buang
Anggota Umno akar umbi jelas tidak selesa dengan pengumuman kerajaan berhubung kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya yang berkuatkuasa esok.

Malah, sebahagian besar mereka mahu kerajaan mengkaji semula kewajaran langkah itu memandangkan situasi ekonomi semasa yang mencabar bagi pengguna.

Menurut Ketua Umno bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman penangguhan perlu kerana rakyat kini sudah cukup terbeban dengan pelbagai kenaikan dan dicengkam pula dengan kajatuhan ringgit.

Abdul Razak menyifatkan kenaikan kadar tol ini sangat tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Mereka memberikan alasan macam-macam berhubung perjanjian konsensi dan sebagainya tetapi saya secara peribadi memohon kerajaan mengkaji balik (kenaikan kadar tol).

“Dalam keadaan negara yang baru sahaja mengalami kejatuhan mata wang, dengan pelaksanaan GST serta masalah jerebunya lagi dan kini ditambah dengan kenaikan kadar tol, ini (kenaikan) tidak begitu sesuai untuk dilaksanakan,’ katanya ketika dihubungiMalaysiakini.

Bagaimanapun, menurut Abdul Razak, sekiranya kerajaan mahu menaikkan kadar itu sekali pun biarlah ia dilakukan selepas pembentangan bajet akan datang.

“Mungkin lepas pembentangan bajet (umum kenaikan), apabila kerajaan konon-kononnya memberikan rebat, bila rakyat dah seronok dan yakin dengan janji kerajaan barulah boleh kenakan kenaikan dengan kadar yang berpatutan.

PLUS boleh, kenapa konsesi lain tak boleh?

Dalam pada itu, ketua penerangan Umno bahagian Seputeh, Mohd Shariff Badaruddin mempersoalkan sekiranya Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) boleh menangguhkan kenaikan sejak 10 tahun lalu kenapa tidak bagi syarikat konsensi yang lain.

Kali terakhir PLUS menaikkan kadar tol mereka adalah pada tahun 2005.
“Tak sepatutnya naik, kalau PLUS boleh tangguh kenaikan kenapa konsensi lain boleh naikkan?

“Rakyat sudahlah kena GST, kena satu bebanan lagi. Dulu GST dia kata harga barang akan turun 4 peratus tetapi sebaliknya naik berganda-ganda.

“Hari ini rakyat pun rasa susah dengan GST malah ramai yang merungut fasal GST,” keluh Mohd Shariff.

Mana duit GST?

Justeru, Mohd Shariff berkata eloklah kenaikan tol sedia ada dikekalkan namun berpendapat adalah lebih baik ia diturunkan.

“Elok kekallah dengan kadar sedia ada. Kereta bertambah banyak, pengguna jalan raya juga bertambah, duit bertambah tapi kenapa mesti naik lagi?

“Kekalkan kadar sebelum ini atau turunkan lagi baik sebab duit (kutipan cukai) GST banyak, kerajaan tak boleh tampung ke? Mana pergi duit GST itu? Macam mana ia dibelanjakan? Rakyat pun nak tahu juga,” kata Mohd Shariff lagi.
Turut berkongsi pandangan adalah ketua pemuda Umno bahagian Bandar Tun Razak, Mohd Amir Abd Halim yang mahu kenaikan tol ini dikaji semula.

“Kena kaji semula tindakan tersebut sebab ia membebankan rakyat,” kata Mohd Amir ringkas kepada Malaysiakini.

Sebanyak 18 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang semalam mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa esok.

Ia membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Sunday, September 27, 2015

Ummi Hafilda tubuh NGO, desak Najib angkat 'sumpah laknat'

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Presiden dan penaung Kuasa Suara Rakyat (KSR) Ummi Hafilda Ali semasa sidang media mengumumkan penubuhan baharu NGO tersebut hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Ahmad Muslim, 27 September, 2015.

Bekas ahli Umno, Ummi Hafilda Ali hari ini menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baharu, Kuasa Suara Rakyat (KSR), dalam usaha menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah laknat berhubung dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Ummi yang juga presiden dan penaung KSR berkata, NGO itu ditubuhkan memandangkan terdapat pemimpin negara yang "pekak badak" dan tidak mengendahkan suara rakyat.

"KSR ditubuhkan berlandaskan senario politik tanah air. Saya orang lama dalam politik walaupun tidak terlibat dalam politik.

"Kuasa rakyat itu harus diketengahkan, sampai kepada telinga pemimpin. Kita tak nak pemimpin pekak badak syok sendiri," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena pelancaran KSR di Kuala Lumpur hari ini.

Ummi berkata, penubuhan KSR juga adalah supaya kesombongan pemimpin-pemimpin kini dapat diturunkan.

"Saya manusia ada prinsip. Kalau sampai tahap mata ditoreh, hati dicucuk, sekarang tidak lagi.

"Hari ini, di bawah Najib saya rasa kehormatan rakyat itu hilang, KSR ini ditubuhkan untuk kita kembalikan suara rakyat, hak rakyat," katanya.

Katanya, KSR yang didaftarkan pada 24 September lalu ditubuhkan dengan penyertaan beberapa NGO lain dan mempunyai keanggotaan sekitar 30,000 ahli.

KSR juga katanya akan menganjurkan program solat hajat mereka di Putrajaya, dijangka menghimpunkan antara 50,000 hingga 100,000 orang, termasuk penyertaan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita akan adakan satu pertembungan ummah yang besar di Putrajaya. Kita akan buat solat hajat. Paling kurang 50,000 ke 10,000 untuk serahkan memorandum kepada Najib dalam perkara-perkara tertentu," katanya.

Beliau turut melahirkan harapan Najib dapat melafazkan sumpah di Masjid Putrajaya berkenaan wang RM2.6 bilion itu.

Ummi bagaimanapun berkata, KSR tidak akan menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

"Kami tidak minta beliau letak jawatan, tetapi kita akan ada asas kukuh yang membawanya ke arah itu."

Katanya, program pertembungan ummah itu akan dianjurkan sama ada hujung Oktober atau awal November depan.

Ummi berkata, beliau juga akan menyiarkan surat terbuka untuk Najib setebal 5 muka surat bagi mendapatkan penjelasan terhadap beberapa isu yang melanda negara.

Selain gesaan mengangkat sumpah laknat, antara isu yang dibangkitkan beliau dalam surat terbuka itu ialah status siasatan berhubung isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan yang Najib berbohong berhubung dana RM2.6 bilion itu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ummi-hafilda-tubuh-ngo-desak-najib-angkat-sumpah-laknat#sthash.sGZAR5DV.dpuf

Tuesday, September 1, 2015

Akar umbi Umno tak marah Dr Mahathir turun Bersih 4

OLEH MD IZWAN
Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan Bersih 4 menimbulkan pelbagai reaksi termasuk peringkat akar umbi Umno tetapi menerimanya kerana yakin ia bertujuan mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya semata-mata. Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.

Ahli Umno di peringkat akar umbi tidak marah dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Bersih 4 hujung minggu yang lalu, sebaliknya menggesa supaya kepimpinan di atas menyelesaikan kemelut yang melanda parti.

Walaupun pada awalnya mereka tidak memahami keputusan bekas perdana menteri itu, mereka kemudiannya dapat menerima penjelasan beliau yang mendesak supaya Presiden Datuk Seri Najib Razak berundur semasa hadir ke perhimpunan besar tersebut.

"Mula-mula ramai yang marah kerana tidak faham, tetapi hari ini mereka sudah mula faham.

"Tun (Dr Mahathir) hadir bukan kerana menyokong Bersih tetapi mahu bersama rakyat yang tidak berpuas hati," kata Naib Ketua Bahagian Umno Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar kepada The Malaysian Insider.

Beliau tidak menyifatkan kehadiran Dr Mahathir ke Bersih 4 sebagai satu isu besar, memandangkan katanya, mutakhir ini negarawan itu secara terbuka sudah mengkritik dan mengecam pimpinan utama parti, khususnya presiden.

"Orang yang kenal Tun sahaja faham kenapa dia turun, ini bukan lagi persepsi. Satu Malaysia boleh nampak mesej yang cuba Tun sampaikan," katanya.

Dr Mahathir kini menjadi seteru utama Najib, secara terbuka mahu presiden Umno tersebut meletak jawatan kerana terlibat dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Sementara itu, bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Hulu Selangor, Moohamad Faizal Abdul Raub pula menganggap tindakan Dr Mahathir tersebut sebagai isyarat yang Najib tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parti.

"Sudah jelas, majoriti orang Umno sendiri menolak presiden.

"Dr Mahathir guna bahasa yang rakyat senang faham, tapi pengikut Najib guna bahasa putar belit. Sekarang semua sudah sedar," katanya yang meletak jawatan baru-baru ini.

Faizal berkata, langkah diambil Dr Mahathir menunjukkan beliau sudah hilang kesabaran dengan Najib dan akar umbi kini buntu mencari jalan untuk menegur Najib secara baik.

"Bila seseorang lantang tegur Najib, pengikutnya menyerang balik orang yang kritik itu, kemudian bagi kenyataan mengarut.

"Walhal sejak daripada awal lagi, akar umbi sudah beritahu, tidak tahu jalan lain lagi nak digunakan untuk tegur Najib ini," katanya.

Faizal senada dengan Hamidi, tidak marah dengan tindakan Dr Mahathir tersebut walaupun secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran Bersih 4.

"Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih itu, tapi saya faham mengapa Tun buat keputusan sebegitu," katanya.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula menggesa supaya pemimpin atas menyelesaikan kemelut dalaman parti yang menyebabkan berlaku perpecahan di peringkat bawah.

"Lebih baik pemimpin atas cari jalan selesaikan kemelut dalam parti. Selesaikan isu 1MDB dan jelaskan mengenai RM2.6 bilion.

"Itu yang kami di bawah mahukan. Bukan sibuk nak mengecam Tun," kata Asrul.

Mengenai pengaruh Dr Mahathir di kalangan orang Melayu, ahli politik veteran Umno Tan Sri Zainuddin Maidin melihat Najib akan sukar untuk mendapat kepercayaan masyarakat Melayu selepas ini.

"Saya rasa penjelasan Tun mengatakan beliau hadir bukan kerana menyokong demonstrasi tersebut tapi kerana tidak suka Najib. Apa yang Tun rasa itu dirasai oleh orang Melayu sekarang ini.

"Jadi, saya rasa susah untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Najib selepas ini," kata bekas pengarang akhbar dan bekas menteri yang lebih dikenali sebagai Zam itu.

Katanya, tidak patut timbul sebarang isu berkenaan kehadiran Dr Mahathir ke Bersih 4 kerana yakin dengan kesetiaan bekas perdana menteri itu kepada Umno yang ditubuhkannya sendiri selepas diharamkan pada 1988.

"Beliau tetap menyokong Barisan Nasional. Dr Mahathir hanya mahu Najib berundur, bukannya menyokong Bersih.

"Darah daging Dr Mahathir adalah Umno, dan beliau tidak akan berhenti daripada Umno kecuali orang membuangnya," kata bekas menteri penerangan itu.

Sebaliknya, Zainuddin melihat sokongan penyokong Umno kepada Dr Mahathir masih kuat dan reaksi marah selepas mendapat tahu kehadirannya ke Bersih membuktikan parti itu masih memerlukan negarawan tersebut.

"Apabila ia menimbulkan reaksi marah di kalangan orang Umno sendiri, ia menunjukkan Umno masih perlukan beliau dan beliau penting kepada parti.

"Mengapa nak marah kalau tidak sayang kepadanya," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani melihat langkah diambil oleh Dr Mahathir tersebut bertujuan mewujudkan senario yang usul undi tidak percaya ke atas Najib perlu dibawa ke Parlimen pada Oktober nanti.

"Senario yang cuba diwujudkan oleh Tun, terutamanya untuk menarik sokongan pemimpin pembangkang membawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen.

"Ini memberi isyarat beliau sedia bekerjasama dengan pembangkang dan mahu bersungguh-sungguh usul itu dibawa pada Oktober nanti," katanya.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, Dr Mahathir ketika ini sedang memberi tekanan kepada pemimpin Umno dan BN supaya menukar Najib tetapi pada masa sama mengekalkan kerajaan sedia ada.

"Beliau (Dr Mahathir) ada sebut (ketika Bersih 4), kita kena tukar pemimpin, tapi kerajaan BN tidak akan jatuh," katanya.

Bagaimanapun Azizuddin berkata, Dr Mahathir mahu ramai ahli Parlimen Umno dan parti komponen menyokong undi tidak percaya tersebut supaya kerajaan sedia ada tidak tumbang kepada pembangkang sekiranya majoriti tidak memihak kepada BN.

"Mungkin ada 88 ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong, tapi jika sedikit sangat daripada sebelah BN, bimbang kerajaan yang sedia ada jatuh.

"Sekiranya majoriti daripada pembangkang banyak, maka selepas itu akan ada kerajaan pembangkang pula nanti," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, ahli Parlimen BN perlu majoriti yang besar supaya ada "kuasa tawar menawar" (bargaining power) jika usul undi tidak percaya itu berjalan.

"Tun mahu ramai ahli Parlimen Umno sokong usul itu supaya ada kuasa 'bargain' untuk lantik siapa yang bakal jadi perdana menteri nanti," katanya. – 1 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-umno-tak-marah-dr-mahathir-turun-demonstrasi-bersih-4#sthash.oKGD596s.dpuf

Saturday, August 29, 2015

Keahlian Anina dalam UMNO gugur secara automatik

Faiz Adnan | August 28, 2015

Perlembagaan parti menetapkan semua ahli tidak boleh membawa kes berkaitan parti ke mahkamah.
PETALING JAYA: Keahlian Anina Saadudin sebagai ahli UMNO gugur secara automatik selepas dia memfailkan saman terhadap Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tindakan Anina itu mengheret Presiden dan UMNO ke mahkamah melanggar Perlembagaan parti.

Anina yang memfailkan saman terhadap Najib berkaitan dana RM2.6 bilion merupakan Ahli UMNO cawangan Padang Mat Sirat, Langkawi.

“Tidak perlu dipecat, keahlian dia (Anina) akan tergugur secara automatik.

“Dia membawa ke mahkamah maka dia akan kehilangan hak, sebab Perlembagaan kita jelas, mana-mana ahli tidak boleh membawa isu UMNO ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan Anina itu juga telah membuka peluang kepada parti pembangkang untuk menyerang UMNO.

“Tidak elok isu parti disuarakan secara terbuka, apabila dibuat secara terbuka ia memberi peluang kepada musuh politik menjahanamkan parti kita sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli UMNO supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik parti bukannya menyerang secara terbuka.

“Nasihat saya gunalah saluran yang betul untuk mengkritik parti, apa yang dilakukan (Anina) tidak dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan bahkan akan menambahkan lagi kemelut yang berlaku.

“(Dan) .. itu boleh membantu mengurangkan keraguan kepada penyokong UMNO, bukan ahli yang berada di atas pagar,” katanya.

Saturday, August 15, 2015

Umno jangan takut-takutkan ahli untuk bersuara

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mohamed Nazri Aziz
IPOH - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan barisan kepimpinan Umno agar tidak mengeluarkan kenyataan balas bersifat menakutkan ahli yang lantang mengkritik parti.

Beliau berkata, pendekatan seperti akan ambil tindakan disiplin terhadap mereka yang bersuara, tidak membawa perubahan positif terhadap parti.

Menurutnya, apa yang disuarakan ahli khususnya di peringkat akar umbi adalah selaras dengan amalan demokrasi, yang bukan sahaja dipraktikkan dalam konteks negara, tetapi juga parti.

“Jadi saya kira mana-mana ahli, bebas nyatakan pandangan mereka, tak perlulah sebarang tindakan disiplin, hanya menyuarakan rasa tidak puas hati…kena kencing atau sebagainya…itu perkara biasa.

“Pemimpin jangan pula keluarkan kenyataan yang menakutkan ahli, ini tahun 2015…kalau kita masih bersikap seperti 60 an dan 70 an, ia tidak membawa perkembangan pada parti,” katanya kepada media selepas merasmikan Sukan Muhibah Malaysia-Thailand 2015 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, semalam.

Sabtu lalu, perwakilan Wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Langkawi, mengeluarkan kenyataan keras mengkritik presiden parti yang antaranya ahli Umno kini menjadi mangsa ‘kencing’ Datuk Seri Najib Tun Razak

Saturday, February 28, 2015

Ni dia bakal calon bebas PRK DUN Chempaka.....?

Fadzillah tetap mahu jadi calon

Ketua Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia Fadzillah Hussin menolak bahawa ada pihak yang menajanya untuk bertanding di dalam PRK Chempaka -Foto: Facebook Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Februari:

Ahli UMNO Fadzillah Hussin yang baru-baru ini menjadi tumpuan selepas menguar-uarkan keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Chempaka, menyifatkan amaran yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai “kenyataan politik.”

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Fadzillah yang merancang untuk bertanding sebagai calon bebas berkata, walaupun dia adalah ahli UMNO Kepala Batas sejak berusia 18 tahun, dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan atau bergerak aktif dalam parti.

“Saya sudah lama menjadi ahli UMNO dan sentiasa menyokong parti. Namun begitu, saya melihat amaran Tok Pa (Mustapa) sebagai hanya kenyataan politik dan tidak memberi kesan apa-apa kepada saya.

“Sekiranya keahlian saya ditarik balik, ia tetap tidak menjejaskan keinginan saya untuk bertanding kerana saya seorang yang menyokong prinsip kerajaan.”

Semalam, Mustapa memberitahu media bahawa ahli UMNO perlu menurut keputusan parti untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil dan tindakan akan diambil ke atas sesiapa yang bertanding di bawah tiket calon bebas.

Fadzillah yang juga ketua untuk dua badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Bumi Rahmat dan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, menambah dia tidak teragak-agak untuk menubuhkan parti baru menggunakan satu daripada dua NGO berkenaan.

“Ceramah pertama saya bertajuk Perpaduan Melayu Islam Kelantan. Tarikh, tempat dan sebab saya bertanding akan diberitahu kemudian,” katanya seperti yang dipetik dalam portal berita itu.

Mengenai dakwaan bahawa dia ditaja oleh beberapa pihak untuk mengambil bahagia dalam pilihan raya kecil pada 22 Mac depan, Fadzillah memberitahu Sinar Harian bahaw dakwaan itu tidak benar.

Malah, beliau berkata keputusan bertanding adalah keputusannya yang dipacu oleh keinginan yang tinggi untuk merealisasikan perpaduan di kalangan orang Melayu Kelantan yang semakin rapuh disebabkan ketidaksepakatan.

“Saya tidak mengejar kedudukan. Saya hanya ingin membina platform kukuh untuk menyebarkan pengetahuan dan propaganda demi kebaikan ummah,” kata Fadzillah dan menambah dia memang mahu menjadi calon pilihan raya sejak 20 tahun lalu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka kosong selepas kematian penyandangnya, Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 10 Mac sebagai hari penamaan calon dan 22 Mac untuk hari mengundi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/28/fadzillah-tetap-mahu-jadi-calon/#ixzz3T38CAty8

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-